Monday, November 23, 2009

PERINTAH PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

Sumber foto: SURAU AN-NAMIRA BUKIT RIMAU



APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN QURBAN?

Istilah “qurban” secara harfiyyah berasal dari kata qaruba-yaqrubu-qurbaanan, yang bermaksud dekat atau mendekatkan diri. Dari segi pengertian syara’ pula, ibadah qurban bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing, pada Hari Nahr atau Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Dzulhijjah) dengan niat untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Di sini jelas menunjukkan betapa pentingnya usaha mendekatkan diri (berqurban) ini, sehinggakan Islam menetapkan syari’at qurban dalam bentuk penyembelihan haiwan qurban.

Apabila kita meneliti maksud qurban yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam iaitu “Mendekatkan diri kepada Allah SWT”, maka seharusnya kita sedar dan insaf bahawa ianya merupakan suatu tuntutan untuk diri kita sendiri. Ibadah qurban ini juga merupakan suatu ukuran ketaqwaan seseorang hamba kepada Allah SWT. Tidak boleh sesekali kita berqurban kerana atau untuk seseorang, atau sesuatu yang selain daripada Allah SWT, sebagaimana kita tidak dibenarkan mengerjakan solat untuk seseorang.

Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (qurbanmu)” (Al-Kauthar, 108: 2)

Jelaslah di sini, Allah SWT meletakkan ibadah qurban itu bersebelahan dengan perintah solat, agar difahami dalam makna yang betul. Jadi, tanggapan yang mengatakan ibadah qurban itu bertujuan untuk memberi makanan kepada orang miskin, adalah satu konsep yang salah. Konsep ini menyebabkan hilangnya kesuburan dalam melaksanakan ibadah qurban, khususnya dalam suasana masyarakat yang mewah, kerana keperluan manusia untuk menerima daging qurban itu bukanlah sesuatu yang terdesak.


GALAKAN MELAKUKAN IBADAH QURBAN

Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-37 (mafhumnya): "Daging dan darahnya (binatang qurban) tidak sampai kepada Allah, tetapi taqwa daripadamulah, yang sampai kepada-Nya. Demikianlah Dia (Allah) menyerahkan haiwan untukmu, supaya kamu membesarkan Allah, atas apa yang telah ditunjukkan-Nya kepadamu. Dan berilah khabar gembira orang-orang yang berbuat kebajikan” (Al-Hajj, 22: 37)

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): "Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadith riwayat Tirmidzi)


BAGAIMANA DAN BILAKAH HENDAK MELAKSANAKANNYA?

Pelaksanaan ibadah qurban boleh dilakukan dengan menyembelih sendiri haiwan ternakan atau mewakilkannya kepada pihak lain. Waktu bagi melakukan ibadah ini hanyalah pada hari-hari yang telah dikhususkan oleh syara’ iaitu pada mana-mana hari bertarikh 10, 11, 12, ataupun 13 Dzulhijjah setiap tahun.

Penyembelihan haiwan qurban bermula pada tanggal 10 Dzulhijjah setelah solat Aidil Adha, diikuti dengan tanggal 11, 12 sampailah ke tanggal 13. Ketiga-tiga hari terakhir ini disebut sebagai Hari Tasyriq yang bererti “hari-hari yang berlimpah dengan daging”.

Ini bererti, penyembelihan haiwan qurban tidak boleh dilakukan sebelum pelaksanaan solat Aidil Adha.
Dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang menyembelih haiwan qurban sebelum solat (Aidil Adha) maka harus menyembelih haiwan lain untuk menggantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih, maka sembelihlah (sesudah solat) dan sebutlah nama Allah”.


APAKAH HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH QURBAN?

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini ialah sunat Muakkad, iaitu sunnah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, beraqal, baligh serta berkemampuan melakukannya samada sedang mengerjakan haji ataupun tidak, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam erti kata lain, adalah makruh bagi orang yang berkemampuan untuk meninggalkan ibadah ini.

Akan tetapi, hukum qurban ini bertukar menjadi wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti contohnya seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Maka dalam hal ini, adalah menjadi haram dan berdosa seandainya ibadah qurban itu tidak dilakukan.



Rujukan:
3) ezqurban.org


Notakaki: Semoga dengan perkongsian ini, kita akan lebih memahami maksud serta konsep sebenar pelaksanaan ibadah qurban yang dilakukan, iaitu demi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT…Dan bagi mereka yang memenuhi syarat, laksanakanlah tuntuan ibadah qurban ini kerana terlalu banyak hikmah dan fadhilatnya buat si pelaksana (orang yang melakukan ibadah qurban haiwan).

4 comments:

  1. salam hani..

    perkongsian yg sgt bermanfaat..ibadah qurban juge sbg satu cara melatih diri kira utk mgorbankan sbhgian yg kita miliki..

    sejauh mana kita boleh korbankan sbhgian hrta kita,bg yg mampu lah..

    bagus hani..trm ksh bkongsi..

    ReplyDelete
  2. salam kak ^_^

    betul betul betul.. sokong kata2 akak tu.. ibadah qurban juga smmgnya salah satu cara melatih diri kita utk mengorbankan sebahagian yg kita miliki.. kerana sesungguhnya segala apa yg kita miliki di dunia ni hanyalah pinjaman semata2.. Dia jualah yang memiliki segala2nya.. namun, demi kasih sayang-Nya yang melimpah ruah, dikurniakanNya kpd kita pelbagai ni3mat di dunia ni.. maka seharusnya kita bersyukur di atas segala pemberian-Nya. dan dgn mengorbankan shgn harta kita, ia juga adalah slh satu cara yg boleh dilakukan sbg tanda syukur kita, dan smga dengan adanya rasa syukur melalui ibadah qurban ni, dpt mendekatkan lg diri seseorang hamba kepada Penciptanya..

    terima kasih kembali buat akak sebab singgah membaca smbl drop komen di sini =)

    ReplyDelete
  3. salam adik hani...

    Terima kasih kongsi ilmu ini ^_^

    Pengorbanan seorang ayah terhadap seorang anak yg telah lama dinantikan kelahirannya, kemudian apabila sudah memilikinya dia telah mengorbankan perasaan kasih sayang, tanggungjawab dan keredhaannya terhadap perintah ALLAH.
    Taat dan yakinnya Nabi Ismail terhadap pengorbanan yang dituntut oleh ayahnya untuk dilakukan, kerana ALLAH...

    Kita sebagai hamba ALLAH, sanggupkah kita melakukan sedemikian rupa?

    ReplyDelete
  4. salam buat kak liza ^_^

    kata2 akak membuatkan saya terimbas kembali sejarah peristiwa tersebut sebagaimana dijelaskan dalam Al-Qur'an... dan persoalan akak tu pulak, membuatkan saya terdiam memikirkan jawapannya..

    :: tepuk dada, tanya iman -_- ::

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails