Tuesday, June 9, 2009

SOLATLAH KAMU SEBELUM KAMU DISOLATKAN


Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan.
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan.
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan.

Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu, kamu akan diletakkan di atas lantai.
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam.
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah.

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidupmu?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud itu
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian.

Justeru, kumenyeru sekalian Muslimin dan Muslimat,
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Lalu menjadi makanan cacing dan makanan ulat.

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke pusara.
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan itu tidak berguna lagi di alam baqa'.

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan.
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan.

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang masih tinggal
Dan bukan untuk yang sudah pergi.

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan.
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan.
Ingatlah di mana saja kamu berada,
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan.

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya,
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya.
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti,
Lalu menjadi segumpal darah,
Lalu menjadi seketul daging,
Lalu daging itu membaluti tulang,
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti.
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu,
Yang kalau jatuh ke tanah,
Ayam tak patuk itik tak sudu,
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu,
Yang lebih agung dari malaikat.

Lahirmu bukan untuk dunia,
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia.
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia.
Ingatlah yang kekal ialah amal,
Menjadi bekal sepanjang jalan,
Menjadi teman di perjalanan,
Guna kembali ke pangkuan Tuhan.
Pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera,
Isteri, kad kredit dan kereta,
Kondominium, saham dan niaga,
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia...........

3 comments:

  1. Terima kasih atas ingatan..insyallah..semoga Allah SWT sentiasa meringankan hati dan tulang 4 kerat untuk sentiasa beramal,beribadah..semoga kita semua selamat di dunia dan di akhirat.

    ReplyDelete
  2. terima kasih kembali sebab sudi luangkan mase ziarah ke sini sambil bace n drop komen :)

    yup..same2 kita beringat, sekaligus berusaha mempertingkatkan lagi amalan kita di dunia ini sebagai bekalan ke akhirat sana..aamiiin..

    ReplyDelete
  3. Salam...
    yokiez was here..

    p/s:-nk copy ayat kt ayat kt atas tu..
    terima kasih...
    (^_^) sokmo...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails