Selain daripada persoalan mengenai pelaksanaan puasa sunat enam Syawal (samada dilakukan berturut-turut ataupun rambang), satu lagi isu yang sering menjadi pertanyaan di kalangan masyarakat dalam hal ini ialah berkaitan kedudukan puasa qadha’ (Ramadhan). Terdapat dua persoalan yang harus dibincangkan di sini:
>> Melaksanakan puasa sunat enam Syawal sebelum mengqadha’ puasa Ramadhan.
>> Menggabungkan puasa qadha’ Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal.
Apa yang menjadi persoalan; bolehkah kedua perkara di atas ini dilakukan? Adakah kedua-duanya dibenarkan?
Sebelum diteruskan perbincangan panjang lebar ini, terlebih dahulu saya akui, saya bukanlah seorang yang arif dan bijak dalam soal agama. Masih banyak ilmu agama yang perlu saya pelajari. Namun demikian, berdasarkan pembacaan dan rujukan kepada mereka yang lebih arif, diharapkan perkongsian mengenai dua isu ini dapat membantu mereka yang masih kurang faham, untuk mendapatkan jawapan.
Hasil pembacaan saya dari sumber yang pelbagai, ternyata para ulama’ juga mempunyai pendapat yang berbeza dalam merungkai isu berkaitan dua puasa ini (qadha’ Ramadhan dan juga sunat enam Syawal).
(A) MANA YANG HARUS DIUTAMAKAN?
Di sini wujudnya perbincangan di kalangan para ulama’; apakah dibolehkan bagi seseorang itu untuk berpuasa sunat enam Syawal seandainya dirinya memiliki hutang puasa Ramadhan yang masih belum diqadha’nya? Terdapat dua pendapat ulama’ dalam hal ini:
# Pendapat Pertama: Boleh melakukannya.
Hujah-hujah yang diberikan:
(i) Aisyah R.A. pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadha’nya hingga ke bulan Sya3ban yang akan datang.
Aisyah R.A. berkata (maksudnya): “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadha’nya kecuali pada bulan Sya3ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah SAW" ialah penjelasan salah seorang perawi hadith yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama ini berhujah, sebagai isteri Rasulullah SAW, sudah tentu tidak mungkin Aisyah R.A. tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Mereka ini berkeyakinan, sudah pasti Aisyah R.A. melaksanakannya dan tindakannya yang mengqadha’ puasa Ramadhan pada bulan Sya3ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekalipun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
(ii) Kewajipan mengqadha’ puasa Ramadhan tidak dibatasi oleh waktu-waktu tertentu.
Menurut Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim: Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha’ puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadha’nya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha’ terus apabila boleh melakukannya”.
[Syarah Sahih Muslim 8/22]
Ini adalah berdasarkan firman Allah yang memberi keumuman bagi mengqadha’kan puasa Ramadhan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berpuasalah pada hari-hari yang lain, Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusasah bagi kamu”. (Al-Baqarah 2: 185)
Menurut Imam Qurtubi rahimahullah: “Ayat ini menunjukkan wajibnya mengqadha’ puasa tanpa ditentukan harinya, kerana lafaz ayat tersebut berlaku sepanjang masa tanpa ditentukan pada masa-masa tertentu”. (Lihat: Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran 2/282. Al-Qurtubi)
# Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya.
Hujah-hujah yang diberikan:
(i) Terdapatnya lafaz “thumma” (kemudian) dalam hadith yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal.
Maksudnya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan (berpuasa) enam hari dari bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa” - [Hadith riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164]
Berdasarkan hadith ini, Rasulullah SAW mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Tidak ada puasa enam di bulan Syawal, melainkan setelah sempurna puasa Ramadhannya. Dalam erti kata lain, jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, maka ia perlu diqadha’ terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
(ii) Menepati ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang masa.
Hadith yang menganjurkan amalan puasa sunat enam Syawal ini menekankan tentang ganjaran yang diperoleh, iaitu seakan-akan berpuasa sepanjang masa (setahun). Mengikut perhitungan, ianya dikira sebagai 300+60 = 360, maka terlebih dahulu hendaklah dipastikan cukup harinya untuk 300 pahala kebaikan itu, kemudian barulah ditambah dengan 60 lagi pahala kebaikan, barulah boleh mendapatkan ganjaran puasa setahun.
(iii) Membayar hutang (wajib) hendaklah didahulukan sebelum memberi sedeqah (sunat).
Merujuk kepada firman Allah dalam ayat 133 surah Aali Imran seperti yang dikemukakan sebelum ini, Allah SWT menganjurkan kita supaya bersegera dalam melakukan amal kebajikan. Dalam hal ini, sudah tentulah amal yang wajib itu lebih perlu untuk disegerakan berbanding amal yang sunat. Penekanan mengutamakan yang wajib ini juga ada disebut dalam satu hadith Qudsi yang sahih (maksudnya):
"..dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/ wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya...”
(Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis di atas adalah sebagai asas keutamaan. Namun demikian, dari sudut praktikal, jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya, jika seseorang itu perlu qadha’ puasanya selama penuh 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadhan sebagai contoh), dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat, maka eloklah dia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu ketika itu, kerana tempoh puasa sunat Syawal adalah singkat berbanding tempoh qadha’ puasa (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus diingat, walaupun tempoh bagi puasa qadha’ adalah panjang, namun kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu, atau barangkali ajal yang datang menjemput kita terlebih dahulu.
Dalam hal ini, seseorang yang mati sebelum sempat menggantikan puasa Ramadhannya, tetapi sudah berpuasa sunat Syawal, pasti akan bermasalah kerana dia dikira masih berhutang dengan Allah SWT. Sementara itu, bagi seseorang yang mati setelah menyelesaikan puasa qadha’nya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin juga diberikan pahala sunat Syawal itu sekali. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW (maksudnya):
" ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah dituliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, maka telah dituliskan oleh Allah di sisinya 10 pahala sehingga 700 kali ganda…" (Riwayat Al-Bukhari, no: 6010)
:: KESIMPULANNYA ::
Di sini kita harus memahami bahawa darjat puasa qadha’ adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar berbanding sunat Syawal kerana puasa qadha’ adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa Syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala (perkara sunat).
Justeru itu, hendaklah kita mengutamakan qadha’ puasa Ramadhan terlebih dahulu sebelum kita melakukan puasa sunat enam Syawal kerana sesungguhnya kita tidak tahu bilakah Izrail akan datang mencabut nyawa kita…
…bersambung…
No comments:
Post a Comment