Thursday, December 31, 2009

BERTEMU & BERPISAH KERANA ALLAH


Pertemuan antara kita,
Tidak pernah dirancang,
Tetapi telah diatur kemas oleh Rabbul Jalil,
Yang mengetahui suara hati antara kita,
Yang mengimpikan kehadiran seorang insan,
Bergelar teman...

Walaupun bukan aku yang diharapkan,
Tetapi akulah yang hadir dalam hidupmu,
Mungkin kehadiranku tidak pernah dinanti,
Namun, Tiada walau secalit kekecewaan,
Apatah lagi kekesalan di hati ini,
Malah, Aku amat menghargai pertemuan ini,
Kerana dengannya,
Terjalinlah sebuah persahabatan...

Perpisahan...
ternyata amat menyakitkan,
Sering kali mengundang air mata,
Keindahan dan kebahagiaan yang kita nikmati bersama,
Bagaikan disentap pergi serta-merta,

Walaupun begitu, Ingatlah, sahabatku........,
Bertemu dan berpisahnya kita kerana Allah,
Oleh itu, Terimalah dengan penuh keredhaan...

Sekiranya ingatanmu singgah padaku,
Kirimlah sepotong doa tika itu,
Moga masih ada lagi pertemuan selepas ini,
Jika tidak di dunia fana ini,
Di Jannatul Firdaus yang kekal abadi...
Insya-Allah!!!


Sumber: iluvislam


~ Merindui sahabat2 yang telah terpisah setelah sekian lama berkawan.. namun menerimanya dengan redha.. inshaAllah, diri ini akan sentiasa mendoakan kejayaan serta kebahagiaan hidup kalian… semoga beroleh yang terbaik dari-Nya… Aamiiin..

Monday, December 28, 2009

BENGKOKNYA WANITA…


"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."

"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"


"Staff aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak dtg kerja. Susahlah mcm ni. Kerja pejabat akan terganggu."


"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."

"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok*? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."

"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."

"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"

"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."

"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada "sayap kiri" kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."

"Tapi, mmg org perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."

"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara `protes` tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih`bengkok` daripada mereka!"

"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."

"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."

"Apa maksud sebenar Hadis tu?"


"Orang perempun yg diibaratkan seperti tulang rusuk yg bengkok itu bkn bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu "penyempurnaan" . Sepertimana juga usus manusia yg berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung`. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yg diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yg bengkok itu."

"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"

"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok` itu ialah sifat `rahmah`. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan. "

"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."


"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."

"Hmm, betul tu Naim."

"Sebenarnya tiada siapa yang `bengkok` mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."

"Baru aku sedar, akulah yg bengkok. Asyik marah2 dan tidak sabar."

"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok` daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok` daripada semua orang lain di muka bumi ini... "


*Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)


Sumber: iluvislam.com


Notakaki: Sifat sempurna adalah milik Allah semata-mata, dan kita sebagai makhluq ciptaan-Nya adalah bersifat tidak sempurna. Disebabkan sifat-Nya yang Maha Mengetahui, maka pastinya Allah tahu akan kebaikan di sebalik ‘kekurangan’ yang ditentukan ke atas kita. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu itu tanpa sebab, dan begitulah juga dengan hakikat kejadian wanita yg diciptakan-Nya dari tulang rusuk yang bengkok…

~insan yang “bengkok”, lemah, dan sensitif~

Sunday, December 27, 2009

SEBELUM AKAD TERPATRI… (WARKAH BUAT BAKAL SUAMIKU)


Jika sebelum ini dititipkan di sini "coretan buat bakal isteri", maka kali ini ingin pula diri ini menitipkan WARKAH BUAT BAKAL SUAMIKU. Biarpun ini bukanlah warkah coretan diri sendiri, namun apa yang ingin disampaikan tetap sama dengan apa yang terkandung dalam warkah ini…


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Buatmu,
Bakal Suamiku...

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini.

Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku.

Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionless face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah RA: “sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”.

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.

Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?

Adakah itu sumbanganku kpd manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik.

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.

Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan.

Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah.

Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.

Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku.

Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Namun bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta utk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dariku,
Bakal Isterimu.


Sumber: iluvislam.com


Notakaki: Naluri ingin menyayangi dan disayangi adalah fitrah setiap insan, namun biarlah ianya membawa rahmah dan barakah kepada diri sendiri dan juga orang yang kita sayangi… Apalah maknanya diri menyayangi dan disayangi andai jauh dari rahmat dan barakah-Nya...



~masih setia dan sabar menanti kehadiranmu, insan yang tidak ku ketahui~

Saturday, December 26, 2009

CORETAN UNTUK BAKAL ISTERI


Assalamualaikum wrt. wbt.

Untukmu, Bakal isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan "Kau tercipta untukku.”

Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tanggungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.

Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan 'sempurna' di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yg harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yg hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kpdnya kerana seharusnya engkaulah yg harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar syeikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah di sisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita."

Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik." (Surah An-Nuur: 26)

Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku di samping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.

Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.

"Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal." Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Dariku, Bakal Suamimu.


Nukilan: Musafir Hidayah


Notakaki: Alhamdulillah, masih ada lelaki yang berfikiran dan berpendirian sebegini. Hakikatnya mmglah ada, cuma agak sukar untuk kita temui. Namun bersyukur sekali tatkala terbaca warkah ini. Dapat dirasakan penulis pastinya menulis apa yang datangnya dari sebuah hati yang suci. Buat penulis, didoakan semoga dirimu beroleh pelengkap hidup sebagaimana yang didambakan.. Aamiiin.. Buat muslimin, diharap semoga kalian semua punya pemikiran dan pendirian seperti penulis. Dan buat kaum muslimat pula, sama2lah kita memperbaiki diri menjadi insan yang mempunyai akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi..

~sabar menanti pelengkap diri yang hanya diketahui oleh Allah SWT~

Friday, December 25, 2009

WHO I AM MAKES A DIFFERENCE


Below is a series of pictures that show what matters most, is your effort, and whatever you have done, does make a difference to other people. So please do not think that you are a useless person and mean nothing to everyone, k! :)























































Hopefully these pictures do gave the same impact to you guys as they did to me (^_^)

POTONG KUKU MENGIKUT HARI2 TERTENTU??


Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Barangsiapa yang memotong kukunya pada ;

* Hari Sabtu: Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit
* Hari Ahad: Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan
* Hari Isnin: Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
* Hari Selasa: Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
* Hari Rabu: Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.
* Hari Khamis: Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
* Hari Jumaat: Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.


Pernah dapat forward email sebegini atau terbaca pada mana2 entri rakan bloggers anda? Bagi yang pernah membacanya, apa pula tindakan kalian? Menerimanya lalu mengamalkannya? Atau mungkin juga anda “berniat baik”, berterima kasih atas “ilmu” yang disampaikan, lalu mengforwardkannya atau copy-paste untuk disebarkan kepada rakan-rakan yang lain?

Saya tidak menyalahkan sesiapa yang berbuat sedemikian. Tetapi maaf sebab saya ingin mempersoalkannya. Bukanlah berniat mahu tunjuk lagak pandai. Saya juga hanya insan biasa, masih banyak ilmu agama yang saya belum tahu.

Namun suatu perkara yang tidak seharusnya kita pandang ringan, ialah apabila kita menyampaikan sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW, maka pastikanlah ianya mempunyai sanad yang lengkap serta berstatus sahih, atau sekurang-kurangnya hasan. Janganlah dengan mudahnya declare sesuatu itu “hadith” tanpa mengkaji sanad dan matannya terlebih dahulu.

Saya masih ingat lecture untuk kelas Sciences of Hadith yang saya ambil 2 tahun yang lalu. Selain daripada melihat kepada sanad (perawi), cara mudah untuk detect kepalsuan sesuatu hadith ialah apabila matannya (isi kandungannya) kedengaran pelik dan janggal.

Justeru, itulah yang saya rasakan tatkala saya membaca “hadith” tentang hari-hari untuk memotong kuku ini. Timbul pelbagai persoalan di benak fikiran saya... Mana sanadnya? Andai benar itu hadith, siapa perawinya? Dan saya juga tertanya-tanya tentang matannya yang menurut saya, agak mengelirukan.

Memotong kuku adalah sebahagian daripada menjaga kebersihan diri. Dan Islam sendiri mengutamakan kebersihan. Lalu mengapa ada hari-hari yang dikatakan mendatangkan keburukan andai kita potong kuku pada hari-hari tersebut (Sabtu, Ahad, Selasa, dan Rabu), sebagaimana yang terdapat dalam “hadith” tersebut?

Dan yang lebih saya musykil... Bila saya perhatikan, tiap-tiap hari tersebut ada baik dan buruknya. Sama ada keluar yg buruk lalu digantikan dengan yg baik, ataupun sebaliknya. Mahu kedua-duanya, atau menolak kedua-duanya. Tapi kenapa untuk hari Rabu, dikatakan “Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan”? “Keluar daripadanya was-was” adalah sesuatu yg baik, kerana was-was itu datangnya daripada syaitan, sedangkan “masuk kepadanya kepapaan” adalah sesuatu yg tidak diingini setiap insan. See... bercanggah, kan? Lalu bagaimana? Tak kan lah kalau nak keluarkan was-was, kita kena “ambil risiko” kepapaan? Hmm.. betapa tidak logik..

Namun seperti yang saya nyatakan pada awalnya, saya bukanlah insan yang luas ilmu agama. Masih banyak yang saya belum tahu. Lalu atas kesedaran ini juga, saya merujuk kepada yang lebih arif
[Boleh rujuk SINI dan SINI]. Dan apa yang saya dapati, kedua-duanya menyatakan bahawa ini BUKANLAH HADITH SAHIH!

Jadi kesimpulannya di sini, ingin saya mengingatkan diri sendiri dan teman-teman seIslam yang lainnya, agar berhati-hati dalam mendeclarekan sesuatu itu sebagai “hadith”! Janganlah sesekali kita sandarkan sesuatu itu kpd Nabi SAW dgn sewenang-wenangnya tanpa mengkaji selidik sanad dan matan sesuatu hadith itu, dan lebih “parah” andai kita menyebarkannya pula kpd orang lain... Ingatlah,
ancaman menyebarkah hadith palsu adalah sangat berat!

"Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka." - Hadith Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadith no.109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta ke atas Nabi SAW). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadith no. 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta ke atas Rasulullah SAW).

Maka berhati-hatilah dalam setiap tindakan kita. Janganlah menyebarkan sesuatu atas nama “hadith” andai tidak mengetahui dengan pasti akan status kesahihannya. Semoga kita semua tidak disiapkan Allah dengan api neraka atas kelalaian kita... Aamiiin...

~saya yang masih jahil... dan bersedia menerima teguran andai diri di pihak yang salah~

WALLAHU A3LAM...

# lagi tentang penyebaran hadith palsu:
Puasa diabaikan jika tidak memohon maaf terlebih dahulu

Thursday, December 24, 2009

PEGANG ANJING vs PEGANG GF/ BF


Di suatu kawasan tanah lapang, seekor lembu terserempak dengan seekor anjing yang kelihatan seperti sedang marah-marah. Si lembu pun segera memberanikan diri menghampiri si anjing, lalu menyapanya.

Lembu:
Hai anjing, apa khabar? Macam ada yang tak kena je?

Anjing: Aku tengah tension ni... Ikutkan hati, nak je aku gigit manusia tadi!

Lembu: Eh? Kenapa?

Anjing: Aku lalu tepi dua orang mansuia lelaki dan perempuan yang sedang berkepit. Tiba-tiba si lelaki terperanjat dan terus melompat, sambil berkata "hoi anjing, pergi jauh-jauhlah.. najis!"


Lembu: Ya, lah. Kau kan haram. Najis tahap berat bagi manusia. Biasalah tu...

Anjing: Kalau aku najis sekali pun, kalau dia tersentuh aku, boleh je disamak. Habis, yang dia sentuh dan raba-raba awek dia tu apa? Boleh ke nak samak dosa dia tu?

Lembu: Betul tu. Memegang wanita yang bukan mahramnya tanpa ikatan yang sah, lebih dahsyat kenajisannya daripada memegang kau wahai anjing, malah tak boleh disucikan sekalipun disamak!

Anjing: Wah.. ayat kau memang power la... lepas ni manusia kena ubahla pepatah "Pandai macam LEMBU"

*****************

Sentuh... Dulu, saya pelik, kenapa pegang tangan pun mesti dijadikan salah satu garis pandu untuk don’ts dalam bercouple? Bukankah berpegangan tangan sesama bukan mahram itu (melainkan suami-isteri) sememangnya haram? Ianya garis pandu untuk orang Islam secara menyeluruh, dan bukanlah hanya dalam soal bercouple! Itu asas pengetahuan dan pengamalan dalam Islam. Mudah saja. Jangan sentuh orang yang bukan mahram. Jika garis pandu asas ini pun tidak dipatuhi dan suruhan Allah dizalimi, maka dari situ jugalah bermulanya perkara-perkara lain yang di luar kawalan kita.

"Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram." (HR Ibnu Majah)

Berdasarkan hadith di atas, jelas sekali Islam melarang keras lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk bersentuhan, sehingga dikatakan menyentuh kulit khinzir adalah lebih baik daripada menyentuh kulit orang yang bukan mahram kita. Khinzir tu dah dikira sehina-hina makhluq pada pandangan kita, orang Islam. Tapi lihatlah, ternyata rupa rupanya, ada lagi yang lebih hina daripada tu. Orang yang membiarkan dirinya disentuh oleh orang yang bukan mahram itulah yang ternyata lebih hina daripada khinzir!

Bersentuhan (dengan sengaja dan apatah lagi bertujuan syahwat) antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa adanya ikatan pernikahan yang sah adalah berdosa dan wajib bertaubat (bagi membersihkan dosa). Sedangkan menyentuh anjing/ khinzir tidaklah berdosa dan hanya perlu disucikan melalui samak (bukan bertaubat!). Ini kerana, yang diharamkan ke atas kita adalah untuk memakan dagingnya, dan bukanlah menyentuhnya. Menyentuh anjing bukanlah satu kesalahan (dosa) atau maksiat. Tetapi, menyentuh pasangan bukan mahram yang tidak halal bagi seseorang itulah yang dikira sebagai dosa dan maksiat!

"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya." (HR At-Tabrani dan Baihaqi)

Apapun, semuanya bergantung kepada keyakinan kita kepada Tuhan. Ingat, bukan setakat percaya, tetapi YAKIN! Kita semua percaya Tuhan itu ada. Tapi adakah kita benar-benar yakin bahawa Tuhan itu ada? Kalau jawapan kita "ya", maka kita akan akui dan geruni segala kekuasaan-Nya. Kita akan turuti setiap kemahuan-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya. Kita akan sentiasa ingat, walaupun hanya pasangan kita saja yang tahu apa yang kita buat, tetapi hakikatnya Allah nampak dan tahu setiap sesuatu. Setiap daun yang gugur, dan setiap rasa dalam hati. Semuanya Allah tahu. Dia yang Maha Mengetahui. Ingatlah... Janganlah sesekali kita jadikan diri kita hamba kepada nafsu, tapi biarlah nafsu itu yang menjadi hamba kepada kita!

Sunday, December 20, 2009

YA ALLAH… LEMAHNYA DIRI INI…


Lemahnya diri ini
Baru sikit Allah menguji
Sudah rebah tak mampu berdiri

Lemahnya diri ini
Baru saja bayu dunia menyapa pipi
Sudah melayang tak sedarkan diri

Lemahnya diri ini
Baru sekelumit keindahan wajah diberi
Sudah mula lupa diri

Lemahnya diri ini
Baru sikit kejayaan diberi
Sudah lupa siapa yang beri

Lemahnya diri ini
Baru sikit buat kebaikan
Riak dan ujub bersorak riang

Lemahnya diri ini
Bila suatu kebajikan dimulakan
Tak berdaya nak teruskan
Tiada istiqamah dalam amalan

Lemahnya diri ini
Baru diuji dengan seorang lelaki/wanita
Iman sudah bisu menyepi
Nafsu pula mengawal diri

Lemahnya diri ini
Jalan dakwah kata nak tempuhi
Baru saja melangkah kaki
Beberapa tapak sudah berhenti

Lemahnya diri ini
Nikmat anugerah Ilahi
Biar sudah tak terhitung lagi
Tapi masih lupa mensyukuri

Lemahnya diri ini
Asyik lagha dengan urusan duniawi
Tak pernah khuatir amalan diterima
Atau dipaling

Lemahnya diri ini
Bagaimana nak sahut seruan jihad?
Baru sikit dilukai
Sudah menangis meratapi

Lemahnya diri ini
Lupa matlamat lupa syari’at
Terkejar-kejar yang tak pasti
Leka dibuai syaitan terlaknat

Lemahnya diri ini
Solat yang lima waktu pun sukar dijaga
Amalan sunat apatah lagi

Lemahnya diri ini
Ada aqal untuk berfikir
Tapi masih lagi menurut
Pada nafsu dan jalan karut

Lemahnya diri ini
Asyik ketawa tak kering gusi
Lupa menangis mengingat MATI…


Ya Allah…
Lemahnya diri ini..
Kupohon kekuatan daripada-Mu
Tuntunilah langkahku
Biar hanya mampu merangkak
Itu pasti lebih baik
Daripada terus rebah dalam kaku

Berikanku peluang
Merentasi jalan yang Engkau redhai
Ampunilah kekhilafan semalam
Atas kejahilanku mengenal makna kasih sayang-Mu…

Aamiiin Ya Rabbal 3aalamiin...



Notakaki: Kredit buat penulis asal yang tak dapat saya kenalpasti. Semoga Allah memberkati hidupmu... Sesungguhnya setiap bait kata-kata dalam puisi di atas benar-benar membuatkan diri yang sering leka dan alpa ini merasa sedar dan insaf. Ya Allah... betapa lemahnya diriku ini... Berilah hidayah-Mu kepadaku, dan bimbinglah daku dalam menghadapi liku-liku kehidupan duniawi ini... Tetapkanlah hatiku di jalan-Mu ya Allah... Aamiiin...

~saya yang kini diuji dengan pelbagai dugaan~

Saturday, December 19, 2009

HIJRAH HIDUP SEORANG WANITA


Bersempena dengan Maal Hijrah ni, saya ingin kongsikan bersama pembaca semua sebuah kisah mengenai penghijrahan seorang wanita dalam kehidupan hariannya, atau lebih tepat lagi, dalam menjalinkan hubungan rapat dan mesra bersama teman lelakinya. Kisah yg agak panjang, tapi kalau dapat membacanya sampai habis, inshaAllah akan mendatangkan kesedaran buat mereka yang mungkin masih leka dan alpa…

*******************

Aku tergamam sebentar. Mataku kaku melihat buku Kak Siti, roommateku, yg terdapat di atas mejanya, “111 WASIAT RASULULLAH SAW UNTUK WANITA SOLEHAH”. Bagaikan terpukau, mataku terus memandang buku itu. Entah sudah berapa hari aku merenung buku itu setiap kali Kak Siti tiada. Entah apa istimewanya hingga menarik tanganku utk mengambilnya. Ku belek-belek, kemudian ku baca satu-persatu isi kandungannya, masih tak ku temui bab yg menarik perhatianku, hinggalah akhirnya mataku terhenti apabila terbaca wasiat ke 5: “Jangan buat dosa besar”. Nak baca, tapi ada rasa secebis ketakutan.


Takut pada balasan yg bakal aku terima. Lebih2 lagi bab sebelumnya mengenai ketaatan kpd suami. Apakah pantas aku meletakkan perasaanku pada lelaki yg bkn suamiku? Apakah pantas aku menyerahkan sepenuh jiwaku terhadap insan yg bkn suamiku? Apakah pantas aku memberi ketaatanku pada insan yg bkn selayaknya?

Kepalaku cuba membayangkan semula adegan2 romantis antara aku dan Syam. Cinta pertama yg berputik gara2 tersalah ambil beg ketika minggu suai mesra utk pelajar tahun satu. Syam, lelaki pertama yg mengisi ruang kekosongan hatiku. Dialah insan yg byk memberiku semangat. Dialah insan yg mengeluarkan aku dari kongkongan kisah silam yg telah menghancurkan keyakinanku. Dialah insan yg membalut luka2 di hatiku. Dialah segalanya…

Pertemuan kami dua hari lps di kafe Sri Samping berulang tayang lagi. Mataku masih ingat senyuman manisnya. Tanganku masih merasai belaian tangannya. Telingaku masih ingat setiap perkataan yg dilafazkannya. Rasa terlalu bahagia. Terlalu indah hingga aku tidak tahu apa ayat yg harus ku ungkap utk menggambarkannya. Biarlah pertemuan itu milik kami. Aku tak ingin mengiktiraf kewujudan insan lain di kafe itu. Sekalipun aku dpt rasakan semua mata menjeling tajam ke arah kami. Ingin rasanya ku ajak Syam ke tempat lain yg lebih sunyi dan jauh dari mata manusia, tapi aku tak ingin mencacatkan setiap pertemuan kami.

Mujurlah Kak Siti tak pernah melihat kami bercengkerama di kafe. Peribadinya dan caranya bergaul dgn lelaki membuatku malu jika dia tahu. Rasa cemburu kadang2 menerpa ruang hatiku. Cemburu bagaimana dia boleh hidup tanpa boyfriend. Kadang2 aku ingin seperti dia, tapi… ah, lupakan saja soalan ini. Apa yg nak dicemburukan? Dia tu yg rugi sbb tak merasa betapa indahnya dunia percintaan. Dan aku selalu saja memberi alasan berjumpa utk membuat assignment, ataupun utk buat program. Aku tak tahu sampai bila aku harus menipu Kak Siti. Kak Siti memang tak setuju berjumpa berdua dgn lelaki. Sudah acap kali Kak Siti menasihatiku.


Ah, biarlah manusia mengutuk kami, sbb mereka tak merasa apa yg kami rasa! Tapi utk apa matlamat cintaku pada Syam? Utk berkahwin? Soalan yg hingga kini masih tiada jawapan. Aku juga seperti wanita lain, mengimpikan seseorang yg boleh membimbing aku ke jln yg benar. Syam memang lelaki yg membahagiakan, tapi aku tak pasti adakah dia boleh membimbingku.

Habis tu, utk apa? Sekadar suka-suka? Atau mengisi kekosongan duniaku? Lalu meragut kesucianku? Eh, mana mungkin Syam setega itu! Aku percaya! Tapi bagaimana pula jika nasibku seperti Ina? Kerana cinta pada Danish, sanggup berkorban. Dan kerana cinta dan pengorbanan itu jugalah, akhirnya Ina melahirkan seorang baby sebelum sempat mereka bernikah. Bagai pembalasan, Ina dibuang keluarga. Danish pula hilang entah ke mana. Tak cukup dgn itu, Ina sekarang terpaksa berdepan dgn penyakit tibi yg berjangkit melalui Danish. Tabahkah aku jika nasibku serupa dgnnya? Ya Allah, betapa besarnya pembalasan-Mu di dunia, bagaimana pula di akhirat nanti?

Aku seperti terdengar suara batinku meraung-raung kesakitan meminta utk dikeluarkan dari penjara dosa. Dosa yg telah merantai hatiku. Dosa yg gelap dan suram. Masih adakah cahaya utkku? Tapi, aku memerlukan dahan utk berpaut. Aku memerlukan pondok utk berteduh. Lalu kepada siapakah aku harus mengadu? Hatiku menangis lagi sekalipun zahirnya air mataku tidak jatuh…

*******************

Tut..tut..tut…. Handphoneku berbunyi nyaring di dlm kls. Aku lupa utk silentkan. Semua mata memandang ke arahku. Lecture Dr Asyraf juga tergendala seketika. “Minta maaf Dr”. Aku cuba menenangkan keadaan. Cemas. Takut dimarah. Ku ambil handphone yg ku letak dlm poket kecil beg hijau mudaku. Beg pemberian Syam ketika hari jadiku yg lps. Rupanya mesej dari Syam. Bibirku mengukir senyuman. Senyuman yg tak dpt aku pastikan maksud hatiku.

“I BALIK KAMPUS ESOK. BEST JUGAKLAH LABUAN NI. I BELIKAN SAYANG COKLAT. I NAK JUMPA SAYANG PETANG ESOK, FREE TAK? RINDULAH… : ) ADA SUPRISE UNTUK SAYANG”.

Aku terpempan. Senyuman tadi ku tarik semula. Tidak tahu apa yg harus aku taip. Mmg aku juga bagai nak gila kalau tak jumpa dgnnya walau sehari. Kalau boleh, aku ingin berkepit dgnnya ke mana saja dia pergi. Tapi... buku semalam bermain lagi di kotak fikiranku.

Entah kenapa, hatiku cukup terkesan dgn wasiat Rasulullah. Aku buntu dan keliru di antara dua jalan yg harus aku pilih. Jumpa atau tidak? Dpt aku rasakan iman dan nafsu sdg cuba bertarung merebut hatiku. Dan walaupun aqalku bertindak sbg pengadil, aku keliru utk menentukan siapa pemenangnya.

*******************

Seperti biasa, selepas solat subuh bersama kak Siti, kami ke padang utk berjogging. Satu bilik dgn budak masjid ni, membuatkan tidurku selalu terganggu. Masuk je waktu solat, mesti dikejutkan terutama time subuh dan asar. Jadi terpaksalah aku buat-buat pandai solat. Bukannya susah, ikut je cara Kak Siti, dan yg penting tahu setiap solat ada berapa rakaat. Di rumah? Huh… Jgn mimpi aku solat! Apa tidaknya, sjk kecil aku hanya kenal solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha, dan solat Jumaat utk orang lelaki. Hipokritkah aku? Atau inikah yg dikatakan dgn riak?

Aku terpandang lagi buku semalam yg masih ada di atas meja Kak Siti. Teringin sekali ku baca hingga habis. Tapi rasa malu pada kak Siti mengunci mulutku utk meminta izinnya. Rasa malu itu jugalah yg selalu menyekat tanganku utk mengambilnya di depan Kak Siti.

Mesej Syam semalam masih blm berbalas. Iman dan nafsu masih bertarung. Tak pasti bila pertarungan ini akan tamat. Hatiku hanya mampu menjadi penonton sdg aqalku menjadi pengadil, tapi aku tak pasti apa keputusannya. Setelah memakai kasut dan mengunci pintu bilik, kami berlari-lari kecil menuju stadium. Fikiranku masih melayang memikirkan buku semalam. Perlukah aku meninggalkan Syam? Jika tidak, perlukah aku trus membiarkan kami hanyut?

“Kak, boleh tak saya tanya satu soalan?”. Dia memandangku. Tersenyum. Kemudian mengangguk kecil.

“Kenapa kakak tak nak bercinta?”. Dia ketawa kecil. Eh, salahkah soalan aku tu?

“Kakak pun ada perasaan. Semua orang pun ada perasaan. Tak salah bercinta. Islam tak suruh kita matikan nafsu. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Cuma silapnya bila kita gunakan pendekatan barat untuk menyalurkannya."

“Pendekatan barat? Maksud kakak?”

“Mm…Bercinta sebelum kahwin. Itu pendekatan barat. Sedangkan Islam memberikan kita jalan yg paling mulia iaitu pernikahan. Hari Valantine tu siapa yg anjur? Islam tak pernah suruh sambut apa-apa hari percintaan. Tapi sebaliknya kita disuruh meraikan pernikahan.”

Pernikahan? Jadi salahkah percintaan kami? Telingaku seakan panas. Mulutku tak mampu bersuara. Kerongkongku seakan-akan tersekat.

“Maksud kakak, mana ada lelaki normal yg suka pada wanita yg dah dipegang-pegang oleh lelaki lain, yg dah dibawa ke hulu ke hilir. Tapi tengoklah kita sekarang, suami tak rasmi lagi, orang lain dah merasa…”

Jantungku berdegup kencang. Sakit. Pedih. Apa yg akan aku persembahkan pada suamiku kelak? Tanganku? Tangan ini entah sudah berapa ramai yg menyentuhnya. Tubuhku? Tubuh ini juga sudah tercemar. Rambutku? Rambut ini juga sudah berapa kali dibelai. Suaraku? Suara ini apatah lagi. Lalu, apa?

“Ala, macam kereta... Bayangkan perempuan tu macam kereta yg diletakkan di show room, display only. Tapi ada juga yg boleh ditest drive. Lelaki ini mmg suka kalau dilayan. Tapi kalau diberi pilihan, mestilah lelaki normal nak rasmi kereta yg belum disentuh, yg belum terusik, yg belum diguna, kan?”

Kali ini dadaku, jantungku, hatiku, dan benakku semuanya seolah-olah menahan kesakitan yg amat sgt. Amat perit. Aku tertekan. Namun aku cuba control. Tak mahu Kak Siti perasan. Ada suara berbisik, aku ini kategori kereta yg mana satu?

“Tapi sbg seorang muslim, kita kena faham matlamat kita hidup. Kakak tak bermaksud niat kita jaga diri ni utk suami, tapi tubuh badan kita ni pinjaman dari Allah SWT. Amanah Allah. Kita kena jaga baik-baik dan salurkan ke tempat yg diredhai Allah. Ingat tak, bilamana seorang sahabat bertanya kpd Rasulullah SAW ttg seseorang di antara sahabat tu ada yg menuruti nafsu syahwatnya, apakah dia mndapat pahala? Tahu tak apa Rasulullah SAW jawab?”

Aku sedikit gugup utk menjawab soalan Kak Siti. Mana mungkin aku mengingatinya. Bahkan cerita ttg sahabat tu pun aku tak pernah tahu. Sahabat yg ku ingat pun hanya Abu Bakar, Umar, Usman, dan… ah, aku sudah lupa. Kepalaku menggeleng perlahan. Kak Siti tersenyum. Ku harap senyuman itu mencerminkan dia faham keadaanku yg kurang pengetahuan. Kemudian dia bersuara semula.

Rasulullah SAW menjawab (maksudnya): “Bagaimana pendapat kamu kalau dia meletakkan syahwatnya itu pada sesuatu yg terlarang, berdosakah dia? Begitulah. Tetapi kalau dia meletakkannya pada sesuatu yg halal, pasti dia dapat pahala.” (HR Muslim)

“Sbb tu kakak tak nak bercinta. Sbb tu kakak selalu pesan dgn diri kakak, jgn pandang lelaki lebih dari seorang kawan selagi dia bkn suamimu! Kakak takut amanah Allah ni kakak salah gunakan. Suami tu dah lah halal, berkat pula. Lebih2 lagi mahkota kita ni adalah sedeqah buat suami kita.”

Amanah? Aku terlopong. Betapa gentarnya aku mendengar perkataan tersebut dari mulutnya. Teringat ketika di matrikulasi dulu, ustaz Redzwan pernah kata, amanah tu adalah yg paling berat. Serta-merta aku menakup mukaku erat-erat. Air mataku akhirnya tumpah. Tanganku terasa basah. Betapa hinanya diriku. Selama ini aku tidak menjaga amanah Allah SWT. Perlukah aku memutuskan hubunganku dgn Syam?

Tapi… hanya dia sahaja yg membahagiakanku. Bagaimana aku harus hidup tanpa belaiannya? Apakah aku buta kerana tidak menghargai kasih sayangnya? Nafsu dan aqalku kembali bertarung. Kali ini pertarungan lebih sengit. Masing2 tak mahu mengalah. Masing2 mahu menang. Dan aku menjadi mangsa pertarungan ini…

*******************

“Sayang, kenapa diam je?" Syam yg tadinya hanya merenung kebisuanku mula bersuara sambil tangannya cuba merangkul tubuhku. Secara refleks aku mengelak tangannya daripada menyentuh tubuhku walau seinci. Dia agak terkejut dgn tindakanku. Matanya terbeliak besar. Aku kembali kaku. Nafasku keras. Tunduk memandang sky juice yg masih tak ku sentuh. Tak ingin rasanya ku pandang wajahnya. Wajah yg membuat aku lupa diri. Wajah yg membuat aku lupa agama.

Namun… wajah ini jugalah yg pernah memberikan aku kebahagiaan. Aku tersepit antara dua cinta yg harus kupilih. Ikutkan hati, ingin aku lari dari pertemuan ini. Pertemuan yg hanya membawaku ke lembah dosa. Pertemuan yg hanya mengheretku ke neraka. Tapi aku tak dapat menipu diriku. Bahkan kehadiranku di sini kerana aku masih menyayanginya. Kata2 sayang dan rindu yg sering dilafazkannya membuatkan aku rasa bersalah menolak pelawaannya utk berjumpa. Siapa lagi yg akan melafazkan kata2 seindah itu padaku?

Coklat yg dijanjikannya ada di atas meja. Besar. Menyelerakan. Ada sebuah kotak kecil lagi di atas meja. Comel dan berbentuk hati. Dibalut kemas dgn warna pink. Warna kegemaranku. Inikah hadiah suprise yg ingin diberikan kepadaku? Inikah nilai cintaku? Tapi aku masih tak dpt menipu diriku. Aku memerlukannya sbg tempat mengadu. Aku masih memerlukannya sbg tempat bermanja. Aku tak punya siapa di dunia ini.

Ibubapaku? Hmm…. nama mereka pun aku tak tahu dan tak ingin aku tahu. Aku dibuang mcm sampah. Mujurlah masih ada dua insan yg mulia memungut aku. Merekalah tempatku bermanja. Namun mereka telah tiada, meninggal dunia dlm kemalangan semasa hendak mengambil aku di matrikulasi. Pada masa itulah aku mengetahui sejarah hidupku.

Aku bingung, hilang keyakinan dan rasa terhina. Tapi pada siapa harus aku mengadu? Keluarga? Mana mungkin aku dipedulikan lagi. Hadirnya Syam memberikan sinar baru dlm hidupku. Hati yg kelam kembali bercahaya. Hati yg sunyi kembali ceria. Hati yg bingung kembali terurus. Lalu tegakah aku meninggalkannya? Tapi kalau tak, sampai bilakah kami akan trus berdosa? Sampai bilakah aku akan trus membiarkan tubuhku dijelajahinya? Dan sampai bilakah hubungan ini berterusan?

Syam masih merenung wajahku. Masih setia menanti jawapanku. Aku pula masih tunduk mencari kekuatan utk bersuara. Tanganku bermain-main dgn sky juice yg ku pesan tadi. Masih sejuk. Dingin. Sedingin salju di Boston ketika aku melancong bersama keluargaku empat tahun lalu. Sama spt keadaan kami sekarang. Tiada belaian. Tiada kemesraan. Dgn mengumpul kekuatan yg semakin menipis, perlahan-lahan ku tarik nafas dan ku angkat muka. Aku memberanikan diri utk memandang wajahnya.

Anak matanya yg sjk tadi cuba menangkap pandanganku akhirnya ku balas. “Maafkan aku Syam… aku rasa kita patut berhenti di sini…”. Suara wanita siapakah itu? Suara akukah itu? Betulkah apa yg telinga ku dengar? Atau lidahku tersasul? Tapi antara kami tiada siapa lagi wanita selain aku. Akukah? Benarkah aku? Dgn ayat yg terakhir itu, aku undur kerusi. Ingin pergi. Dia terpinga-pinga.

“Kenapa ni, sayang? Sayang ada masalah ke?” Sayang? Perkataan yg keluar dari lidahnya yg lembut itu tiba-tiba bertukar menjadi sembilu yg menikam-nikam hatiku. Tajam. Sekaligus membangkitkan rasa perit yg blm pernah aku rasakan sebelum ini. Serta merta aku mengatup bibir. Antara geram, marah dan sedih. Pintu hatiku ku hempas kuat. Biar ia tertutup rapat. Tak ingin ku buka lagi. Lalu ku cuba memadamkan bait-bait perkataan yg berkumandang di telingaku sebentar tadi.

“Syam, aku bukanlah wanita yg layak menerima panggilan tu. Simpanlah buat isterimu. Jgn terlalu murah berikan perkataan tu pada org yg bkn selayaknya. Aku pergi bkn utk menafikan naluri ini. Tapi kita umat Muhammad yg punya cara teragung mengurus fitrah ini. Islam yg dibawa Baginda sudah cukup jelas. Akhlaq dan peribadi yg ditunjukkan tiada keraguan. Lalu mengapa kita begitu tega meninggalkan suruhannya? Tentu Baginda sedih melihat umat spt kita. Kembalilah Syam...”

Syam memandangku dgn pandangan tajam. Anak matanya tidak bergerak. Kaku. Mcm anak patung kena sawan. Di dalam matanya, dapat kulihat ada warna-warna kecewa. Ada warna-warna duka. Ada warna-warna luka. Nafsuku berbisik, “tariklah ayatmu tadi…” Aku menarik nafas dalam-dalam. Tekanan. Ada rasa bersalah. Tak pernah aku menyakiti hatinya. Tak pernah aku mendukakan hatinya. Tak pernah aku melukakan hatinya. Kerana hati itulah yg pernah menghadiahkan aku secebis cinta. Segunung kebahagiaan. Lalu kerana cinta itu, ku korbankan ketaatanku. Ku korbankan diriku. Ku korbankan segalanya.

Aku memandang semula wajahnya. Wajah yg mengharap simpati seorang wanita. Namun wajah ini jugalah yg pernah memberikan aku selautan dosa. Lalu dgn nada sayu, ku kuatkan hati utk membuka mulut.

“Maafkan aku, Syam…” Aku bingkas bangun dan berpaling. Kemudian kakiku bergerak perlahan. Terasa lemah meninggalkannya, tapi kali ini aku sudah nekad mencari cinta yg lebih suci dan mulia. Cinta yg tidak berdosa. Cinta yg selamat. Cinta yg mendamaikan.

*******************

Syam, kenangan bersamamu masih melekap kuat di ingatanku. Mana mungkin aku melupakannya. Tapi ini tekadku. Kita perlu berhenti melakukan perkara bodoh ini dan melepaskan segalanya. Tiada guna mengharap sesuatu yg tak pasti. Syam, aku akui sememangnya sukar untukku menghentikan hubungan ini, tapi biarlah jiwa ini beku dan kaku tanpa kehangatan kasih sayang itu andai ianya hanya singgah buat sementara. Kasih sayang yg hanya membawaku ke alam khayalan yg terlalu indah namun hakikatnya semua itu hanyalah noda bersulam dosa.

Syam, biarlah jodoh menentukan kita. Yakinlah pada taqdir, andai ada jodoh maka tak ke mana. Andai tiada jodoh antara kita, itulah yg terbaik utk kita. Lelaki yg baik utk wanita yg baik. Lelaki yg jahat utk wanita yg jahat. Kita harus akur pada ketentuan-Nya. Sama2lah kita bina diri, perbaiki setiap kelemahan. Kita masih blm terlambat. Jadikanlah kesilapan semalam pengajaran di hari esok.

Maafkan aku Syam, hubungan ini perlu dihentikan. Suka atau tidak, ia perlu ada penutup sekaligus pembuka tirai episod yg baru pula. Mudah2an di episod baru masih ada ruang utk kita. Masih ada cahaya utk kita. Masih ada title ‘umat Nabi Muhammad SAW’ utk kita. Doaku, moga kau menemui kebenaran selepas ini…

Air mata yg sejak tadi ku tahan mula bertakung mengaburi pandanganku. Namun mata hatiku dpt melihat ada cahaya di sebalik kesuraman yg selama ini menghuni segenap ruang hatiku lantaran dosa yg aku lakukan. Di sudut lain, aku melihat ada benih cinta lain sdg tumbuh di dasar hatiku. Menanti kehadiranku. Cinta yg pasti. Cinta yg tiada penghujungnya. Abadi lagi kekal. Itulah cinta Allah dan Rasul-Nya. Layakkah aku?

*******************

Salahkah hubungan ini? Keliru bertandang lagi di ruang fikiranku. “Cubalah cari sejarah Rasulullah SAW, ada tak kes Nabi kita bercinta dgn Khadijah sebelum berkahwin? Ataupun dgn mana-mana isteri Baginda yg lain?”, soal Kak Siti.

Sejarah Rasulullah? Ingatanku cuba mencari semula setiap saat di sekolah.Cuba mengingat wajah ustaz-ustazah yg mengajar ketika itu. Cuba mengingat buku2 sejarah yg pernah aku baca kot-kot aku boleh ingat semula sejarah Nabi Muhammad SAW. Akhirnya aku harus akur, ingatanku agak limited utk kembali mengingati sejarahnya. Tarikh lahirnya pun aku ingat2 lupa.. 20 Rabiulawal, 12 April kot... yg pasti tahun Gajah!

“Rasulullah SAW tauladan terbaik. Lelaki terbaik. Tak ada sejarah yg mencatatkan percintaan Baginda sebelum berkahwin, melainkan yg diceritakan semuanya percintaan selepas kahwin. Jadi bercinta sebelum kahwin tu dtg dari mana? Kalau dilakukan oleh Rasulullah SAW, bermakna kita yg bercinta sebelum kahwin ni pun mesti dpt pahala sbb mengikuti sunnah Baginda SAW. Mesti para sahabat dan ulama'2 juga berlumba-lumba utk bercinta sebelum kahwin... Ingat tak hadith Nabi SAW?

“Wahai orang muda, sesiapa pun di antaramu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin, kerana inilah satu cara menahan mata daripada melihat kepada keburukan dan memelihara kamu supaya suci dan mulia Dan sesiapa yang tak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa melemahkan nafsu” (Bukhari wa Muslim)

Rasulullah SAW tak sebut pun pasal bercinta, tak suruh pun kita bercinta. Tapi sebaliknya pernikahanlah yg dianjurkan. Kalau tak mampu, ada cara lain, iaitu dgn berpuasa. Sejajar dgn isi kandungan Al-Qur’an:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia ciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.” (Surah Ar-Ruum, ayat 21)

Jadi kalau kita buat apa yg Nabi tak suruh, kita ikut sunnah siapa? Sdgkan perkahwinan itu adalah amalan para rasul terdahulu.

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan……ilaa akhir ayat.” (Surah Ar-Ra’ad, ayat 38)

Panjang lebar penjelasannya. Aku seolah-olah disindir secara halus. Pedih utkku rasa. Pahit utkku telan. Tapi itulah kebenaran yg harus aku terima.

“Kalau lelaki tu baik, pertama sekali, dia akan selamatkan kita dari maksiat. Selamatkan kita dari dosa. Dia takkan pegang2 kita sbb dia tahu tangan kita hanya utk suami. Dia takkan ajak kita berjumpa berdua sbb dia tahu apa hukumnya. Kalau sebelum kahwin lagi dia tak boleh pimpin kita, bagaimana esok lusa? Boleh percaya ke mereka boleh bimbing kita? Dan kalau wanita itu baik, dia akan pastikan lelaki pertama di hatinya adalah suaminya. Lelaki pertama selain mahramnya yg menyentuhnya adalah suaminya. Bukan senang2 je bagi kat lelaki yg entah apa-apa. Dan lelaki ni, walau sejahat mana pun, apabila ingin mengambil seseorang wanita sbg isteri dan seterusnya menjadi ibu utk anak-anaknya, dia mesti nak juga memilih wanita yg baik.”

Aku tunduk. Mukaku merah. Malu. Tapi pada siapa? Pada Kak Siti atau…..? Ada rasa bersalah. Ada rasa berdosa... tapi pada siapa…? Air mataku cuba ku tahan. Tak ingin aku lepaskan depan Kak Siti. Biarlah ia bertakung di tasik hatiku yg kering-kontang dilanda kemarau lantaran dosa yg aku lakukan.

Masih adakah setitis embun yg sudi bertakung di dalamnya? Ku pandang langit hatiku. Gelap. Suram. Tiada bercahaya. Masih adakah mentari yg sudi menyinari segenap ruang hatiku?


“Jadi kak, perempuan yg bercinta tu jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?”

“Tentulah! Mana ada lelaki normal yg suka pada barangan ‘second hand’, sedangkan ‘barang baru’ masih ada.”

Dadaku bergetar mendengar suaranya. Tegas tapi berhikmah.

Friday, December 18, 2009

AYUH, KITA BERHIJRAH!


Berkumandangnya azan Maghrib malam semalam, maka selangkah kaki kita telah pun bertapak memasuki kehidupan yang baru, pada tahun yang baru, juga dengan keazaman yang baru. SALAAM MAAL HIJRAH 1431H buat semua pengunjung yang sudi ziarah ke blog “KONGSI BERSAMA” (^_^)

Kebiasaannya, tahun baru disambut dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Masing2 tanamkan azam yang mendalam dan semangat yang tinggi untuk memulakan kehidupan di tahun baru. Bagus! Jadikanlah ia sebagai motivasi untuk teruskan hidup agar menjadi insan yang lebih cemerlang di masa akan datang.. cemerlang di dunia, juga di akhirat, inshaAllah.

Namun sejenak, marilah sama2 renungkan kembali… Tahun 1430 Hijrah telah pun berlalu. Bagaimanalah catatan amalan kita dlm buku amalan tahun lalu.. Di ruang manakah yg lebih banyak tercatat? Kanan atau kiri? Amalan kebaikan atau sebaliknya amalan kejahatan? Semuanya bergantung kepada amalan seseorang individu tersebut..

Walau apapun jawapannya, semuanya telah berlalu. Segala yg tercatat sama sekali tak kan dpt kita minta utk dipadamkan. Apa yg boleh kita lakukan, hanyalah dgn memperbanyakkan istighfar serta bertaubat memohon keampunan Allah atas segala dosa yg kita lakukan. Seterusnya, tanamkanlah azam yg bersungguh2 utk menghijrahkan diri ke arah menjadi insan yg lebih baik.

PENGERTIAN HIJRAH

Sebut tentang hijrah, tahukah kalian apa itu “hijrah”? Rasanya ramai yang boleh memberikan definasinya dengan tepat, kan? Hijrah dari sudut bahasanya ialah
berpindah dari satu tempat ke satu tempat, atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain.

Dari sudut istilahnya pula, hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (HR Abu Dawud)

Dalam makna yang lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Seseorang itu dikatakan telah melakukan hijrah apabila meninggalkan ajaran yang bertentangan dengan Islam, lalu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

AZAM TAHUN BARU 1431H

Bersempena dgn Tahun Baru 1431H ini, marilah sama-sama kita perbaiki segala kesilapan dan kesalahan kita yg lalu, dengan memperbanyakkan lagi amalan2 yg dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, menuju mardhotillah. Selalulah bermuhasabah diri, serta menginsafi segala dosa yang telah kita lakukan dahulu. Bertaubatlah. Berubahlah. Atau sekuran2nya pasanglah niat dan berusahalah untuk berubah. Tiada siapa yg akan dpt mengubah diri kita, melainkan diri kita sendiri, dan pastinya dengan izin Allah. InshaAllah, andai kita punya niat baik yg seterusnya diusahakan dengan bersungguh2, pastinya Allah akan membantu memudahkan kita ke arah mendapatkan keberkatan-Nya.

Ayuh semua! Kita masih belum terlambat! Selagi kita masih bernafas di muka bumi yg dipinjamkan Allah ini, pastikanlah setiap detik kita diisi dgn segala perkara yg membawa kebaikan dan manfaat, samaada buat diri sendiri, ataupun buat sekalian manusia umumnya.

UNTUNG, RUGI, atau CELAKA??

Ingatlah, Allah tidak pernah memaksa kita untuk menjadi hamba-Nya yg sentiasa berbuat baik dalam rangka pengabdian kepada-Nya. Hakikatnya, Allah hanya menciptakan kita, lalu dibekalkan kita dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai garis panduan dan bimbingan untuk menjalani kehidupan seharian berlandaskan syariah. Melalui kalaamullah dan ahadith jugalah kita dapat tahu mana yg baik dan mana yg tidak baik.

Kita juga turut dianugerahkan aqal fikiran, dua mata, dua telinga, dan dua bibir untuk dapat memilih salah satu jalan dari dua jalan yang ditawarkan, yang akhirnya menjadi penentu kediaman kita kelak. Ke Syurga kah kita? (Mudah2an.. aamiiin..) Atau ke Neraka kah kita? Na3uzubillaahi min dzaalik..

Apapun, semuanya bergantung kepada amalan kita. Bekalan yg kita bawa utk kehidupan yg tiada pengakhirannya nanti. Justeru itu, pertimbangan untung dan rugi adalah sangat bermanfaat dlm menentukan pilihan yg terbaik dan terbijak utk kita pilih jalan mana yg akan ditempuh, dlm menuju kehidupan yg pasti di sana nanti.

Dalam hal ini juga, Rasulullah SAW ada memberikan tiga pilihan buat kita, iaitu untung, rugi dan celaka. Kita dikatakan UNTUNG apabila (amalan) kita pada hari ini lebih baik berbanding semalam, RUGI apabila (amalan) kita hari ini kita sama sahaja dengan semalam, dan CELAKA apabila (amalan) kita hari ini lebih sedikit daripada semalam.

Oleh itu, marilah sama-sama kita tingkatkan amalan dengan sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga amalan kita pada hari ini adalah lebih baik berbanding semalam, dan semoga amalan kita esoknya akan lebih baik berbanding hari ini. Semoga kita tidak termasuk dalam kategori orang2 yang rugi apalagi celaka. Na3uzubulillah… Ayuh, berhijrahlah dan lakukanlah kebaikan! Semoga Allah redha pada kita dan kita pun redha pada Allah.. Kullu 3amin Wa Antum Bi Khair.. Aamiiin…

Saturday, December 12, 2009

KENAPA HARUS TAKUT PADA KEMATIAN?


MANUSIA DAN PERASAAN TAKUT

Perasaan takut adalah fitrah. Kita harus punya rasa takut sebagai sebahagian daripada mekanisma pertahanan hidup. Seorang mahasiswa yang takut tidak lulus ujian, akan mendorong dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan seorang pemandu yang takut mengalami kemalangan jalanraya, akan membuatkan dirinya berhati-hati ketika membawa kendaraan. Dalam erti kata lain, rasa takut itu diperlukan untuk mempertahankan kelangsungan hidup seseoraang.

Takut dalam batas-batas normal sangatlah bermanfaat bagi kehidupan. Namun apabila ianya sudah melebihi ambang normal, bererti rasa takut itu telah berubah menjadi abnormal. Perasaan takut yang berlebihan inilah yang harus kita tangani. Rasa takut itu janganlah dibuang, tetapi harus diurus dan dikelola dengan baik sehingga menjadi energi kehidupan.

Kita wajib mampu mengelola rasa takut yang wujud dalam diri kita kerana ianya merupakan sebahagian daripada ujian hidup yang harus kita hadapi. Kita akan diuji oleh Allah SWT dengan rasa takut, khawatir, kekurangan harta, bahkan kelaparan.

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (atas ujian itu).”
(Q.S. Al-Baqarah, 2: 155)

Justeru itu juga, apabila kita merasakan ketakutan yang berlebihan, maka seharusnya kita kembali kepada jalan asal, memohon perlindungan diri daripada Allah SWT. Kita harus yakin bahawa Allah SWT bersifat Maha Melindungi, Maha Penyayang, dan Maha Berkuasa. Hal ini seterusnya membuatkan diri kita menjadi lebih tenang menghadapi rasa takut yang berlebihan.

“(iaitu) Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati”
(Q.S. Ar-Ra’d, 13: 28)

Ada perasaan takut yang justeru harus kita pupuk, latih, dan rawat. Tidak lain tidak bukan, rasa takut kepada Allah SWT. Allah memberi penghargaan yang tinggi kepada orang-orang yang memiliki rasa takut kepada-Nya, dengan menggelarkan mereka itu sebagai “Ulul Albab” (orang yang beraqal atau memiliki kearifan).

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda (atas kekuasaan Allah) bagi Ulul Albab (orang-orang yang beraqal atau kearifan). (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk, berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”
(Q.S. Ali Imran, 3: 190-191)

Ekspresi takut kepada Allah akan melahirkan sikap taqwa, iaitu takut akan seksa serta azab Allah SWT sehingga ianya menjadi pendorong untuk seseorang hamba itu agar selalu melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa memohon kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Q.S. As-Sajadah, 32: 16)


BAGAIMANA PULA DENGAN PERASAAN TAKUT MATI?


Dalam batas-batas tertentu, takut mati adalah fitrah dan wajar buat seseorang. Bahkan ianya adalah baik apabila rasa takut akan mati itu mampu menjadi pendorong atau motivator untuk berbuat pelbagai kebajikan dan menjadi energi untuk menjauhkan diri daripada kemaksiatan. Takut akan mati seperti ini adalah sangat baik, dan harus kita tumbuhkan dan rawat. Nabi SAW pernah bersabda, (maksudnya): “Perbanyaklah mengingat ‘pemutus keni3matan’, iaitu kematian!”

Keterangan ini mengisyaratkan bahawa dalam batas-batas tertentu, takut kepada kematian adalah sangat baik. Namun takut akan mati boleh juga berubah menjadi sangat buruk apabila ia membawa kita kepada sikap apatis, tidak ada semangat hidup, bahkan sering berputus asa. Takut kepada mati seperti ini harus disembuhkan dengan cara memupuk kesedaran bahawa setiap orang pasti akan merasai mati, baik cepat ataupun lambat.

Jadi kesimpulannya, kita tidak perlu takut untuk mati, sebab mati itu pasti akan kita alami. Yang harus kita takuti, ialah apa yang akan kita bawa setelah mati. Jadikanlah takut mati sebagai motivator atau pendorong buat kita untuk berlumba dalam melakukan kebajikan dan kebaikan.


~WALLAHU A3LAM~

Sumber: PercikanIman.ORG


Notakaki: Takut kepada kematian adalah normal dan dialami oleh hampir semua manusia. Tidak mengapa, asalkan ianya bukanlah takut yang berlebihan. Perlu diingatkan, rasa takut akan mati itu haruslah dijadikan peringatan buat diri supaya sentiasa mengejar melakukan kebaikan demi mengumpul bekalan sebanyak mungkin untuk dibawa ke akhirat kelak…

Friday, December 11, 2009

KAWAN TU MACAM APA YE??


Kawan bukan macam main FUTSAL…
Mula-mula kejar, tapi dah dapat, disepak.

Kawan bukan macam main SKATE...
Mula-mula gosok, lepas tu pijak.

Kawan bukan macam main RAGBI...
Mula-mula tangkap, bila dah dapat, ditendang.

Kawan bukan macam PAMPERS…
Dah pakai, buang.

Kawan bukan macam BARANG KEMAS…
Waktu baru beli pakai, tapi bila sengkek, digadai.

Kawan bukan macam PELANGI…
Hari cerah tiada, tapi bila hujan gerimis, barulah muncul.

Kawan bukan macam KERETA…
Rosak sikit, terus dijual, dan diganti dengan kereta baru.

Kawan bukan macam CHIPSMORE…
Kejap ada, kejap tak ada.

Kawan bukan macam BANK…
Bila tiada duit, barulah datang untuk ambil (pinjam) duit.

Lagi..... kawan tu macam ape ye???


Haa... kawan tu macam AWAK la!

Bila saya hantar mesej, awak akan baca mesej saya dengan teliti sampai habis, kemudian balas...
Bila saya update blog ni, awak akan datang ziarah untuk baca dan tinggalkan komen...



Walau apa pun tanggapan orang tentang ‘kawan’, bagi saya, kawan tu penting. Seorang kawan takkan biarkan kawan dia menangis, sedih, berduka dan sebagainya sendirian. Kawan yang sejati akan sentiasa berada di sisi kawannya di waktu susah mahupun senang, dan mudah untuk diajak duduk dan berbincang tentang pelbagai perkara. Dan yang paling penting, seorang kawan akan sentiasa menghadiahkan senyuman kepada kawan-kawannya (^_^)


“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya”
(HR al-Hakim)

9 BENTUK PEMBAZIRAN YANG SERING DILAKUKAN MANUSIA


Sepertimana yang kita sedia maklum, Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup membazir dalam semua urusan samada urusan yang berkaitan dengan perbelanjaan harta, pengurusan masa, dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir merupakan satu sifat tercela, buruk lagi keji, sehinggakan Allah mengatakan pembazir itu adalah saudara syaitan.

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu pula adalah makhluq yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Al-Isra’, 17: 27)

Berdasarkan ayat di atas, kita dapat lihat betapa kita dilarang daripada membazir. Kenapa? Kerana tabiat buruk ini hanya akan terjadi apabila manusia tidak mensyukuri segala ni3mat yang telah Allah berikan kepada mereka. Mereka sebaliknya menggunakan rezeki dan ni3mat tersebut secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepatutnya. Mereka seolah-olah terlupa bahawa segalanya adalah milik Allah yg hanya dipinjamkan kepada mereka.

Selain daripada membazir harta, masa dan tenaga, terdapat banyak lagi pembaziran yang sering dilakukan manusia tanpa mereka sedari. Hakikatnya, apa sahaja perbuatan yang mengarah kepada pengurusan atau pekerjaan yang merugikan, maka ianya juga termasuk dalam erti kata melakukan pembaziran.

Dalam hal ini, Ibnu Al-Qayum Al-Jauziah mengatakan, terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia, iaitu pembaziran:


(1) Ilmu pengetahuanmembazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.

(2) Amalanmembazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas.

(3) Kekayaan membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredhai Allah SWT.

(4) Hati membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah SWT.

(5) Tubuh badanmembazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.

(6) Cintamembazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

(7) Masamembazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.

(8) Aqal membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

(9) Dzikir membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Maka kesimpulannya di sini, pembaziran boleh terjadi dalam apa jua bentuk. Tanpa kita sedari, mungkin kita juga tidak terlepas daripada melakukan pembaziran-pembaziran sebagaimana yang dinyatakan di atas. Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing… Semoga perkongsian ini dapat menyedarkan kita sekaligus membuatkan kita lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan kita supaya terhindar daripada melakukan segala pembaziran tersebut.

Thursday, December 10, 2009

AYAH, BAGILAH BALIK TANGAN ITA…


# Kisah ini mungkin ramai dah pernah baca. Namun sengaja saya postkan juga di sini, mudah2an kita dpt mengambil iktibar dan pengajaran supaya tidak bersikap terlalu keduniaan. Sesungguhnya harta dunia hanyalah pinjaman semata-mata, dan sama sekali tidak akan dibawa bersama ke alam kubur dan akhirat kelak…

*************************

Sepasang suami isteri, sama seperti pasangan lain yang menetap di kota-kota besar, meninggalkan anaknya diasuh pembantu rumah semasa mereka keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga setengah tahun, bernama Ita.

Disebabkan terlalu sibuk dengan kerja-kerja yang harus dilakukannya, pembantu rumah tersebut kerap membiarkan Ita bermain sendirian. Ita juga dibenarkan bermain di luar rumah, tetapi pintu pagar rumah tetap dikunci. Bermainlah Ita samada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli ayahnya, ataupun memetik bunga-bunga yang terdapat di laman rumahnya.

Suatu hari, Ita terjumpa sebatang paku karat. Dia pun mencuba bakatnya melakar simen tempat letak kereta ayahnya. Tetapi disebabkan ianya diperbuat daripada marmar, maka lakarannya tidak kelihatan. Ita kecewa.

Matanya terus mencari-cari. Di satu sudut, Ita nampak kereta baru ayahnya. Kebetulan pada hari tersebut, ayah dan ibunya menunggang motosikal ke tempat kerja kerana laluannya agak sesak sempena perayaan Thaipusam. Lalu dicubanya pada kereta tersebut… Dan ternyata hasilnya memuaskan! Kereta itu bewarna gelap, maka lakarannya jelas kelihatan. Apalagi, kanak-kanak itu pun merasa puas, lalu meneruskan lakaran untuk menunjukkan kretivitinya.


Penuh lakaran dibuat di sebelah kanan, dia beredar pula ke sebelah kiri kereta tersebut. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari pembantu rumah.

Pulang dari tempat kerja pada petang itu, terkejut habislah pasangan suami isteri ini tatkala mata terpandang kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, kini kelihatan berbatik-batik. Apalagi, naik beranglah si ayah. Belum pun kaki menjejak masuk ke rumah, si ayah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?!"

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu, segera berlari keluar. Sempat dia beristighfar. Dia yang tidak tahu-menahu hal itu juga kelihatan terkejut melihat lakaran pada kereta tersebut. Mukanya merah padam kerana takut melihat wajah bengis majikannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dan dia terus mengatakan, "Tak tahu".

"Duduk di rumah sepanjang hari pun tak tahu? Apa kau buat?", herdik si isteri pula. Si anak yang terdengar suara ayah dan ibunya, tiba-tiba berlari keluar dari biliknya. Dengan penuh manja dia berkata, "Ita yang buat, ayah... cantik, kan?". Tanpa menunggu reaksi si ayah, Ita segera menerkam ayahnya, ingin bermanja seperti selalu.

Si ayah yang hilang sabar, terus merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, lalu dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tidak mengerti apa-apa, terlolong-lolong kesakitan dan ketakutan. Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya.

Si ibu hanya mendiamkan diri, mungkin setuju dan merasa puas dengan hukuman yang dikenakan ke atas anaknya itu. Pembantu rumah pula melopong, tidak tahu harus buat apa. Si bapa cukup rakus memukul kedua-dua belah tangan anaknya tanpa rasa kasihan.

Lama selepas itu, setelah merasa puas, si ayah akhirnya berhenti memukul, lalu masuk ke dalam rumah, diikuti si ibu. Si anak yang ditinggalkan sendirian, digendong pembantu rumah lalu dibawanya masuk ke dalam bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan Ita calar-balar.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air, dia menangis. Ita pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan Ita bengkak. Pembantu rumah mengadukan hal tersebut kepada majikannya. "Sapukan minyak gamat!", balas tuannya, ayah kepada si anak, dengan nada selamba, langsung tidak menunjukkan rasa risau.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya. Tidak seperti kebiasaannya, sejak peristiwa tersebut, setiap kali pulang dari kerja, dia langsung tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu rumah. Si ayah kononnya mahu mengajar si anak.

Si ibu juga begitu, tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah perkembangan anaknya. Suatu hari, seperti biasa si ibu bertanyakan keadaan anaknya kepada pembantu rumah. "Ita demam .....", jawab pembantunya dengan ringkas. "Bagi minum panadol tu," balas si ibu. Sebelum masuk ke bilik tidur, sempat dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa dia ke klinik. Pukul 5.00 bersiap," pesan majikannya itu.

Sampai waktunya, si anak yang longlai dibawa ke klinik. Setelah diperiksa, doktor mengarahkan supaya Ita dirujuk ke hospital kerana keadaannya terlalu serius.

Setelah seminggu ditahan di wad pediatrik, doktor akhirnya memanggil ibubapa kanak-kanak itu. "Tiada pilihan...", katanya yang mencadangkan agar kedua-dua belah tangan Ita dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk. "Ia sudah bernanah. Demi nyawanya, kedua-dua belah tangannya perlu dipotong dari siku ke bawah", kata doktor.

Si ayah dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata doktor itu. Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak terjaga lalu menangis kesakitan. Dia terpinga-pinga melihat kedua-dua belah tangannya berbalut kain putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Dia masih merasa bingung. Kemudian beralih pandang ke wajah pembantu rumahnya. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis.

Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah akhirnya bersuara dalam linangan air mata... "Ayah... Mama... Ita tak kan buat macam tu lagi. Ita tak nak ayah pukul Ita. Ita sayang ayah, sayang mama...", katanya berulang-kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Ita juga sayang Kak Narti...", katanya sambil memandang wajah pembantu rumahnya, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Ayah... bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil tangan Ita... Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi! Ayah pulangkanlah tangan Ita ye..." katanya bertalu-talu, merayu kepada si ayah agar mengembalikan kedua-dua belah tangannya.

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya itu. Meraung dia sekuat hati, namun taqdir yang sudah terjadi, tiada manusia yang dapat mengubahnya...

*************************

Notakaki: Apalah sangat salah si anak sehinggakan dihukum dengan kehilangan kedua-dua belah tangan? Hakikatnya, kereta tersebut hanyalah harta duniawi, sedangkan anak merupakan tanggungjawab dan amanah buat ibubapa. Jadi didiklah anak-anak sebaiknya dengan cara yang sepatutnya. Janganlah bertindak mengikut emosi dan perasaan, yang seringkali membuatkan kita menyesal kemudiannya. Berhati-hatilah dalam bertindak, kerana “menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya”...

“Harta benda dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia, dan
(amalan-amalan) yang kekal lagi soleh, adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu, serta lebih baik untuk menjadi harapan.”
(Al-Kahfi, 18: 46)

p/s: Ada yang kata, kisah ni benar-benar terjadi, dan pernah disiarkan dalam Mastika bertahun-tahun yang lalu.. Benarkah? Maaf tak dapat nak pastikan sebab saya sendiri dah berkurun tak baca Mastika =D Apapun, semoga perkongsian kisah ini di sini dapat dimanfaatkan bersama..

Related Posts with Thumbnails