Dalam usaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, kita amatlah digalakkan melakukan solat malam, atau juga disebut sebagai Qiyamullail. Di saat orang lain sedang lena dibuai mimpi indah, betapa suasana sunyi dan tenang itu dapat melahirkan penuh rasa cinta kita kepada Sang Pencipta melalui ibadat yang kita lakukan. Kita akan merasakan diri dekat dengan-Nya kerana hanya kita dan Dia sahajalah di waktu itu.
Hakikatnya, kita memang biasa bangun malam ataupun berjaga sepanjang malam. Tapi sayangnya saat itu digunakan untuk menyiapkan assignment, menonton filem, tengok bola, berborak, lepak-lepak, dan sebagainya, dan pastinya bukanlah untuk menunaikan solat.
Sebenarnya untuk qiyamullail tidak semestinya bangun jam tiga atau empat pagi. (Akan tetapi waktu yang paling utama adalah 1/3 malam terakhir). Sekadar 2 rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai. Bahkan boleh juga dikerjakan dengan hanya 1 rakaat (jumlah rakaatnya paling sedikit), berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Solat malam adalah 2 rakaat, apabila salah seorang di antara kamu khawatir akan datangnya waktu subuh maka hendaklah dia solat 1 rakaat sebagai witir baginya” (HR. Bukhari dan Muslim).
Hukum solat malam ialah sunat mu’akkad (sangat2 ditekankan untuk dilaksanakan), yang mana ianya amatlah digalakkan ke atas kita untuk melakukannya. Dalam Al-Qur’an mahupun Hadith, banyak disebut tentang kelebihan dan keutamaan bangun solat malam. Antaranya:
(1) Solat tahajud merupakan solat yang paling utama (afdhol) setelah solat fardhu.
“Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadhan adalah puasa bulan Muharam, dan sebaik-baik solat setelah solat wajib adalah solat lail” – (Hadith Riwayat Muslim no. 1163)
“Solat yang paling utama sesudah solat fardhu adalah qiyamullail (solat di tengah malam)" – (Muttafaqun 3alaih).
(2) Orang yang solat tahajud akan dibangkitkan Allah di tempat yang terpuji, dan disayangi oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman (maksudnya): “Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan ibadah nafilah) bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Al-Isra: 79)
Dari Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah (maksudnya): “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang. Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.” (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)
(3) Orang yang melakukan qiyamullail adalah orang yang disebut oleh Allah sebagai muhsinin dan berhak mendapatkan kebaikan dari-Nya serta rahmat-Nya.
Allah SWT berfirman (maksudnya): "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan di mata air - mata air, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; (yakni) mereka sedikit sekali tidur di waktu malam; Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)." (Az-Zariyah: 15-18)
(4) Orang yang solat malam dipuji Allah dan dimasukkan ke dalam kelompok hamba-Nya yang baik (3ibad Ar-Rahman).
Allah SWT berfirman (maksudnya): "Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka." (Al-Furqan: 63-64)
(5) Kepada orang yang bangun untuk solat malam, Allah bersaksi atas mereka bahawa mereka adalah orang yang beriman.
Allah SWT berfirman (maksudnya): "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri. Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (untuk melakukan solat malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam ni3mat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (As-Sajdah: 15-17)
(6) Allah membezakan orang yang berqiyamullail dengan yang tidak berqiyamullail secara jelas dan bahawa mereka berbeza dengan yang lainnya.
Allah SWT berfirman (maksudnya): “(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang beraqallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar: 9)
(7) Kepada orang yang melakukan qiyamullail, Rasulullah SAW mengatakan bahawa mereka pasti akan masuk syurga.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makanan, sambunglah tali persaudaraan, dan solatlah ketika manusia terlelap tidur pada waktu malam, nescaya engkau akan masuk syurga dengan selamat.” (HR. Ibnu Majah, disahihkan oleh Al-Albani).
(8) Bagi mereka yang melakukan solat malam, maka Allah akan menaikkan darjat mereka di dalam syurga kelak.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Sungguh di dalam syurga terdapat kamar-kamar yang bahagian dalamnya terlihat dari luar dan bahagian luarnya terlihat dari dalam. Kamar-kamar itu Allah sediakan bagi orang yang memberi makan, melembutkan perkataan, mengiringi puasa Ramadhan (dengan puasa sunat), menyebarkan salam, dan mengerjakan solat malam ketika manusia lain terlelap tidur.” (HR. At-Tirmidzi, dihasankan oleh Al-Albani).
(9) Solat tahajud itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kita, ibadah yang mendekatkan diri kita kepada Allah, penutup kesalahan, dan penghapus dosa.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Hendaklah kalian melaksanakan solat malam, kerana solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dan ibadah yang mendekatkan diri kepada Tuhan kalian, serta penutup kesalahan dan sebagai penghapus dosa.” (HR. At-Tirmidzi no. 3549, Al-Hakim I/380, Baihaqi II/502. Dihasankan oleh Syaikh Al-Albani dalam Irma Al-Ghalil II/199/no. 452).
(10) Solat malam adalah lebih dari dari dunia seisinya, dan doa seorang hamba pada waktu itu adalah waktu mustajabnya doa.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Dua raka’at yang dilakukan oleh seorang hamba di tengah malam itu adalah lebih baik baginya daripada dunia ini serta seluruh isinya.” (HR Adam bin Abu Iyas)
Rasulullah SAW bersabda lagi (maksudnya): “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim)
Demikianlah keutamaan, kemuliaan dan keindahan qiyamullail. Semoga kita semua sentiasa berusaha menjadi hamba-Nya yang beruntung, yang diberi keutamaan menegakkan qiyamullail dengan istiqamah. Di penghujung Ramadhan ini juga, marilah kita berazam dengan mengi3tiqadkan diri sekuat mungkin supaya sentiasa berusaha untuk menghidupkan malam-malam kita dengan melakukan ibadah hanya kepada-Nya.
Salam, saya dah jawab tag tu... maaf pendek je sebab tengah kelam kabut nak raya dengan wife dan anak-anak. check tag tu kat:
ReplyDeletehttp://ziarah76.blogspot.com/2009/09/menjawab-tag-lagi.html
thanks