Friday, September 25, 2009

PELAKSANAAN PUASA SUNAT ENAM SYAWAL


Berpuasa sunat enam Syawal bererti melakukan ibadah puasa selama enam hari di bulan Syawal. Namun demikian, tarikh yang paling awal dibenarkan untuk kita melaksanakan amalan sunat ini hanyalah bermula pada 2 Syawal, dan bukanlah sejak dari tarikh 1 Syawal lagi.


Abu Sa’id Al-Khudri berkata (maksudnya): “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang untuk berpuasa pada dua hari: Hari (Aidil) Fitri, dan (Aidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari, no: 1991].


# KENAPA TAK BOLEH PUASA PADA 1 SYAWAL?

Tarikh 1 Syawal merupakan tarikh hari raya Aidil Fitri, yang mana ianya merupakan perayann kemenangan buat umat Islam setelah berjaya mengharungi ujian yang pelbagai dari Allah SWT selama sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Maka Allah SWT telah mensyari3atkan agar tarikh 1 Syawal hendaklah dijadikan tarikh meraikan kemenangan dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah, hinggakan umat Islam dilarang untuk berpuasa pada tarikh itu.

Hari tersebut khusus untuk kita berhari raya bagi menandakan kita sudah berjaya memfitrahkan diri kita kerana Aidilfitri itu sendiri bermaksud kita ‘KEMBALI KEPADA FITRAH’. Apa yang fitrahnya? Apabila kita dah berpuasa sebulan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Allah, maka diri kita sudah dikira kembali kepada sediakala seperti waktu kita dilahirkan dahulu, iaitu dalam keadaan tiada dosa walau sebesar zarah sekalipun. Inilah HAKIKAT SEBENAR Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, dengan adanya larangan berpuasa pada 1 Syawal ini juga, maka ianya dapat membezakan di antara puasa wajib (Ramadhan) dan puasa sunat (Syawal). Sekiranya kita dibenarkan untuk memulakan puasa sunat enam Syawal seawal 1 Syawal, maka ini secara tidak langsung akan menimbulkan kekeliruaan tentang puasa yang dilakukan; adakah ia puasa wajib ataupun sunat.

Justeru, ditetapkan bahawa tarikh 1 Syawal adalah tarikh untuk berhari raya dan bergembira atas kemenangan menghadapi bulan penuh ujian (Ramadhan). Maka dengan itu adalah dilarang keras buat kita untuk berpuasa pada hari tersebut.


# BERTURUT-TURUT ATAU RAMBANG?

Merujuk kepada hadith galakan berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal, Rasulullah SAW menyebut bulan Syawal secara umum, tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka pandangan yang lebih tepat, kita dibenarkan untuk berpuasa enam tersebut pada mana-mana hari (secara rambang) dalam bulan Syawal (kecuali pada tarikh 1 Syawal), asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

Walaubagaimanapun, menurut para ulama’, puasa sunat enam hari pada bulan Syawal ini sebaik-baiknya (lebih afdhal) jika dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.


Galakan untuk menyegerakan pelaksanaan puasa sunat enam Syawal ini adalah berdasarkan keumuman firman Allah SWT (maksudnya): “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Ali Imran, 3:133]


# TIADA HARI RAYA SETELAH SELESAI PUASA ENAM

Dalam mengejar puasa sunat enam Syawal yang mana ganjarannya menyamai ganjaran berpuasa sepanjang masa, ada sebahagian masyarakat yang menyambut Hari Raya pada 1 Syawal dengan perasaan hambar dan jiwa yang kosong. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam Syawal.

Tidak kurang juga bagi mereka yang menyambut Hari Raya “kedua” setelah berjaya menamatkan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Bagi mereka ini pula, Hari Raya Aidilfitri tetap diraikan dengan gembira pada 1 Syawal, namun setelah selesai berpuasa sunat enam Syawal, mereka sekali lagi meraikan Hari Raya buat kali keduanya.

Ketahuilah, sesungguhnya amalan sebegini tidak sepatutnya wujud. Ianya merupakan satu bid3ah yang munkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya ada dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari perayaan ini juga bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia, tetapi disyari3at oleh tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah SWT.


Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1134 (Kitab al-Solat, Bab solat dua hari raya)]


Oleh itu, hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya ada dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari ini sahajalah kita meraikan perayaan keagamaan kita dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran kerana kedua-duanya disyari3atkan oleh Allah. Dengan itu juga, tiadalah hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam Syawal.



Notakaki:
Di ruang Syawal yang masih lagi di permulaan ini, tanyalah diri kita, adakah kita sudah pun mula berpuasa atau kita masih hanya sekadar sibuk dengan sambutan Aidilfitri dan undangan rumah terbuka tanpa ada pengisiannya? Renung-renungkanlah...

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails