Sepertimana yang dijelaskan dalam entri yang sebelumnya, Qiyamullail merupakan satu amalan yang sangat digalakkan buat kita. Sedangkan semua amalan sunnah Nabi seharusnya kita jadikan contoh dan panduan, maka apatah lagi yang dikira sunat mu’akkad, lebih2la ditekankan supaya kita amalkan.
Ketinggian darjat solat malam ini juga disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Solat yang paling afdhol setelah solat fardhu adalah Qiyamullail” (HR. Bukhari dan Muslim).
Biarpun sudah mengetahui keutamaan serta kelebihan qiyamullail, namun tidak ramai yang melakukannya. Mungkin niat untuk qiyamullail itu ada, tetapi tidak kesampaian ekoran masalah sukar untuk bangun mengerjakannya di malam hari. Di sini saya kongsikan bersama, beberapa tips yang mudah2an boleh membantu memudahkan kita untuk bangun solat malam.
1) Berazzam (berkeinginan kuat) untuk bangun solat malam.
> Mengetahui kelebihan qiyamullail lalu berusaha untuk mendapatkan ganjarannya.
> Kerinduan yang teramat sangat untuk taqarrub kepada Allah di keheningan malam.
> Kuatkan rasa cinta kepada Allah, dan ingin “bercakap-cakap” dengan Allah lebih dekat.
> Mewujudkan perasaan benar2 ingin dicintai Allah lalu berusaha untuk menyendiri (berkhalwat) dengan-Nya.
> Merasa terlalu ingin untuk menghadapkan diri kepada-Nya, berkeluh-kesah, mengadu dan menangis hanya kepada-Nya demi mendapatkan ketenangan jiwa.
2) Menanamkan hasrat untuk meneladani Rasulullah, sebaik-baik teladan yang kita diperintahkan untuk mengikutinya.
> Dari Aisyah RA berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW solat malam sampai pecah-pecah (bengkak) kedua kakinya, lalu aku pun berkata kepada Baginda: Mengapa kamu lakukan ini wahai Rasulullah, sedangkan telah diampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?” Baginda menjawab: “Tidakkah sepatutnya aku menjadi hamba yang bersyukur?” (HR. Bukhari – Muslim)
> Al-Aswas bin Yazid berkata: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang solat malam Rasulullah SAW. Aisyah menjawab: “Biasanya Baginda tidur di awal malam, kemudian tengah malamnya Baginda bangun mengerjakan solat malam. Apabila merasa ada keperluan, Baginda segera menemui isteri. Baginda segera bangkit begitu mendengar azan. Baginda segera mandi apabila dalam keadaan junub. Jika tidak, maka beliau segera berwudhu’ lalu berangkat (ke masjid untuk) solat)” (HR. Al-Bukhari)
3) Berhasrat untuk mencontohi kesungguhan para Salafus Soleh dalam menegakkan qiyamullail.
> Disebutkan dalam sebuah riwayat, bahawa tatkala orang2 sudah terlelap dalam tidurnya, Ibn Mas’ud RA justeru ,mulai bangun untuk solat tahajjud, sehingga terdengar seperti suara dengungan lebah (yakni Al-Qur’an yang beliau baca dalam solat malamnya seperti dengungan lebah, kerana beliau membaca dengan suara perlahan, tetapi boleh terdengar oleh orang yang ada di sekitarnya), sampai menjelang fajar menyinsing.
> Abu Sulaiman berkata: “Malam hari bagi orang yang setia beribadah di dalamnya, itu lebih ni3mat daripada permainan mereka yang suka hidup bersantai-santai. Seandainya tanpa adanya malam, sungguh aku tidak suka tinggal di dunia ini”.
> Al-Imam Ibnu Al-Munkadir menyatakan: “Bagiku, kelazatan dunia ini hanya ada pada 3 perkara, yakni qiyamullail, bersilaturrahmi, dan solat berjamaah”.
4) Berusaha mendapatkan kemuliaan seorang yang beriman yang mana ianya ada pada solat malamnya.
> Ketika Jibril datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Hai Muhammad, kemuliaan orang beriman adalah dengan solat malam. Dan kegagahan orang beriman adalah sikap berdikari dari bantuan orang lain” (HR. Al-Hakim, dihasankan oleh Al-Albani, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah no. 831)
5) Mengetahui di malam itu ada 1/3 malam terkahir di mana Allah SWT akan mengabulkan doa orang yang berdoa, memberi sesuatu bagi yang meminta, dan mengampuni yang memohon ampunan-Nya.
> Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Allah turun ke langit dunia setiap malam pada 1/3 malam terkahir. Allah lalu befirman (maksudnya), “Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku qabulkan, Siapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri, Siapa yang meminta ampun kepada-Ku tentu Aku ampuni.” Demikianlah keadaannya hingga terbit fajar”. (HR. Bukhari no. 145 dan Muslim no. 758)
> “Sesungguhnya, di malam hari ada satu waktu. Tidaklah seorang muslim berdoa kepada Allah memohon kebaikan dunia dan akhirat di malam itu, kecuali Allah pasti mengabulkan permohonannya. Waktu itu ada pada tiap-tiap malam”. (HR. Muslim no. 757)
> “Rabb kalian turun setiap malam ke langit dunia tatkala lewat tengah malam, lalu Dia berfirman: Adakah orang yang berdoa agar Aku mengabulkan doanya?” (HR. Bukhari 3/25-26)
6) Mengusahakan hal-hal yg akan memudahkan kita bangun malam.
> Mengelakkan diri daripada makan dan minum terlalu banyak sebelumnya.
> Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari (dikenali sebagai “qailulah”, iaitu sebelum masuk waktu zuhur atau selepasnya, ala kadar setengah jam).
> Berusaha sedekat mungkin bergaul dengan orang-orang yang soleh (yang akan mengingatkan kita untuk selalu berbuat kebaikan).
> Tidur di awal waktu dan berniat untuk bangun solat malam.
> Berzikir, membaca doa tidur, Ma’thurat dan ayat-ayat pilihan dari Al-Qur’an sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan syaitan dan membantu untuk mudah bangun.
7) Memanfaatkan segala sumber daya yang kita miliki untuk membolehkan kita bangun solat malam.
> Set alarm (handphone ataupun jam biasa), pasang reminder.
> Berpesan kepada teman-teman serumah untuk mengejutkan diri.
> Suami dan isteri saling membantu membangunkan pasangan lalu berjamaah melaksanakan qiyamullail.
> Berpesan kepada keluarga, jiran tetangga ataupun teman-teman supaya menelefon (ataupun sekadar miss call) untuk megejutkannya dari tidur.
8) Berusaha Meninggalkan maksiat, dosa, dan perbuatan bid’ah.
> Al-Imam Hasan Al-Bashri pernah menegaskan, “Sesunssuhnya orang yang telah melakukan dosa, akan terhalang dari qiyamullail”. Ada seseorang yang bertanya, “Aku tidak dapat bangun untuk qiyamullail, maka beritahukanlah kepadaku apa yang harus aku lakukan?” Beliau menjawab, “Janganlah engkau bermaksiat (berbuat dosa) kepada-Nya di waktu siang, nescaya Dia akan membangunkanmu di waktu malam”. (Tazkiyyatun Nufus, karya Dr. Ahmad Farid)
Notakaki: Dengan sedikit tips yang diberikan ini, semoga selepas daripada ini, kita semua berkeupayaan untuk bertahajud… bukan sahaja di bulan Ramadhan yang kini sudah hampir ke penghujungnya, tetapi juga di hari-hari lain yang mendatang... selamat beramal…
No comments:
Post a Comment