Friday, September 11, 2009

LAIILATUL QADR KHAS BUAT UMAT NABI MUHAMMAD SAW


Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
"Lailatul Qadr dikurniakan ke atas umatku
dan tidak kepada umat lain" - Hadis riwayat Anas R.A.


Melihat kepada hadith di atas, terbit rasa syukur... alhamdulillah, kita semua umat Nabi Muhammad sungguh bertuah. Kita diberikan banyak keistimewaan yang tidak diberikan kepada umat nabi-nabi yang sebelum ini. Sungguh beruntunglah umat Nabi Muhammad SAW.

Tetapi harus diingat, Allah bersikap Maha Adil. Pastinya ada sebab mengapa hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja yang dianugerahkan-Nya malam Lailatul Qadr, dan tidak kepada umat nabi-nabi sebelumnya. Hakikatnya, kurniaan Lailatul Qadr buat umat Muhammad SAW ada hubungkaitnya dengan usia manusia umat akhir zaman ini (Umat Muhammad SAW).

Sepertimana yang kita sedia maklum, umur umat Nabi Muhammad agak pendek jika dibandingkan dengan umur umat nabi-nabi yang lain. Jarang sekali umat Nabi Muhammad dipanjangkan usianya hingga mencecah 100 tahun. Kebisaannya hayat umat Muhammad hanyalah sekitar 60-70 tahun.

Pernahkah kita terfikir, kenapa jangka hayat umat Nabi Muhammad SAW agak pendek berbanding jangka hayat umat nabi-nabi sebelumnya?


Jibril AS berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Muhammad, tahukah engkau kenapa singkat umur umatmu?” Tanpa menunggu jawapan, Jibril AS sendiri menjawab pertanyaan itu “Sebabnya supaya mereka tidak berpanjangan melakukan maksiat...”


Rasulullah SAW sendiri pernah memikirkan hal ini (pendeknya umur umatnya). Para sahabat nabi juga risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat untuk tempoh yang lama seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel yang berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah SWT menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu, yang mana dengan rahmat Allah, dikurniakan-Nya malam Lailatul Qadr yang penuh keberkatan itu terlebih baik daripada 1000 bulan.



Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan


Dalam satu hadith, ada dinyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan, iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm’un al-Ghazi.

Hanya bersenjatakan kulit unta, Syarm’un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.

Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm’un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.

Akhirnya Syarm’un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. “Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!”

Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.

Allah mengilhamkan Syarm’un supaya memohon perlindungan dari-Nya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm’un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.

Dengan kuasa Allah SWT, tubuh Syarm’un yang cedera juga turut pulih serta-merta. Syarm’um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi sebagai tanda berterima kasih atas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya.

Perjuangan Syarm’un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah Al-Qadr:




Demikianlah pengorbanan jihad seorang hamba Allah bernama Syarm’un al-Ghazi... Sedangkan kita? Apakah hayat hidup kita juga dimanfaatkan sepenuhnya dengan berjihad fii sabiilillah?? Umur kita tidak panjang... jangka hayat kita agak pendek... Tetapi kita telah dianugerah malam Lailatul Qadr yang mana barangsiapa menghidupkan malamnya maka diberikan ganjaran melebihi 1,000 bulan, tanpa perlu melakukan jihad sehebat Syarm’un. Justeru itu, carilah, rebutlah dan hidupkanlah malam Lailatul Qadr yang dianugerahkan Allah hanya kepada kita umat Nabi Muhammad SAW.

2 comments:

Related Posts with Thumbnails