Tuesday, November 10, 2009

BERDOALAH SELALU…



Doa merupakan senjata bagi orang mu’min. Justeru itu, mereka yang enggan berdoa kepada Allah adalah orang yang bongkak. Berdoa kepada Allah SWT untuk memohon sesuatu adalah digalakkan, dan yang paling maqbul doanya adalah yang paling hampir kepada Allah.

Kadang-kadang kita merasakan sudah terlalu kerap kita berdoa, namun zahirnya seperti langsung tidak dimaqbulkan-Nya. Jika hal ini berlaku, jangan sesekali kita berputus asa dan berburuk sangka kepada Allah (Na3uzubillaah), bahkan sebaliknya teruskanlah berdoa mengharapkan pertolongan-Nya.




“Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu…” (Surah al-Ghafir, ayat 60)

“Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)



Berdoa sememangnya dituntut, dan itu merupakan tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada doa kita itu diterima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT. Terserahlah kepada Allah untuk memaqbulkannya atau sebaliknya.

Namun demikian, setiap kali kita berdoa memohon sesuatu daripada Allah SWT, mohonlah dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat, tersurat mahupun tersirat.


DOA NABI IBRAHIM A.S.

Nabi Ibrahim AS sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang. Nabi Ibrahim AS berharap agar umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan memohon agar rezeki mereka melimpah ruah.

Doa tersebut dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika Nabi Ibrahim AS mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya. Alhamdulillah, Allah SWT memaqbulkan doanya selepas zaman Nabi Muhammad SAW, malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim AS, seolah-olah baru sahaja dimaqbulkan.

Di sini cuba kita renungkan kembali… Nabi Ibrahim AS yang disebut sebagai ‘khalilullah’ (kekasih Allah) sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah sejak sekian lamanya, namun ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimaqbulkan.

Justeru itu, apabila kita sering berdoa, dan zahirnya doa kita itu kelihatan seperti tidak dimaqbulkan, janganlah sesekali kita membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimaqbulkan.

Mungkin Allah telah pun memaqbulkan doa itu, namun diberikan-Nya dalam bentuk yang lebih baik daripada apa yang kita pinta. Kadang-kadang doa kita dimaqbulkan dengan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak. Cuma masa sahaja yang bisa menentukannya.

MENGAPA BEGITU?

Ia merupakan satu ujian terhadap kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.

Antara sebab nyata mengapa Allah tidak maqbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 186 di atas, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan oleh hamba tersebut.

Selain itu, terdapat juga hadith Nabi SAW yang menyebut tentang ‘syarat’ supaya doa kita dimaqbulkan, antaranya (mafhum):
“Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimaqbulkan.”

Pada suatu ketika, ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, lalu berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah. Tatkala Nabi SAW melihatnya, baginda bermadah kepada para sahabat, (mafhumnya):
“Lihatlah orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya.”

SUCIKANLAH JIWA TERLEBIH DAHULU

Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memaqbulkan doanya.

Seperti yang disebut dalam sebuah hadith qudsi, (mafhumnya):
“Apabila hambu-Ku mendampingi Aku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat).”

Namun demikian, walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, ia tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memaqbulkan doanya. Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba2-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.

Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan seharian kita, selain daripada Allah memberikan apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya yang Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita minta. Hakikatnya, amat sedikit yang tidak diberikan-Nya, itu pun ada kemaslahatannya.

PERNAHKAH DOA RASULULLAH SAW DITOLAK?

Jawapannya, PERNAH. Memang benar, adakalanya doa Nabi SAW sendiri juga pernah ditolak.

Pada zaman awal kebangkitan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul, baginda menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya yang tidak mahu memeluk Islam. Malah baginda pernah disakiti sehingga baginda akhirnya berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya):
“Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui.”

Doa Nabi SAW ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan kepada orang lain, bahkan di kalangan anggota keluarga Nabi sendiri. Sebagai contoh, Abu Lahab, bapa saudara kepada Nabi, meskipun didakwah bertubi-tubi, namun beliau lebih bertegas mempertahankan kekufurannya. Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi SAW sendiri, juga ada yang tidak beriman, atau lambat beriman. Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadith 2889 disebut (mafhumnya): “Suatu hari Rasulullah SAW singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda: Aku berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Aku memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Aku memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila aku berdoa memohon agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan.”

Walaubagaimanapun, kebanyakan doa-doa Nabi SAW dimaqbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimaqbulkan itu memang ada kemaslahatannya, dan hanya Allah yang mengetahuinya.



KESIMPULANNYA

Selalulah berdoa ke hadrat Allah SWT, kerana ia juga merupakan suatu ibadah. Harus diingatkan juga, ibadah berdoa ini dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan. Jika kita ikhlas beribadah (berdoa) kepada Allah, insha-Allah, Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian.


~WALLAHU A3LAM…~

2 comments:

  1. Salam dik ^_^

    Tazkirah yang "canteek" terima kasih...

    ***teringat ketika berdoa di depan pintu kaabah...masih rindu...betul-betul sayu***

    ReplyDelete
  2. salam kak (^_^)

    akak tgh jenguk teratak saye ke?
    dan2 je same waktu.. =D
    terima kasih kembali..
    sebabnya akak rajin singgah sini,
    sambil bg komen leh dikatakan utk setiap n3..
    x kira panjang manepun n3 saye,
    akak rajin gak ek bace n kasi respon..
    terima kasih sgt2.. (terharu -_- )

    akak dah pernah ke Makkah ek? beshnye..
    saya belum de rezeki lagi nak ke sana..
    inshaAllah suatu hari nanti pasti juga ke sana
    andai umur panjang n ade rezeki =)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails