# Apa itu istidraj?
Istidraj ialah pemberian ni‘mat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhai-Nya. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan ni‘mat tersebut buat hamba-Nya, namun pemberian tersebut adalah tanpa redha-Nya.
Rasullulah SAW bersabda (maksudnya): "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan ni‘mat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah baha wa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat seringkali terkeliru dengan pemikirannya yang merasakan bahawa ni‘mat yang telah datang kepadanya itu adalah kerana Allah beserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.
Ekoran itu, ada yang menjadi ragu-ragu. Mereka merasa hairan kerana mereka yakin, kalau kita hendak dapatkan kebahagian di dunia dan akhirat, maka kita mestilah mengikut jejak langkah Rasullulah SAW dan berpegang teguh pada agama Islam. Jadi mengapa yang sebaliknya (yang berbuat maksiat dan dosa) pula yang mendapat kesenangan di dunia ini??
Bagaimana pula dengan orang yang menunaikan solat 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, berpuasa bukan sahaja di bulan Ramadhan bahkan sering juga mengamalkan puasa-puasa suna, tetapi hidup mereka biasa sahaja? Malah ada yang susah dan serba kekurangan. Kenapa?
Dan bagaimana pula orang yang seumur hidupnya tidak menunaikan solat, berpuasa pun tidak pernah, tetapi rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak sentiasa berlebihan? Mengapa dia boleh hidup kaya dan mewah??
Bila kita tanya, apa kamu tidak takut akan mati? Katanya, “alah, orang lain pun mati juga. Kalau masuk neraka sekalipun, ramai-ramai. Jadi tak kisahlah!”. Sombongnya mereka, takburnya mereka…
Rasullulah SAW naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong. Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluq di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka juga tidak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tetap juga tunduk dan sujud menyembah Allah.
# Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan.
Walaupun berbuat maksiat, mereka merasa Allah masih dan sentiasa menyayangi mereka. Bahkan lebih parah lagi, ada di antara mereka juga yang turut memandang hina kepada orang yang beramal.
"Si fulan tu siang malam ke masjid, tapi basikal pun tak mampu beli. Sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat, tentu boleh kaya macam aku," kata manusia yang sombong. Boleh pula diperlinya manusia yang sering beribadat namun hidup tidak mewah seperti dirinya.
Mungkin dia terlupa… Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan ni‘mat yang banyak bukanlah untuk memberikan kesenangan hidup kepadanya buat selama-lamanya, tetapi dengan tujuan untuk menghancurkannya, apabila tiba waktu dan ketikanya.
Rasullulah SAW bersabda (maksudnya): "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul æIbad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka ia akan duduk diam di bawah batu, atau merayap di celah-celah daun. Tetapi jika Allah hendak membinasakannya, maka Allah berikan ia sayap. Lalu, apabila sudah bersayap, maka anai-anai pun berubah menjadi kelkatu. Kelkatu pula, apabila mendapat ni‘mat (sayap), dia akan cuba melawan api.
Begitulah juga manusia. Apabila mendapat ni‘mat, seringkali leka dan alpa, malah cuba untuk melawan Allah SWT. Tidak percaya? Terlalu banyak bukti yang ada dalam Al-Qur’an. Mari kita imbas kembali kisah insan-insan terdahulu…
(1) Firaun: Nikmatnya tidak terkira… tidak pernah sakit, malah bersin pun tidak pernah, kerana Allah berikannya ni‘mat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga. Sampailah dia merasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Akan tetapi, Allah jua lah yang Maha Berkuasa. Ditaqdirkan, dengan ni‘mat yang melimpah-ruah itulah Allah binasakan dia.
(2) Namrud: Seorang Raja yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud sehinggakan dia begitu sombong dengan Allah. Namun akhirnya menemui ajal hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Itulah tanda kekuasaan Allah terhadap makhluq-Nya yang selalu sombong dengan ni‘mat yang diberikan Allah.
(3) Qarun: Tidak ada manusia hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Tetapi ditaqdirkan akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur dengan segala pemberian Allah kepadanya.
Oleh itu, kita harus sentiasa beringat, dikurniakan harta yang banyak tidak semestinya bererti Allah sayangkan kita. Qarun jauh lebih kaya dari kita. Hartanya melimpah-ruah, namun akhirnya binasa juga. Maka, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan dan persoalan yang mengganggu fikiran kita: Mengapa orang kafir ada yang kaya, dan mengapa orang yang berbuat maksiat juga boleh hidup senang dan mewah.
Sesungguhnya pemberian yang Allah berikan kepada mereka itu bukanlah beserta dengan keredhaan-Nya, malah sebaliknya ianya bertujuan untuk menghancurkan hidup mereka atas sebab kekufuran mereka mensyukuri ni‘mat permberian Allah serta mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Untuk apa hidup jika tanpa redha-Nya?
Tetapi jangan pula apabila kita nampak ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah, terus kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Kita harus faham, orang yang mengunakan ni‘mat bagi tujuan kebajikan serta mengabdikan diri kepada Allah bukanlah istidraj!
Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita mahukan. Tujuan hidup kita adalah mencari keredhaan Allah SWT.
Lalu bagaimana caranya utk menentukan ni‘mat yg diredhai Allah?
Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang ni‘mat yang diterimanya itu apabila dia bersyukur di atas pemberian ni‘mat tersebut. Dia juga akan menggunakan segala ni‘mat pemberian Allah kepadanya ke jalan kebaikan, dan sentiasa redha serta ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Dengan itu, segala limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah dikira sebagai ni‘mat pemberian yang diredhai Allah. Apabila tujuan hidup kita adalah untuk mencari keredhaan Allah, maka inshaAllah selamatlah kita di dunia dan akhirat.
~ Wallahu a‘lam… ~
Notakaki: Sama juga halnya dgn kejayaan seseorang di bidang akademik. Kalau kita perhatikan, ada juga org kafir dan mereka yg berbuat maksiat, yg beroleh kejayaan cemerlang dlm pelajaran. Mengapa? Mgkn sbb mereka gigih berusaha. Kita kena ingat, Allah itu Maha Adil. Siapa yg berusaha dgn gigih, berhak mendapatkan kejayaan. Namun demikian, boleh jd kejayaan yg diperoleh mereka itu juga adalah istidraj, yakni pemberian tanpa keredhaan Allah. Walau apapun, kita kena sentiasa berbaik sangka kpd Allah. Dia yg menciptakan segalanya, Dia juga Maha Mengetahui, maka pastinya Dia tidak akan sesekali melakukan kesilapan dlm apa yg Dia lakukan. Segala ketentuan-Nya pasti ada hikmah di sebaliknya. Allah tahu apa yg terbaik buat hamba2-Nya. Oleh itu jgnlah kita sangka yg bukan2 kpd Allah andainya Dia mengurniakn ni‘mat yg byk kpd mereka yg mengingkari perintah-Nya…
Kata Hati: Takut2 juga fikirkan kemungkinan diri ini juga diistidrajkan tanpa sedar... Ya Allah, semoga diri ini sentiasa dalam lindungan-Mu dan terhindar daripada diistidraj oleh-Mu... Aamiiin..
salam'alaik
ReplyDeleteterima ksh pekongsian ni....
dalam senang pn adalah ujian,dalam susah pn adalah ujian
salam 'alaik :)
ReplyDeletela shukran ala wajib.. moga ada manfaat diperoleh dari setiap apa yg dikongsikan di sini.. aamiiin..
yup.. betul kata ila tu.. susah mahupun senang, dua2 keadaan pun boleh dikira sebagai ujian.. sbb tu kita kena sentiasa beringat bhwa semua yg kita punya di dunia ni, hakikatnya hanyalah pinjaman, milik mutlaq Allah SWT semata2..
terima kasih sbb ingtkan diri ni ^_^