Showing posts with label QURBAN. Show all posts
Showing posts with label QURBAN. Show all posts

Saturday, December 5, 2009

PUISI BUAT MUJAHID DI PALESTIN


Mujahid Palestin,
Engkaulah pejuang yang tabah,
Engkaulah pejuang yang tiada goyah,
Engkaulah pejuang yang sentiasa istiqomah.

Mujahid Palestin,
Darahmu menjadi galang ganti,
Perjuangan mempertahankan Al-Aqsa yang penuh erti,
Engkau menjadi wakil seluruh dunia ini,
Engkau adalah pejuang yang cukup berani,
Maut adalah syahid yang dicari.

Mujahid Palestin,
Walaupun Israel bertungkus lumus setiap hari,
Penuh rakus mencabul setiap bumi Palestin suci,
Engkau tetap berada di soff-soff perjuangan ini,
Mempertahankan bumi para Nabi,
Dari kekotoran nafsu serakah Zionis yang membenci,
Walau nyawa menjadi ganti.

Mujahid Palestin,
Engkau telah menolak janji-janji,
Janji palsu dari Zionis dan segala penjanji,
Marilah kita berdamai dan bersatu hati,
Palestin kita bahagi-bahagi,
Muslim ambil yang ini,
Israel ambil yang ini,
Cukup senang bagi mereka membahagi.

Mujahid Palestin,
Telah ramai yang gugur dalam jihad suci,
Telah banyak darah tersimbah ke bumi,
Telah banyak yang terkorban hingga kini,
Telah banyak tangisan air mata yang jatuh ke bumi,
Telah banyak jiwa yang pergi,
Telah banyak doa dipanjat kepad Ilahi.

Ya Allah, selamatkanlah Palestin…
Ya Allah, selamatkanlah Al-Aqsa…
Ya Allah, selamatkanlah Muslimin…
Ya Allah… bantulah mujahid Palestin!


credit to: Muhammad Amin

Thursday, December 3, 2009

KISAH SEORANG ANAK PALESTIN


Jika sebelum ni saya kongsikan gambar2 yg menceritakan cabaran dan halangan yg perlu dihadapi anak2 Palestin demi menuntut ilmu, dalam entri kali ni pula, saya ingin kongsikan di sini sebuah kisah tentang kehidupan seorang anak Palestin. Mungkin ada yg pernah membacanya sebelum ni, mungkin ada juga yg belum pernah baca. Apapun, semoga kisah yg agak panjang ini memberikan keinsafan yg mendalam buat kita semua… Hayatilah kisahnya…



Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid (istilah Arab yang bermaksud ayah) yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.

Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk, walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga, lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik.

Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain- lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar, tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad s.a.w. pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini.

Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid, kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul- betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk, adik rukuk. Walid sujud, adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi.

Tiba-tiba ketenangan itu diragut.

Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata.

Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik.

Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!" Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan.

Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid dihantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi.

Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid, abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.

Adik tanya ummi, mana perginya walid. Ummi diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk."Adik nak ikut walid". Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja.

Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek.

Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid, mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menangis, orang lelaki kena kuat dan tabah.

Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang, cium abang berkali- kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik, usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya", pesan abang. "Abang nak pergi mana?", tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi, ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi. Semuanya adik tidak faham. "Isra.. Israfil. " terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfil kan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangkakala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat.

Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah.

Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi.

Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh. "Ummi, Kenapa kita hidup susah?", adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik. "Kita kena sabar sebab sabar itu cantik", ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ke ummi?", adik tanya lagi.

Ummi senyum. "Nabi Muhammad S.A.W. pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar, nabi tak cepat putus asa", sambung ummi lagi. Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad S.A.W. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad S.A.W.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Qur’an. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang- kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al- Qur’an. "Bismillaahirrahmaanirrahiim..”

Adik baca Al-Qur’an dengan bersungguh- sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Qur’an. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Al-Qur’an dengan rajin kalau hendak khatam Al-Qur’an cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Qur’anlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Qur’an hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Qur’an.

Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid", muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.

"Anakmu, anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak", terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil... Bukan... Israel disebut lagi. Adik benci dengar nama tu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang.

Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu, Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri orang munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik.

Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid, kemudian abang dan akhirnya Jamal.

Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut.

Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tak putus2 menyebut satu kalimah keramat.. Ahad.. Ahad. Mata adik merah. Adik tahan marah. Adik tak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi hadapinya dgn tenang. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi.

Ketika peluru dilepaskan, tiba- tiba... "Muhammad!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik.

Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuh adik untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa.

Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit. "Ummi, adik rasa mengantuk, adik nak tidur. Adik nak jadi mujahid, adik nak ikut walid dan abang", terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk, berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran. Adik pejam mata... Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik...


***************************
Notakaki: Kisah yang cukup menyayat hati. Membacanya serta menghayatinya membuatkan hati merasa sayu dan sedih. Air mata bergenang lalu menitis. Pilu, sebak... semuanya ada. Biarpun berkali-kali membaca kisah ni, tidak akan pernah merasa jemu, bahkan sebaliknya semakin menginsafi diri. Semoga Muslimin & Muslimat di Palestin semuanya sentiasa cekal & tabah menghadapi dugaan dlm mempertahankan negara mereka demi menegakkan agama Islam...



p/s: Kisah di atas ni pernah saya baca 3-4 tahun yang lalu, dikirim seorang teman melalui yahoo messenger. Namun disebabkan terdapat sedikit masalah Internet ketika itu, maka tidak sempat untuk saya save. Tetapi alhamdulillah baru2 ini ketemu semula di laman iluvislam.com, maka dapatlah saya kongsikan bersama di sini kisah yg cukup menyentuh hati & perasaan ini.

Monday, November 30, 2009

CINTA DAN PENGORBANAN SEORANG SUAMI


Sepertimana yang telah dijelaskan dalam entri terdahulu, berqurban hendaklah disertakan dengan niat bertaqarrub kepada Allah. Justeru itu juga, ianya haruslah dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Segala pengorbanan yang kita lakukan, adalah demi mendapatkan keredhaan Allah SWT semata-mata.

Demikianlah juga dalam bab cinta. Cinta dan kasih sayang sesama manusia adalah fitrah, namun ia hendaklah disalurkan pada jalan yang betul dan berlandaskan agama. Andai kita mencintai seseorang (yang halal pastinya!), kita hendaklah mencitainya kerana Allah, kerana dengan itu juga, mudah-mudahan kita akan mudah menerima si dia seadanya, dan sanggup berkorban untuknya kerana Allah SWT.

Bersempena dengan Hari Raya Qurban baru-baru ini, di sini ingin saya kongsikan bersama pembaca sekalian kisah cinta dan pengorbanan seorang suami terhadap isterinya, yang mana ianya disandarkan kepada Allah SWT.
Sama-samalah kita hayati kisah ini...


Dia bukanlah seorang anak muda. Usianya sudah senja, bahkan sudah mendekati malam. Namun begitu, setiap harinya, masa Pak Suyatno, 58 tahun diisi dgn merawat isterinya yang sakit. Isterinya juga sudah tua. Mereka telah berkahwin selama lebih 32 tahun.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan 4 orang anak… Dan di sinilah awal cubaan menerpa. Setelah isterinya melahirkan anak keempat, tiba-tiba kakinya lumpuh dan tidak boleh digerakkan. Hal itu berlanjutan selama dua tahun. Menginjak tahun ketiga, seluruh tubuhnya pula menjadi lemah bahkan terasa tidak bertulang. Lidahnya pun sudah tidak mampu digerakkan lagi.

Sejak itu, setiap hari Pak Suyatno memandikan, membersihkan kotoran, menyuapkan, dan mengangkat isterinya ke atas tempat tidur. Sebelum berangkat ke tempat kerja, dia meletakkan isterinya di hadapan TV supaya isterinya tidak merasa kesunyian.

Walau isterinya tidak dapat bercakap, tapi dia selalu melihat isterinya tersenyum, dan Pak Suyatno masih beruntung kerana tempat kerjanya tidak begitu jauh dari rumahnya, sehinggakan siang harinya dia boleh pulang ke rumah untuk menyuapi isterinya makan. Petangnya pula dia pulang ke rumah memandikan isterinya, menggantikan pakaian, dan selepas Maghrib, dia temankan isterinya menonton TV sambil bercerita apa sahaja yang dialaminya sepanjang hari.

Walaupun isterinya hanya mampu memandang (tidak mampu memberikan respons), Pak Suyatno sudah cukup senang bahkan dia selalu menggoda dan bergurau dengan isterinya setiap kali menjelang tidur.

Rutin ini dilakukan Pak Suyatno selama lebih kurang 25 tahun. Dengan sabar dia merawat isterinya sambil membesarkan keempat-empat buah hati mereka. Sekarang anak-anak mereka sudah dewasa, dan tinggal si bongsu sahaja yg masih kuliah. Yang lainnya semua sudah menikah dan tinggal dgn keluarga masing-masing.

Pada suatu hari, keempat-empat anak Pak Suyatno berkumpul di rumah orang tua mereka sambil menjenguk si ibu. Dan seperti kebiasaannya, kelihatan Pak Suyatno tetap merawat ibu kepada anak-anaknya, dan yang dia inginkan hanyalah satu: semoga semua anaknya berjaya.

Anak yang sulung akhirnya bersuara. Dengan kalimat yang cukup berhati-hati, dia berkata: “Pak, kami ingin sekali merawat ibu. Semenjak kami kecil, kami melihat bapak merawat ibu dan tidak ada sedikit pun keluhan keluar dari bibir bapak, bahkan bapak tidak mengizinkan kami menjaga ibu…”

Dengan air mata berlinang, anak itu melanjutkan kata-katanya… “Sudah yang kali keempat kami mengizinkan bapak menikah lagi… Kami rasa ibu pun akan mengizinkannya. Bila bapak akan menikmati masa tua bapak kalau masa bapak sering dihabiskan dengan berkorban seperti ini? Kami sudah tidak sampai hati melihat bapak begini. Kami berjanji akan merawat ibu dengan sebaik-baiknya secara bergantian,” tuturnya dengan penuh merayu.

Namun demikian, Pak Suyatno menjawabnya dengan hal yang sama sekali tidak diduga oleh anak-anaknya… “Anak-anakku, jikalau hidup di dunia ini hanya untuk nafsu, mungkin bapak akan berkahwin lagi… tapi ketahuilah, dengan adanya ibu kalian di samping bapak, itu sudah lebih dari cukup. Dialah yang telah melahirkan kalian…”

Sejenak kerongkongnya tersekat. Kemudian disambungnya lagi… “Kalian yang selalu kurindukan hadir di dunia ini dengan penuh cinta yang tidak dapat dinilai dengan apa sekali pun.Cuba kalian tanya ibumu, apakah dia menginginkan keadaannya seperti ini? Kalian menginginkan bapak bahagia. Apakah batin bapak dapat bahagia meninggalkan ibumu dalam keadaannya seperti sekarang? Kalian menginginkan bapak yang masih diberi Allah kesihatan yang baik dirawat oleh orang lain…Bagaimana pula dengan ibumu yang masih sakit?”

Mendengarkan kata-kata yang penuh makna itu, maka meledaklah tangis anak-anak Pak Suyatno. Mereka juga sempat melihat butiran-butiran kecil jatuh di pelupuk mata si ibu. Dengan pilu, si ibu menatap mata suami yang sangat dicintainya itu…

Sampailah suatu ketika, Pak Suyatno diundang oleh salah satu stesen TV swasta untuk menjadi panel jemputan acara Bimbingan Rohani Selepas Subuh. Dalam siaran tersebut, juru acara mengajukan pertanyaan kepada Pak Suyatno… “Bagaimana Pak Suyatno mampu bertahan selama 25 tahun merawat isteri yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa?”

Ketika itu Pak Suyatno pun menangis… Tetamu yang hadir di studio yang kebanyakannya kaum ibu pun tidak mampu menahan kesedihan. Semuanya merasa hiba…

Dan di situlah Pak Suyatno bercerita… “Jika manusia di dunia ini mengagungkan sebuah cinta tapi dia tidak mencintai kerana Allah, maka semuanya akan luntur…

Saya memilih isteri saya menjadi pendamping hidup saya. Sewaktu dia sihat, dia pun dengan sabar merawat saya. Mencintai saya dengan sepenuh hati zahir dan batinnya, bukan dengan mata kepala semata-mata… dan dia juga telah memberikan saya 4 orang anak yang lucu dan baik-baik semuanya…

Sekarang dia sakit berkorban untuk saya kerana Allah SWT. Dan itu merupakan ujian bagi saya. Sihat pun belum tentu saya mencari penggantinya, apalagi saat dia sakit. Setiap malam saya bersujud dan menangis dan saya mengadu kepada Allah di atas sajadah supaya meringankan penderitaan isteri saya…

Dan saya yakin hanya kepada Allah SWT tempat saya mengadukan rahsia dan segala kesukaran saya… kerana DIA Maha Mendengar…”



Diolah sedikit dari catatan asal: Humaimee


Notakaki: Ada yang mengatakan, ini kisah benar. Namun tidak dapat saya pastikan sejauh mana kebenarannya kerana saya tidak tahu dari mana asalnya cerita ini. Tapi apa pun, ambillah iktibar yang boleh kita manfaatkan bersama dari kisah di atas ni. Ianya merupakan satu kisah yang wajar kita teladani. Saya yakin, masih ada lelaki-lelaki (suami-suami) di luar sana yang masih memiliki sifat sedemikian rupa. InshaAllah.

Akhirul kalam, pesan saya kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat semua, hargailah insan-insan yang banyak berkorban untuk diri kita... Perbaiki akhlaq dan kelakuan diri menjadi insan yang baik terlebih dahulu, inshaAllah akan dikurniakan pasangan yang juga baik akhlaqnya... (^_^)

Wednesday, November 25, 2009

FADHILAT MELAKSANAKAN IBADAH QURBAN


Tidak dapat dinafikan lagi, ibadah qurban atau penyembelihan haiwan qurban merupakan satu ibadah yang cukup mulia. Ibadah ini yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, jika dilaksanakan, inshaAllah akan beroleh banyak fadhilatnya. Sesungguhnya fadhilat serta kelebihan ibadah qurban ini, amatlah besar buat mereka yang melaksanakan perintah Allah ini. Antara fadhilatnya yang dapat saya kongsikan bersama di sini termasuklah:


1. Menambah amal kebajikan.

Zaid bin Arqam R.A. meriwayatkan (maksudnya): "Para sahabat Rasulullah bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada qurban itu?’ Rasulullah menjawab: ‘Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim’. Mereka berkata: ‘Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Bagi setiap helai rambut satu kebajikan’. Mereka berkata: ‘Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.’" (Hadith riwayat Ibnu Majah)

* Pengertian kebajikan (hasanah) mempunyai maksud yang berbeza-beza di kalangan para ulama’ ahli tafsir. Hasanah adalah satu perkataan yang mempunyai maksud yang subjektif. Terdapat banyak penjelasan daripada mereka tentang tafsiran kalimah ‘hasanah’, antaranya:

# Ibnu Kathir: Kebajikan atau kebaikan (hasanah) di dunia itu meliputi semua yang bersifat keduniaan seperti sihat, selamat, tempat tinggal yang luas, isteri yang baik, rezeki yang banyak dan sebagainya. Manakala hasanah di akhirat pula, yang paling tinggi ialah masuk syurga dan selanjutnya semua kebahagiaan yang menjadi pelengkap kehidupan dalam syurga itu.

# Al-Qadhi al-‘Iyadh: Hasanah itu ialah ni3mat iaitu sama ada ni3mat dari segi limpahan kurnia di dunia atau limpahan kurnia di akhirat atau ni3mat terpelihara dari siksaan.

# Imam Al-Qurthubi: Hasanah membawa maksud iman. Sebagai contoh, barangsiapa yang mengucapkan syahadah, maka baginya setiap amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia ini akan digandakan dengan sepuluh ganda dari segi pahalanya. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah berfirman: Sesiapa yang datang (melakukan) satu kebajikan, maka baginya sepuluh ganda pahala sepertinya dan Aku (Allah) akan menambahnya lagi.” (Hadith riwayat Muslim)


2. Mendapatkan keampunan bagi menebus dosa yang lalu.

Sabda Rasullah SAW kepada Sayyidatina Fatimah (maksudnya): "Hai Fatimah,berdirilah di sisi qurban mu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadith riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)


3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasullah SAW (maksudnya): "Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadith riwayat Thabrani)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda (maksudnya): "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih haiwan qurban). Sesungguhnya haiwan qurban itu akan datang pada Hari Qiamat nanti lengkap dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu laksanakan qurban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)


4. Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad SAW (maksudnya): “Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada Hari Qiamat”.


INFO TAMBAHAN...

Menyembelih haiwan qurban pada Hari Raya Adha juga adalah bertujuan untuk menghidupsuburkan salah satu sunnah yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim AS yang mendapatkan perintah melalui mimpi untuk menyembelih anaknya yang sangat disayangi dan dicintainya, iaitu Nabi Ismail AS, yang kerana ketundukkannya itu Allah kemudiannya menggantikan diri anaknya itu dengan menyembelih seekor kibas (domba), yang mana amalan ini kemudiannya terus berlanjutan sampai akhir zaman, sebagaimana diungkapkan kisahnya dalam Al-Qur’an (37: 102-111).

Dengan melaksanakan ibadah qurban, secara tidak langsung, kita juga termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mensyukuri ni3mat atas rezeki serta keleluasaan yang diberikan Allah SWT kepada kita, yang mana bentuk kesyukuran tersebut dizahirkan melalui pelaksanaan syariat-Nya (melakukan ibadah qurban). Allah SWT berfirman (mafhumnya):

“(Dan mengorbankan) unta yang Kami jadikan untukmu sebahagian syiar (agama) Allah, untukmu ada kebaikan di dalamnya. Sebab itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya (ketika ia masih berdiri). Apabila ia telah jatuh ke tanah (mati), makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang tidak meminta dan orang yang meminta. Demikianlah Kami tundukkan (serah) haiwan itu kepadamu, mudah-mudahan kamu bersyukur” (QS, 22: 36)

Sebagaimana yang diketahui, ibadah qurban haruslah beserta dengan niat untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Dan dalam usaha untuk bertaqarrub kepada Allah, kegiatan memberi makan (daging qurban) kepada sesama manusia, terutamanya kepada golongan faqir miskin, dapat mewujudkan rasa kasih dan sayang yang seterusnya membawa kepada hubungan persaudaraan yang erat sesama manusia. Dan sesungguhnya menyayangi sesame manusia pada hakikatnya mengundang rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT dan seluruh makhluq-Nya yang ada di langit.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Sayangilah oleh kamu sekalian sesama manusia yang ada di muka bumi ini, maka pasti akan menyayangi kepada kamu makhluq yang ada di langit.”

Akhirul kalam, sebagai umat Rasulullah SAW, kita kaum muslimin diperintahkan untuk mengikuti sunnah Nabi Ibrahim AS, sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali-Imran (mafhumnya):
“Katakanlah: Benar apa yang di firmankan Allah. Maka ikutilah agama Ibrahim yang lurus. Dia tidaklah termasuk orang-orang yang musyrik” (QS, 3: 95).

Rujukan:
1) al-azim.com
2) masjid annahl
3) ezqurban.org


Notakaki: Jika kita perhatikan, kesemua fadhilat yang dinyatakan diberikan kepada pelaksana, yakni orang yang melaksanakan ibadah qurban tersebut, dan bukanlah buat si penerima daging qurban. Oleh itu, peluang melakukan ibadah qurban yang hanya datang beberapa hari dalam setahun di bulan Zulhijjah ini tidak wajar diabaikan dan dilepaskan begitu sahaja. Benar, hukumnya tidaklah sampai tahap wajib, namun demikian, hokum sunat muakkad ini seharusnya dilihat dari perspektif yang berbeza, bahawa “Alangkah ruginya!” bagi sesiapa yang meninggalkannya. Justeru itu juga, andai diri berkemampuan, maka segeralah merebut peluang untuk mendapatkan ganjaran yang cukup besar melalui pelaksanaan ibadah qurban ini…WALLAHU A3LAM.


Memandangkan blog ni x akn diupdate utk beberapa hari mulai esok,
jadi di kesempatan yang ada ni, terlebih dahulu ingin saya ucapkan...


SeLaMaT MeNyAmBuT HaRi RaYa AiDiL AdHA
dAn
SeLaMaT MeNuNaiKaN iBaDaH QuRBaN (^_^)

Monday, November 23, 2009

PERINTAH PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

Sumber foto: SURAU AN-NAMIRA BUKIT RIMAU



APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN QURBAN?

Istilah “qurban” secara harfiyyah berasal dari kata qaruba-yaqrubu-qurbaanan, yang bermaksud dekat atau mendekatkan diri. Dari segi pengertian syara’ pula, ibadah qurban bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing, pada Hari Nahr atau Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Dzulhijjah) dengan niat untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Di sini jelas menunjukkan betapa pentingnya usaha mendekatkan diri (berqurban) ini, sehinggakan Islam menetapkan syari’at qurban dalam bentuk penyembelihan haiwan qurban.

Apabila kita meneliti maksud qurban yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam iaitu “Mendekatkan diri kepada Allah SWT”, maka seharusnya kita sedar dan insaf bahawa ianya merupakan suatu tuntutan untuk diri kita sendiri. Ibadah qurban ini juga merupakan suatu ukuran ketaqwaan seseorang hamba kepada Allah SWT. Tidak boleh sesekali kita berqurban kerana atau untuk seseorang, atau sesuatu yang selain daripada Allah SWT, sebagaimana kita tidak dibenarkan mengerjakan solat untuk seseorang.

Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (qurbanmu)” (Al-Kauthar, 108: 2)

Jelaslah di sini, Allah SWT meletakkan ibadah qurban itu bersebelahan dengan perintah solat, agar difahami dalam makna yang betul. Jadi, tanggapan yang mengatakan ibadah qurban itu bertujuan untuk memberi makanan kepada orang miskin, adalah satu konsep yang salah. Konsep ini menyebabkan hilangnya kesuburan dalam melaksanakan ibadah qurban, khususnya dalam suasana masyarakat yang mewah, kerana keperluan manusia untuk menerima daging qurban itu bukanlah sesuatu yang terdesak.


GALAKAN MELAKUKAN IBADAH QURBAN

Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-37 (mafhumnya): "Daging dan darahnya (binatang qurban) tidak sampai kepada Allah, tetapi taqwa daripadamulah, yang sampai kepada-Nya. Demikianlah Dia (Allah) menyerahkan haiwan untukmu, supaya kamu membesarkan Allah, atas apa yang telah ditunjukkan-Nya kepadamu. Dan berilah khabar gembira orang-orang yang berbuat kebajikan” (Al-Hajj, 22: 37)

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): "Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadith riwayat Tirmidzi)


BAGAIMANA DAN BILAKAH HENDAK MELAKSANAKANNYA?

Pelaksanaan ibadah qurban boleh dilakukan dengan menyembelih sendiri haiwan ternakan atau mewakilkannya kepada pihak lain. Waktu bagi melakukan ibadah ini hanyalah pada hari-hari yang telah dikhususkan oleh syara’ iaitu pada mana-mana hari bertarikh 10, 11, 12, ataupun 13 Dzulhijjah setiap tahun.

Penyembelihan haiwan qurban bermula pada tanggal 10 Dzulhijjah setelah solat Aidil Adha, diikuti dengan tanggal 11, 12 sampailah ke tanggal 13. Ketiga-tiga hari terakhir ini disebut sebagai Hari Tasyriq yang bererti “hari-hari yang berlimpah dengan daging”.

Ini bererti, penyembelihan haiwan qurban tidak boleh dilakukan sebelum pelaksanaan solat Aidil Adha.
Dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang menyembelih haiwan qurban sebelum solat (Aidil Adha) maka harus menyembelih haiwan lain untuk menggantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih, maka sembelihlah (sesudah solat) dan sebutlah nama Allah”.


APAKAH HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH QURBAN?

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini ialah sunat Muakkad, iaitu sunnah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, beraqal, baligh serta berkemampuan melakukannya samada sedang mengerjakan haji ataupun tidak, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam erti kata lain, adalah makruh bagi orang yang berkemampuan untuk meninggalkan ibadah ini.

Akan tetapi, hukum qurban ini bertukar menjadi wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti contohnya seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Maka dalam hal ini, adalah menjadi haram dan berdosa seandainya ibadah qurban itu tidak dilakukan.



Rujukan:
3) ezqurban.org


Notakaki: Semoga dengan perkongsian ini, kita akan lebih memahami maksud serta konsep sebenar pelaksanaan ibadah qurban yang dilakukan, iaitu demi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT…Dan bagi mereka yang memenuhi syarat, laksanakanlah tuntuan ibadah qurban ini kerana terlalu banyak hikmah dan fadhilatnya buat si pelaksana (orang yang melakukan ibadah qurban haiwan).
Related Posts with Thumbnails