Thursday, December 10, 2009

AYAH, BAGILAH BALIK TANGAN ITA…


# Kisah ini mungkin ramai dah pernah baca. Namun sengaja saya postkan juga di sini, mudah2an kita dpt mengambil iktibar dan pengajaran supaya tidak bersikap terlalu keduniaan. Sesungguhnya harta dunia hanyalah pinjaman semata-mata, dan sama sekali tidak akan dibawa bersama ke alam kubur dan akhirat kelak…

*************************

Sepasang suami isteri, sama seperti pasangan lain yang menetap di kota-kota besar, meninggalkan anaknya diasuh pembantu rumah semasa mereka keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga setengah tahun, bernama Ita.

Disebabkan terlalu sibuk dengan kerja-kerja yang harus dilakukannya, pembantu rumah tersebut kerap membiarkan Ita bermain sendirian. Ita juga dibenarkan bermain di luar rumah, tetapi pintu pagar rumah tetap dikunci. Bermainlah Ita samada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli ayahnya, ataupun memetik bunga-bunga yang terdapat di laman rumahnya.

Suatu hari, Ita terjumpa sebatang paku karat. Dia pun mencuba bakatnya melakar simen tempat letak kereta ayahnya. Tetapi disebabkan ianya diperbuat daripada marmar, maka lakarannya tidak kelihatan. Ita kecewa.

Matanya terus mencari-cari. Di satu sudut, Ita nampak kereta baru ayahnya. Kebetulan pada hari tersebut, ayah dan ibunya menunggang motosikal ke tempat kerja kerana laluannya agak sesak sempena perayaan Thaipusam. Lalu dicubanya pada kereta tersebut… Dan ternyata hasilnya memuaskan! Kereta itu bewarna gelap, maka lakarannya jelas kelihatan. Apalagi, kanak-kanak itu pun merasa puas, lalu meneruskan lakaran untuk menunjukkan kretivitinya.


Penuh lakaran dibuat di sebelah kanan, dia beredar pula ke sebelah kiri kereta tersebut. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari pembantu rumah.

Pulang dari tempat kerja pada petang itu, terkejut habislah pasangan suami isteri ini tatkala mata terpandang kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, kini kelihatan berbatik-batik. Apalagi, naik beranglah si ayah. Belum pun kaki menjejak masuk ke rumah, si ayah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?!"

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu, segera berlari keluar. Sempat dia beristighfar. Dia yang tidak tahu-menahu hal itu juga kelihatan terkejut melihat lakaran pada kereta tersebut. Mukanya merah padam kerana takut melihat wajah bengis majikannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dan dia terus mengatakan, "Tak tahu".

"Duduk di rumah sepanjang hari pun tak tahu? Apa kau buat?", herdik si isteri pula. Si anak yang terdengar suara ayah dan ibunya, tiba-tiba berlari keluar dari biliknya. Dengan penuh manja dia berkata, "Ita yang buat, ayah... cantik, kan?". Tanpa menunggu reaksi si ayah, Ita segera menerkam ayahnya, ingin bermanja seperti selalu.

Si ayah yang hilang sabar, terus merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, lalu dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tidak mengerti apa-apa, terlolong-lolong kesakitan dan ketakutan. Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya.

Si ibu hanya mendiamkan diri, mungkin setuju dan merasa puas dengan hukuman yang dikenakan ke atas anaknya itu. Pembantu rumah pula melopong, tidak tahu harus buat apa. Si bapa cukup rakus memukul kedua-dua belah tangan anaknya tanpa rasa kasihan.

Lama selepas itu, setelah merasa puas, si ayah akhirnya berhenti memukul, lalu masuk ke dalam rumah, diikuti si ibu. Si anak yang ditinggalkan sendirian, digendong pembantu rumah lalu dibawanya masuk ke dalam bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan Ita calar-balar.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air, dia menangis. Ita pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan Ita bengkak. Pembantu rumah mengadukan hal tersebut kepada majikannya. "Sapukan minyak gamat!", balas tuannya, ayah kepada si anak, dengan nada selamba, langsung tidak menunjukkan rasa risau.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya. Tidak seperti kebiasaannya, sejak peristiwa tersebut, setiap kali pulang dari kerja, dia langsung tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu rumah. Si ayah kononnya mahu mengajar si anak.

Si ibu juga begitu, tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah perkembangan anaknya. Suatu hari, seperti biasa si ibu bertanyakan keadaan anaknya kepada pembantu rumah. "Ita demam .....", jawab pembantunya dengan ringkas. "Bagi minum panadol tu," balas si ibu. Sebelum masuk ke bilik tidur, sempat dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa dia ke klinik. Pukul 5.00 bersiap," pesan majikannya itu.

Sampai waktunya, si anak yang longlai dibawa ke klinik. Setelah diperiksa, doktor mengarahkan supaya Ita dirujuk ke hospital kerana keadaannya terlalu serius.

Setelah seminggu ditahan di wad pediatrik, doktor akhirnya memanggil ibubapa kanak-kanak itu. "Tiada pilihan...", katanya yang mencadangkan agar kedua-dua belah tangan Ita dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk. "Ia sudah bernanah. Demi nyawanya, kedua-dua belah tangannya perlu dipotong dari siku ke bawah", kata doktor.

Si ayah dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata doktor itu. Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak terjaga lalu menangis kesakitan. Dia terpinga-pinga melihat kedua-dua belah tangannya berbalut kain putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Dia masih merasa bingung. Kemudian beralih pandang ke wajah pembantu rumahnya. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis.

Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah akhirnya bersuara dalam linangan air mata... "Ayah... Mama... Ita tak kan buat macam tu lagi. Ita tak nak ayah pukul Ita. Ita sayang ayah, sayang mama...", katanya berulang-kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Ita juga sayang Kak Narti...", katanya sambil memandang wajah pembantu rumahnya, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Ayah... bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil tangan Ita... Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi! Ayah pulangkanlah tangan Ita ye..." katanya bertalu-talu, merayu kepada si ayah agar mengembalikan kedua-dua belah tangannya.

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya itu. Meraung dia sekuat hati, namun taqdir yang sudah terjadi, tiada manusia yang dapat mengubahnya...

*************************

Notakaki: Apalah sangat salah si anak sehinggakan dihukum dengan kehilangan kedua-dua belah tangan? Hakikatnya, kereta tersebut hanyalah harta duniawi, sedangkan anak merupakan tanggungjawab dan amanah buat ibubapa. Jadi didiklah anak-anak sebaiknya dengan cara yang sepatutnya. Janganlah bertindak mengikut emosi dan perasaan, yang seringkali membuatkan kita menyesal kemudiannya. Berhati-hatilah dalam bertindak, kerana “menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya”...

“Harta benda dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia, dan
(amalan-amalan) yang kekal lagi soleh, adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu, serta lebih baik untuk menjadi harapan.”
(Al-Kahfi, 18: 46)

p/s: Ada yang kata, kisah ni benar-benar terjadi, dan pernah disiarkan dalam Mastika bertahun-tahun yang lalu.. Benarkah? Maaf tak dapat nak pastikan sebab saya sendiri dah berkurun tak baca Mastika =D Apapun, semoga perkongsian kisah ini di sini dapat dimanfaatkan bersama..

5 comments:

  1. salam dik hani...

    cerita yg penuh pengajaran...

    Ingatan untuk kita yg rasa harta benda itu yg lebih dr segala-galanya...bila nafsu amarah menguasai diri kesabaran tidak kelihatan lagi...

    semoga nafsu amarah tidak menguasai diri kita YA ALLAH...

    ReplyDelete
  2. salam kak liza..

    ade jugak mase utk akak bace kisah panjang ni ek =D

    ha'ah, btul tu kak. sebab tu ade dalam Hadtih, nabi pesan "jangan kamu marah", diulang sampai 3x.. tandala tu betapa susahnya nak kawal nafsu amarah ni kan.. bila diri dikuasai rasa marah sgt2, kita dengan mudahnya hilang pertimbangan.. -_-

    semoga kisah ni mengajar kita supaya lebih byk bersabar. supaya nantinya tak lah kita menyesal atas tindakan kita yg berlandaskan emosi marah kita tu..

    ReplyDelete
  3. ha! cte ni sedih giler la.... kesian anak dia 2.. ape la salah anak dia smpai kena pukul lagipun bdk2 mne thu ape2 lagi dorg hnya thu bergembira jer... ya... allah ape pnye ayah la.. sedih giler sy sebak dlm hati msa dia tnya pulangkan tangan dia..... sedih! sob... sob... klu di conteng keta 2 cat la lain ni dipukul plak bdk 2!

    ReplyDelete
  4. to NICK IRFAN:

    tula kan.. sedih n sayu je dgr permintaan si anak yg minta ayahnya pulangkan tgn tu.. xkan nk bagi tgn palsu? tu x sama pn dgn tgn yg betul.. kesian kan.. budak tu merayu sampai siap berjanji lg.. tp apakan daya.. nasi sudah menjadi bubur.. menyesal pn dah xde maknanya.. smga kisah ni dpt memberikan kite kesedaran supaya sntiasa berhati2 dalam segala tindak-tanduk kita.. berfikirla scr rasional sblm bertindak.. krna bertindak scr emotional xkan ke mana, malah akan menyebabkan kerugian yg besar..

    yup, tu la kan.. budak tu conteng je pn.. taula bercalar, tp camla xleh cat semula.. kalau bakar sekalipun, leh gak usahakan cari kete baru yg sejibik. tp kalau tgn anak sndiri, ade ke jual yg ori nye kt mane2??

    ReplyDelete
  5. Salam, sy nak tny cik kenal sapa org tuamya? Sy perlu brhubung, sbb budak ni dtg cari saya

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails