~ ...sambungan dari entri yang sebelumnya ~
Sepertimana yang dinyatakan dalam bahagian pertama tajuk ini, terdapat dua persoalan berkaitan puasa qadha’ Ramadhan dan juga puasa sunat enam Syawal. Persoalan yang pertama sudahpun dibincangkan dengan panjang lebar dalam bahagian pertama. Maka sekarang fokusnya adalah pada persoalan yang kedua, iaitu isu berkaitan penggabungan kedua-dua puasa ini.
(B) FORMULA DUA DALAM SATU??
Di Malaysia, terdapat pandangan yang amat masyhur yang membolehkan ibadah puasa dilakukan dua dalam satu, iaitu berpuasa qadha’ Ramadhan dan berpuasa sunat enam Syawal dalam satu hari. Mereka ini yang terdiri daripada kalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat, ganjaran puasa sunat enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang itu berpuasa qadha’, sekalipun tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.
Menurut mereka, memadai dengan niat hanya untuk berpuasa qadha’, tetap juga akan beroleh pahala puasa sunat enam Syawal, namun pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding pahala bagi orang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Mereka mengatakan amalan ini mendapat juga pahala puasa sunat oleh kerana kebetulan puasa qadha’ tersebut dilakukan dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid yang juga diberikan kepada orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid. Wallahu a3lam.
Namun apa pun jua, mereka yang membenarkan amalan begini tidak pula mengemukakan sebarang dalil dari Al-Qur’an mahupun Hadith yang sahih yang membolehkannya. Apabila Nabi, para sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya, maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha’ atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatkannya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadith yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadith tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
>> HUJJAH – HUJJAH PENOLAKAN FORMULA 2 DALAM 1
(1) Jika seseorang mengatakan boleh menggabungkan puasa qadha’ (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat), maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat fardhu Isyak dengan solat sunat Tarawih. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti mencampurkan solat fardhu Subuh dengan solat sunat Istikharah dan lain-lain.
(2) Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan), amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat yang lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba tersebut dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a3lam.
(3) Tindakan A'isyah R.A. yang melewatkan puasa qadha’ juga boleh dijadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan puasa qadha’ dengan puasa sunat Syawal. Maka inilah yang sepatutnya dijadikan ikutan, iaitu dengan tidak menggabungkan kedua puasa ini.
Aisyah menyebut (maksudnya): "Kewajiban ke atasku untuk puasa (qadha’) dari puasa Ramadhan, maka tidaklah aku menggantikannya sehingga datang Sya3ban" (Hadith Riwayat Muslim, no: 101)
(4) Amalan wajib (qadha’) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan menggabungkannya dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkan kepastiannya. Kerana itulah ulama’ yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha’ sahaja, adapun Syawal itu dipendamkan sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun, ulama’ yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya akan mengurangkan pahala sunat Syawal kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
(5) Menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga disebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat, amalan sunat tidak boleh dilaksanakan sebelum amalan fardhu. Ini adalah merujuk kepada hadith Nabi SAW yang menyebut bahawa puasa sunat Syawal itu dilakukan setelah puasa Ramadhan.
Nabi SAW bersabda (maksudnya): "Barangsiapa telah berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari dari Syawal maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Hadith Riwayat Al-Bukhari, no: 6502)
(6) Kita dapat melihat penggunaan ‘fe3il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadhan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadhannya, maka perlulah melengkapkannya terlebih dahulu, kemudian barulah dibolehkan bagi mereka untuk mendapatkan peruntukan pahala sunat Syawal.
:: KESIMPULANNYA ::
Daripada perbincangan yang terbatas ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa sebaiknya kedua-dua puasa ini hendaklah dilakukan secara berasingan dengan mendahulukan yang wajib (qadha’) daripada yang sunat (Syawal). Menyempurnakan puasa bulan Ramadhan terlebih dahulu dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian barulah dikerjakan puasa sunat Syawal adalah lebih bertepatan dengan maksud hadith saranan berpuasa sunat di bulan Syawal itu sendiri demi mendapatkan keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa sepanjang masa (setahun).
Tidak dinafikan, puasa sunat mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Namun, sebagaimana yang diketahui umum, amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Justeru itu, sempurnakanlah dahulu qadha’ beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah SWT akan tetap memberikan ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW (maksudnya): “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Akhir kalam, semoga kita semua diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna, dan seterusnya dimasukkan ke dalam golongan mereka yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamiiin...