Setelah mengharungi pelbagai dugaan pada bulan Ramadhan yang lalu, dan sesudah berjaya menjalankan ibadah puasa di bulan penuh berkat itu, umat Islam sekali lagi diberikan peluang untuk merebut ganjaran pada bulan kemenangan, iaitu di bulan Syawal ini, dengan berpuasa selama enam hari. Dari Abu Ayyub Al-Ansari R.A. katanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan (berpuasa) enam hari dari bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa” - [Hadith riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164]
Di sini, dapat kita fahami bahawa peluang yang sangat berharga ini disediakan Allah buat orang-orang yang mengejar ni3mat dan kemurahan-Nya sepanjang hidupnya. Ini adalah berdasarkan ganjaran pahala buat mereka yang berpuasa enam di bulan Syawal, iaitu ganjarannya sama seperti ganjaran pahala kepada mereka yang berpuasa sepanjang masa.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun, iaitu sebanyak 360 hari.
Namun demikian, hakikatnya ganjaran besar sebegini diberikan Allah sebagai galakan dan motivasi supaya kita tidak hanya melaksanakan tuntutan wajib berpuasa di bulan Ramdhan. Ganjaran seperti berpuasa sepanjang masa ini juga secara logiknya sudah tentu tidak akan mampu difikirkan oleh aqal kita sebagai makhluq-Nya yang terbatas ilmunya. Tetapi Allah SWT Maha Kaya untuk memberikan ganjaran yang lebih hebat lagi buat mereka yang istiqamah dalam melaksanakan ibadat kepada-Nya.
# MENGAPA PUASA ENAM??
Berpuasa enam hari di bulan Syawal merupakan kesinambungan kepada ibadat puasa sebulan yang diwajibkan pada bulan Ramadhan. Walaupun tidak berdosa jika tidak melakukannya, akan tetapi hakikatnya puasa sunat enam ini adalah ibadat yang sangat bermakna, malah ianya juga merupakan amalan generasi soleh yang terdahulu.
Selain mengejar ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang masa, ada banyak lagi sebab lain mengapa kita digalakkan melakukan puasa enam hari di bulan Syawal. Antaranya:
>> Bertujuan menampung kekurangan amalan yang fardhu, sebagaimana solat sunat Rawatib yang dikerjakan sesudah solat fardhu.
>> Sebagai tanda bersyukur atas ni3mat yang diberikan di bulan Ramadhan (contohnya, ni3mat kesihatan tubuh badan).
>> Mengekalkan malah cuba untuk meningkatkan lagi ketaqwaan kepada Allah setelah berjaya menjadi graduan “Madrasah Ramadhaniyyah” yang diibaratkan sebagai sebuah institusi latihan untuk membentuk insan yang bertaqwa.
>> Penanda aras keimanan dan ketaqwaan seorang hamba terhadap Allah, yang mana dia sanggup berlapar dan dahaga pada saat orang lain di sekitarnya menimati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.
>> Memberikan kembali ruang kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri (tidak mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai jenis makanan pada hari raya setelah berehat seketika di waktu siang selama sebulan berpuasa di bulan Ramadhan).
>> Mendekatkan lagi diri kepada Allah dengan meneruskan ibadat puasa, dan bukanlah melakukannya semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan, sebagaimana kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan lainnya Allah SWT dilupai”.
Demikianlah ganjaran yang disediakan Allah buat mereka yang berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal, serta mengapa kita amatlah digalakkan untuk melaksanakannya. Walaupun ianya tidak sampai tahap wajib, namun peluang ini tidak harus dilepaskan begitu sahaja kerana ganjarannya terlalu besar buat mereka yang mengamalkannya. Bayangkanlah, hanya dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal, kita diberikan ganjaran seolah-olah telah berpuasa selama setahun.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa agar dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun hadapan dan seterusnya…
“Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya”
Aamiiin...
insya-Allah
ReplyDeletesaya nak amin kan doa tu...amiiiiiiiiiiiiiiin
ReplyDeleteopss.. camnela leh terlupa letak "aamiiin" lps hbs doa tu.. slalunya kalau letak pape doa kat sini, mmg dhbskan dgn aamiiin.. tp ntah camne yg ni leh lak terlupa..
ReplyDeletebile bace komen busyro, barula perasan.. dah pun diedit.. shukran ye sbb tlg ingatkan secara x langsung =)