“Nak berbuka (puasa) dengan apa ye hari ni?” – pastinya soalan ini seringkali bermain-main di fikiran kita yang berpuasa. Tambahan pula kalau ke bazar Ramadhan, pastinya lebih rambang mata dibuatnya tak tahu nak pilih makanan apa sebagai juadah berbuka… Murtabak ayam? Kebab daging? Ayam percik? Nasi kukus dengan ayam berempah? Atau mungkin sekadar dengan kuih-muih yang pelbagai jenis? Hmm.. mana satu ye nak pilih.. pening juga ya bila terlalu banyak pilihan yang ada…
Segala jenis makanan mulai terlintas di mata dan fikiran, ditambah pula dengan aroma masakan yang semerbak pastinya mencabar keimanan kita yang akhirnya kadangkala membuatkan seseorang itu tewas dengan nafsu makannya sehingga membeli juadah berbuka secara berlebihan.
Tetapi harus diingat, walau apapun juadah berbuka puasa pilihan kita, haruslah dimulakan dengan memakan kurma, walaupun hanya sebiji cuma. Dalam erti kata lainnya, tidak lengkaplah iftar kita walau dengan pelbagai juadah berbuka sekalipun, andai ianya tidak beserta dengan buah kurma walau sebiji cuma, bagi tujuan mendapatkan pahala sunat.
Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud: Daripada Sulaima bin Amir Adh-Dhabiyyi, sesungguhnya Nabi bersabda, “Apabila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu adalah pembersih.”
Kenapa kurma? Mari kita lihat 10 sebab mengapa kita perlu jadikan kurma sebagai juadah utama, sebagaimana dijelaskan oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pensyarah USIM:
(1) Kurma adalah buah dari tumbuhan palma yg kaya dgn zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin.
(2) Dari segi saintifiknya, kurma dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.
(3) Penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain seperti diceritakan dalam 21 ayat al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.
(4) Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.
# Hal ini berasaskan wahyu diturunkan Allah SWT kepada ibu Nabi Isa iaitu Saidatuna Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.” (Surah Maryam, ayat 25)
Sabda Rasulullah SAW mengenai hal yang sama iaitu: “Beri makan buah tamar kepada isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah tamar itu semasa hamilnya, maka anak yang lahir akan menjadi seorang anak penyabar dan bersopan santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa adalah buah tamar.”
(5) Unsur zat besi dan kalsium dalam buah kurma adalah unsur paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekaligus menggalakkan pertambahan kandungan susu.
(6) Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.
(7) Kajian yg dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma akan segera dibakar dan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.
(8) Khasiatnya terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.
(9) Mengikut kajian Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dlm buku Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah Dan Perundangan, menunjukkan jus kurma dpt menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan urat rahim pada bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dpt mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
(10) Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.
Lihatlah betapa banyaknya khasiat buah kurma… Ia bukan sahaja begitu baik untuk tubuh badan, malah juga menjadi sumber tenaga sepanjang hari. Alangkah baiknya jika kurma dijadikan makanan rutin dalam hidangan harian kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja untuk berbuka puasa, tetapi juga bersahur. Dalam hadis diriwayatkan Ibn Hibban dan Baihaqi yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.”
Oleh itu, amalkanlah makan kurma selalu, baik di waktu berbuka, mahupun ketika bersahur. Bukan sahaja beroleh khasiatnya, tetapi juga mendapat pahala mengikut sunnah Nabi junjungan mulia kita. Semoga kita semua beroleh berkat dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini... Aamiiin...
No comments:
Post a Comment