Saturday, August 15, 2009

ASAL-USUL SOLAT



SUBUH:

Orang yang pertama mengerjakan solat Subuh ialah Nabi Adam A.S., iaitu tatkala keluarnya Nabi Adam dari Syurga, lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan, yang membuatkannya berasa takut yang amat sangat. Lalau apabila fajar Subuh telah keluar, maka Nabi Adam A.S. pun menunaikan solat dua rakaat.

Rakaat pertama: Bersyukur kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Bersyukur kerana siang telah menjelma.


ZOHOR:


Orang yang pertama mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim A.S., iaitu tatkala Allah S.W.T. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

Rakaat pertama: Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat: Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


ASAR:

Orang yang pertama mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus A.S., iaitu tatkala dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu segera menunaikan solat empat rakaat tanda bersyukur kerana telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan, iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.


MAGHRIB:


Orang yang pertama mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa A.S., iaitu tatkala dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu menunaikan solat tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan Dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.


ISYAK:

Orang yang pertama mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa A.S., iaitu tatkala Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu Nabi Musa menunaikan solat empat rakaat sebagai tanda bersyukur dengan kehilangan perasaan dukacita tersebut, iaitu:

Rakaat pertama: Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Dukacita terhadap anak Firaun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails