Sunday, November 8, 2009

PERLUNYA 10 'K' DALAM PERSAHABATAN



Setiap manusia dianugerahkan oleh Allah dengan kelebihan, kebaikan dan keindahan masing-masing. Begitu juga dengan kekurangan, keburukan dan kelemahan masing-masing. Itulah sunnatullah. Begitu indah sekali aturan-Nya. Betapa adilnya Dia, menciptakan setiap benda secara seimbang.

Dalam kehidupan seharian, kita pastinya telah bertemu, berkenalan, berkawan dan bersahabat dengan macam-macam jenis manusia. Justeru itu, kita pastinya telah mengetahui sedikit sebanyak kelebihan serta kekurangan sahabat kita itu.

Setiap sahabat mempunyai keistimewaan yang telah ditetap Allah sejak azali lagi. Ada sahabat yang kasar, tetapi lembut hatinya. Ada sahabat yang nakal, tetapi bersikap prihatin serta mengambil berat. Ada sahabat yang garang, tetapi sebenarnya adalah penyayang. Pendek kata, macam-macam corak sahabat yang kita boleh dapati dalam bersahabat dengan seseorang.

Namun demikian, bukanlah soal kelebihan mahupun kekurangan yang ingin dicoretkan di sini. Buruk baik serta kurang lebih seorang sahabat, seharusnya kita terima seadanya, kerana diri kita sendiri juga bukanlah insan yang sempurna.

Apa yang sebenarnya lebih penting dalam sebuat persahabatan, ialah nilai-nilai murni yang perlu ada dalam menghidupkan lagi persahabatan yang sedia terjalin. Justeru itu, di sini saya ingin kongsikan bersama pembaca sekalian mengenai 10 'K' yang diperlukan dalam sesebuah persahabatan.



APAKAH 10 ‘K’ YANG DIMAKSUDKAN?


(1) KECINTAAN. Ianya merupakan elemen yang paling penting dalam persahabatan. Sebuah persahabatan akan mudah rapuh tanpa adanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu kadang2 kita perlu meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dgn mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat2 yang sama jantina sahaja) agar dia tahu betapa kita mencintainya, kerana Allah (inshaAllah).

(2) KASIH SAYANG. Ini lebih kurang sama sahaja maksudnya dgn kecintaan. Setelah wujud rasa cinta terhadap sahabat kita, maka kita perlulah mencurahkan kasih sayang kita terhadap sahabat kita itu. Namun harus diingat, kasih sayang tidak semestinya perlu dipamerkan secara luaran. Adakalanya, hanya dengan mendoakan sahabat-sahabat kita, InshaAllah, sudah memadai untuk membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

(3) KEIKHLASAN. Bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat Illahi, sesebuah persahabatan itu haruslah beserta dengan rasa ikhlas. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Justeru itu bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.

(4) KESETIAAN. Tidak dapat dinafikan, kesetiaan terhadap sahabat mampu mengukuhkan lagi persahabatan yang terjalin biarpun jarang bertemu. Setia terhadap sahabat bermaksud sentiasa ada bersama sahabat di waktu susah mahupun senang, memberikan nasihat serta sokongan di saat dia memerlukan kita. Sekiranya berjauhan, kita boleh tunjukkan kesetiaan kita terhadap sahabat dgn sentiasa menghubunginya bertanyakan khabar serta perkembangannya. Apabila kita setia terhadap sahabat-sahabat kita, maka kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka.

(5) KEBERANIAN. Apa yang dimaksudkan di sini ialah bersikap berani dalam berkata hal yang benar. Dalam persahabatan, kita hendaklah bersikap berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, maka kita hendaklah berani mengaku kepadanya akan kesilapan yang telah kita dilakukan. Selain itu, kita juga harus bersikap berani dalam menasihati sahabat kita, kerana sebagai sahabat, kita pastinya mahukan yang terbaik untuk sahabat kita.

(6) KEJUJURAN. Ini amatlah penting dalam sesebuah persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita, terutamanya dalam hal-hal yang juga ada kaitannya dengan sahabat kita itu. Biarpun pahit, bersikaplah jujur sepenuhnya kerana “sepandai2 tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. Pembohongan itu pastinya akan terbongkar jua akhirnya. Dan pastinya ia sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada persahabatan yang sedia terjalin. Ada kemungkinannya juga, sahabat kita itu menjadi kurang (mungkin juga langsung hilang) kepercayaannya kepada kita. Begitu juga kita tidak perlulah menyembunyikan apa-apa dari sahabat kita. Janganlah berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan.

(7) KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahannya terhadap kita, kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika sebaliknya kita yang melakukan kesalahan, maka janganlah kita malu dan teragak-agak untuk meminta maaf daripadanya, kerana orang yang terlebih dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.

(8) KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka ikutlah sedih bersamanya. Pinjamkanlah telinga kita untuk mendengar setiap luahannya, dan tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tempat tadahan air matanya. Bersedihlah bersamanya, namun dalam masa yang sama berilah kekuatan kepadanya. Kerana insan yang dicarinya bukanlah orang lain, melainkan kita sahabatnya.

(9) KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua.

(10) KESERASIAN. Apa yang dimaksudkan dengan “keserasian” di sini bukanlah dari segi paras rupa mahupun harta benda. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun keserasian antara dua pihak dalam bersahabat dapat diwujudkan apabila adanya persefahaman antara mereka. Dengan adanya persefahaman, ianya akan membantu mengeratkan lagi hubungan kita dengan sahabat kita, sekaligus dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan disebabkan salah faham.



Demikianlah 10 ‘K’ yang dapat saya kongsikan bersama di sini mengenai persahabatan. Sekarang cuba kita renungkan kembali, adakah kita dan sahabat kita mengamalkan 10 ‘K’ ini? Diharap dengan perkongsian ini, selepas ini dapatlah sama-sama kita cuba amalkan kesemua nilai-nilai murni ini dalam mengeratkan lagi jalinan ukhuwwah kita bersama sahabat-sahabat kita. Semoga ikatan persahabatan yang terjalin antara kita dan sahabat-sahabat kita sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT... Aamiiin...

7 comments:

  1. salam hani ^_^

    terima kasih atas perkongsian ini...
    kadang2 kak liza terfikir mungkin diri ini tidak sempurna dalam ikatan bersahabat...sebab itu kak liza kurang kawan2 ^_^

    "Semoga ikatan persahabatan yang terjalin antara kita dan sahabat-sahabat kita sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT"
    **semoga ada dalam diri ini...insyaALLAH**

    ReplyDelete
  2. salam kak liza ^_^

    kurang kawan2, tak semestinya bermakna diri akak x sempurna dalam ikatan bersahabat..
    mungkin akak dah pun cuba sebaik mungkin untuk jadi sahabat yang baik, tetapi di pihak sana pulak yang x berapa menghargai..
    wallahu a3lam..

    apepun, biar sedikit kawan, tapi yang sedia ada tu semuanya setia n benar2 bergelar SAHABAT buat kita..
    takde makna ramai kawan, tapi belum benar2 boleh digelar SAHABAT...
    (akak pasti tau kan beza KAWAN dengan SAHABAT?)

    saya juga tidak punya ramai kawan.. mungkin sedikit memilih kot... kalau x berapa serasi tu susah sketla.. sebab nak sembang pun macam x sekepala, n topik yg x sama minat =D

    ReplyDelete
  3. insyaallah sy akan mengamalkan 10 K dlm persahbatan... thnk kak!!!

    ReplyDelete
  4. la shukran ala wajib dik :)
    akak sekadar menyampaikan..
    jadi sama2lah kita amalkan ye..
    moga jalinan persahabatan yg terjalin
    akan bertambah erat dan diberkatiNya ^_^

    ReplyDelete
  5. What are some text examples from the book Romeo and Juliet that gives examples of friendship love? also can you tell me what exactly that example means in our language today?

    ReplyDelete
  6. salam honeyz,
    minta maaf tanpa keizinan drp honeyz terlebih dahulu akak dah copy n paste n3. banyak yg boleh dikongsi berkenaan tajuk ini. tujuan akak utk meredakan salah faham antara 2 sahabat...terima kasih..

    ReplyDelete
  7. to Nojie Alias:

    salam kak :)

    la ba'tha.. ilmu tu milik ALLAH, utk sekalian manusia. lagipun apa2 yg terdapat dalam blog ni smmgnya bertujuan utk dikongsi bersama (sesuai ngan name blog ni =D ) makanya saya x kesah pn akak copy paste tanpa izin tu. akak x perlula rase bersalah ye. akak mahupn sapa2 je dibenarkan utk copy paste mane2 n3 yg berkenan kt blog yg x seberapa ni ;)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails