Sunday, September 13, 2009

LAIN DARI YANG LAIN



Bismillaahirrahmaanirrahiim.. dgn ini dirasmikan Entri ke-101 (^_^) Alhamdulillah...


Memandangkan dah berjaya post 100 entri sebelum ni, jadi yang ke-101 ni nak buat lain sikit.. nak letak post yang tak pernah (dan memang sebelum ni tak terfikir pun akan) letak kat sini.. that’s why la letak tajuk kat atas ni “lain dari yang lain” =D

Jangan risau (ade ke yang risau?).. konsep dan tujuan blog ni tetap sama.. masih lagi selaras dengan namanya, “Kongsi Bersama” (segala yang boleh diambil manfaat darinya). InshaAllah tidak akan lari dari tujuan sebenar blogging =)

Hakikatnya bukan ada apepun yang berubah.. “lain dari yang lain” kat tajuk entri ni sebenarnya merujuk kepada respond to tag. Kenapa “lain dari yang lain”? Sebabnya.. Sebelum ni pernah juga ada yang beri tag untuk dijawab.. tapi kurang rajin nak menjawab.. lagipun tujuan wujudkan blog ni pun, bukanla untuk hal2 sedemikian.. Maaf ye buat yang pernah kasi tag..

Selalunya kalau dapat tag, memang x fikir panjang, dah bajet x jawab.. tapi baru2 ni (baru jugaklah..) ade terima tag dari SYAUQAH MUJAHIDAH, yang membuatkan diri ini terfikir2.. terasa seperti tag yang satu ni lain dari biasa… dalam erti kata lain, tag yang memang patut dibuat dan disebar2kan!

Dan memandangkan pengisiannya memang bertepatan dgn tujuan wujudnya blog ni, jadi rasanya eloklah dijawab (dibuat) tag yang satu ni… Berbeza dgn tag2 yang lain, tag ni tak perlu susah-susah jawab soalan.. hanya perlu copy and paste je.. tapi di sebalik copy and paste tu, ada “sesuatu” yang bermanfaat yang harus disebarkan! Jom tengok apa ada dengan tag yang satu ni… (Tq ye sis Syauqah sbb bagi tag ni)



************





١-copy gambar amal Islam di atas.. copy satu post ni pun tak mengapa.. cuma tukar sket yg mana tak berkenaan.. mudah dan menjimatkan masa.. harapnya begitu la..

Honeyz: dah pun buat mengikut arahan…

٢-kemudian pilih 10 orang sahabat anda dan wajibkan mereka melakukan perkara yang sama. Ingat..!!! 10 orang tahu.. Lebih2??? lagi bagus. Kalau nak bagi semua..?? amat digalakkan..

Honeyz: pilih 10 orang sahabat ?? (berfikir sejenak.. ~ lihat di akhir entri ni)

٣-gambar ini hak cipta tidak terpelihara..jadi sebar-sebarkanlah ye..

Honeyz: InshaAllah akan disebar2kan.. bukan sahaja gambar, tapi yang lebih penting, pesanan yang terdapat pada gambar tu…

٤-perkara yang wajib anda lakukan?? senang jer.. lakukan apa yang ditulis dekat gambar diatas.. kalau tidak nampak?? zoom la..

Honeyz: InshaAllah…





************



That’s it! Cuma itu sahaja kandungan tag ni. Mudah, kan? Tapi tidaklah semudah itu untuk memikul amanah kewajiban melakukan “arahan/ pesanan” dalam gambar tu.. Tapi yang penting kena ada niat dan sentiasa berusaha untuk melakukannya...

Oops! Belum habis lagi.. sekarang turn untuk mencari “mangsa2” untuk teruskan perjuangan menyebarkan tag ni =D Di bawah ni disenaraikan 10 orang yang terpilih untuk terima tag ni… Mari kita lihat siapa yang kena..


** ~~NuR KaSiH~~
** Hurun ’Een
** Hamba Hina Damba Kasih Allah
** Cun09
** Solaharith
** Shahril Hafifi
** Cinta Agung
** Eva Salsabila

** Ziarah76
** F_24434




p/s: hukum wajib tu x dikenakan kepada kalian… terpulangla nak buat atau tak.. tiada paksaan.. kalau tak tersenarai, tapi berminat nak buat jugak, silakan.. dialu-alukan (^_^) senang cerita, tag ni saya berikan kepada semua follower blog nie =D


Saturday, September 12, 2009

TIGA AMALAN NABI DI 10 MALAM TERAKHIR



DALAM satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: "Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:



(1) Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


(2) Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran.
Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barangsiapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.


Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya.
Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud: "Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat."

(3) Memperbanyak doa.

Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”


SUMBER: Rehal Ramadan, Berita Harian



Notakaki: Bukanlah terlalu sukar apa yang diamalkan oleh Nabi sehinggakan mustahil bagi kita untuk melakukan hal yang sama. Berusahalah semampu kita untuk mencontohi segala yang diamalkan oleh Nabi... mudah-mudahan kita mendapat kurniaan Lailatul Qadr yang sering dinanti2kan setiap tahun... Aamiiin...

MALAM PENUH KEBERKATAN


Sedar atau tidak, kita sudah pun memasuki fasa terakhir bulan Ramadhan. Di saat orang ramai terlalu sibuk dengan persiapan akhir sempena menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi, mudah-mudahan kita semua masih giat mempertingkatkan amal ibadat di penghujung bulan mulia penuh berkat ini.

Jika perpisahan kita dengan teman baik merupakan detik sedih buat kita, maka seharusnya begitulah juga keadaannya dengan bulan Ramadhan penuh berkat ini. Bagi mereka yang benar-benar menghidupkan Ramadhan, pastinya mereka merasa sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadhan tidak lama lagi, kerana mereka tidak tahu apakah mereka bisa bertemu dengan Ramadhan tahun berikutnya.

Hakikatnya, di malam-malam akhir Ramadhan ini, adanya satu malam yang dinamakan Lailatul Qadr, yang mana bagi mereka yang melakukan amal ibadat pada malam tersebut, maka bagi mereka, diberikan ganjaran melebihi malam 1000 bulan.


# APA YANG TERJADI PADA MALAM AL-QADR?

Al-Qadr [4]: “Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya);..."

Malaikat yang turun pada malam itu mengucapkan Salam kepada orang Islam kecuali kepada orang Islam yang meminum arak, memakan babi dan memutuskan Silaturrahim. Turunnya malaikat ini adalah bersama-sama dengan 4 panji-panji iaitu 4 bendera yang diletakkan di 4 tempat: (1) Di atas Maqam Nabi, (2) Di Baitul Maqdis, (3) Di Baitullah, dan (4) di Bukit Thur.

# BILAKAH WAKTUNYA?

Nabi SAW menyuruh umatnya mencari Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, terutamanya malam-malam ganjil, kerana Allah suka pada yang ganjil (witir).


"Carilah Malam Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir"
– Hadith riwayat Bukhari dan Muslim –

"Carilah Malam Lailatul Qadar pada malam ganjil
10 hari yang terakhir" – Hadith riwayat Bukhari –



Waktu Lailatul Qadr tidak sama antara satu tempat dengan tempat lain. Imam Ghazali mempunyai formula untuk mengira Lailatul Qadr berdasarkan hari mula puasa mengikut pengalamannya. (mungkin boleh dipakai di Malaysia kerana tempat beliau di Iran atau Iraq tidak jauh dari sini).

Jika Awal Ramadhan (1 Ramadhan) jatuh pada hari :

[1] Ahad/ Rabu - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-29 Ramadhan;

[2] Isnin - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-21 Ramadhan;

[3] Selasa/ Jumaat - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-27 Ramadhan;

[4] Khamis - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-25 Ramadhan;

[5] Sabtu - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-23 Ramadhan.

(please take note: 1 Ramadhan tahun ni jatuh pada hari Sabtu, dan tarikh hari ini ialah 22 Ramadhan 1430H)

# APA YANG PERLU KITA LAKUKAN PADA MALAM ITU?

"Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan iman dan
ketaqwaan, maka Allah akan menghapuskan
semua dosanya yang berlalu." - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim -

Mendirikan malam Al-Qadr di dalam hadith ini bermaksud mengisi malam tersebut dengan melakukan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan.

Memandangkan kita tidak tahu dengan tepat bilakah waktunya, maka berusahalah mencari dan mendapatkan Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir Ramadhan, bangunlah kira-kira pukul 2-3 pagi dan buatlah apa-apa ibadat pun seperti berzikir, solat sunat, dan membaca Al-Qur’an.



# APAKAH TANDA-TANDANYA?

(1) Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
(2) Siangnya matahari naik tidak banyak cahayanya (kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu);
(3) Pada malam itu Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.


# JIKA BERTEMU, APA HARUS KITA LAKUKAN?

Siti Aisyah RA juga bertanya kepada Nabi SAW tentang doa apakah yang perlu diminta jika bertemu Lailatul Qadr. Jawab baginda, bacalah “Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbull ‘afwa , fa’fu ‘anni" (seperti yang selalu dibaca selepas solat sunat tarawih).


Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadr (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Baginda menjawab, “Ucapkanlah: Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)




# BAGAIMANAKAH CARANYA NABI MENDAPATKAN LAILATUL QADR?

Kebiasaannya Nabi Muhammad SAW beriktikaf dengan memasuki masjid pada petang 19 Ramadhan selepas waktu Asar. Iktikaf bererti berhenti di masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amal ibadat seperti membaca Al-Qur’an, bertasbih dan menunaikan solat. Isteri-isteri Baginda pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka kerjakan solat. Hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadhan ialah fardhu kifayah dalam mazhab Hanafi dan sunat muakkad dalam mazhab Syafie.



Notakaki: Dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini, marilah kita beramai-ramai memeriahkan suasana 10 malam terakhir Ramadhan dengan beribadat kepada Allah SWT dengan ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita dipertemukan dengan malam 1000 bulan, Lailatul Qadr.

Friday, September 11, 2009

LAIILATUL QADR KHAS BUAT UMAT NABI MUHAMMAD SAW


Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
"Lailatul Qadr dikurniakan ke atas umatku
dan tidak kepada umat lain" - Hadis riwayat Anas R.A.


Melihat kepada hadith di atas, terbit rasa syukur... alhamdulillah, kita semua umat Nabi Muhammad sungguh bertuah. Kita diberikan banyak keistimewaan yang tidak diberikan kepada umat nabi-nabi yang sebelum ini. Sungguh beruntunglah umat Nabi Muhammad SAW.

Tetapi harus diingat, Allah bersikap Maha Adil. Pastinya ada sebab mengapa hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja yang dianugerahkan-Nya malam Lailatul Qadr, dan tidak kepada umat nabi-nabi sebelumnya. Hakikatnya, kurniaan Lailatul Qadr buat umat Muhammad SAW ada hubungkaitnya dengan usia manusia umat akhir zaman ini (Umat Muhammad SAW).

Sepertimana yang kita sedia maklum, umur umat Nabi Muhammad agak pendek jika dibandingkan dengan umur umat nabi-nabi yang lain. Jarang sekali umat Nabi Muhammad dipanjangkan usianya hingga mencecah 100 tahun. Kebisaannya hayat umat Muhammad hanyalah sekitar 60-70 tahun.

Pernahkah kita terfikir, kenapa jangka hayat umat Nabi Muhammad SAW agak pendek berbanding jangka hayat umat nabi-nabi sebelumnya?


Jibril AS berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Muhammad, tahukah engkau kenapa singkat umur umatmu?” Tanpa menunggu jawapan, Jibril AS sendiri menjawab pertanyaan itu “Sebabnya supaya mereka tidak berpanjangan melakukan maksiat...”


Rasulullah SAW sendiri pernah memikirkan hal ini (pendeknya umur umatnya). Para sahabat nabi juga risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat untuk tempoh yang lama seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel yang berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah SWT menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu, yang mana dengan rahmat Allah, dikurniakan-Nya malam Lailatul Qadr yang penuh keberkatan itu terlebih baik daripada 1000 bulan.



Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan


Dalam satu hadith, ada dinyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan, iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm’un al-Ghazi.

Hanya bersenjatakan kulit unta, Syarm’un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.

Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm’un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.

Akhirnya Syarm’un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. “Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!”

Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.

Allah mengilhamkan Syarm’un supaya memohon perlindungan dari-Nya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm’un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.

Dengan kuasa Allah SWT, tubuh Syarm’un yang cedera juga turut pulih serta-merta. Syarm’um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi sebagai tanda berterima kasih atas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya.

Perjuangan Syarm’un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah Al-Qadr:




Demikianlah pengorbanan jihad seorang hamba Allah bernama Syarm’un al-Ghazi... Sedangkan kita? Apakah hayat hidup kita juga dimanfaatkan sepenuhnya dengan berjihad fii sabiilillah?? Umur kita tidak panjang... jangka hayat kita agak pendek... Tetapi kita telah dianugerah malam Lailatul Qadr yang mana barangsiapa menghidupkan malamnya maka diberikan ganjaran melebihi 1,000 bulan, tanpa perlu melakukan jihad sehebat Syarm’un. Justeru itu, carilah, rebutlah dan hidupkanlah malam Lailatul Qadr yang dianugerahkan Allah hanya kepada kita umat Nabi Muhammad SAW.

Sunday, September 6, 2009

UNIKNYA AL-QUR’AN



Bersempena dengan Nuzul Qur’an, di sini ingin saya kongsikan beberapa keistimewaan Al-Qur’an, kitab suci yang menjadi panduan dan bimbingan hidup kita…


(1) Ditulis dalam bahasa Arab yang dipertahan keasliannya.

Di dunia ini tiada bahasa yang dapat bertahan sehingga 2000 tahun, selain bahasa Arab. Bahasa Inggeris yang disanjung-sanjung itu juga, apabila kita membacanya seribu tahun yang lalu, pasti kita tidak mengerti akan maksudnya. Demikian juga dengan bahasa Belanda, Perancis dan Itali. Jika kita baca buku bahasa Belanda, Perancis, dan Itali yang berumur beratus tahun, pastinya kita tidak mengerti apa yang dimaksudkan.

Bahkan bahasa Melayu yang kita gunakan hari ini juga sudah terlalu banyak berganti perkataannya. Tetapi ini sama sekali tidak berlaku dalam bahasa Arab. Sehingga ke hari ini, bahasa Arab tetap kekal hebat dan dapat mempertahankan keasliannya.

Pada tahu 1950, telah datang utusan PBB berkebangsaan Australia yang ditugaskan untuk menyelidiki terjemahan Alkitab di seluruh Indonesia memandangkan ianya sudah diterjemahkan dalam beribu bahasa sehingga sudah banyak perbezaan dan bentuk aslinya. Utusan PBB itu kagum dengan umat Islam yang masih mempunyai kitab suci sesuai bahasa aslinya, tidak seperti Alkitab.


(2) Tiada suatu bacaan pun sejak manusia mengenal tulisan 5000 tahun yang lalu, yang tetap keadaannya seperti aslinya.

Kandungan Al-Quran sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan dibukukan pada zaman khalifah Usman bin Affan RA sehinggalah sekarang tetap sama persis. Tetap sama dari segi ejaan, cara baca, dan tulisannya. Tidak pernah Al-Quran mengalami revisi, perubahan, penambahan dan pengurangan ayatnya.

Lalu bagaimana mungkin manusia yang sangat terbatas ini mampu merevisi, penambah atau mengurangi ayat-ayat Allah, Tuhan yang Maha Pencipta akan segala sesuatu? Sungguh ianya suatu bacaan yang amat sempurna dan mulia! Al-Qur'an merupakan satu-satunya kitab suci yang mampu bertahan sampai 15 abad dalam keasliannya, bahkan dijamin kekal keasliannya sehingga ke Hari Qiamat.

Memetik kata-kata F.F. Arbunthnot, dalam The Contruction of Bible and Kor'an London 1885, halaman 5: "Dapatlah diketahui dengan jelas, teks Al-Quran yang terakhir dan terlengkap dibukukan lagi sekitar dua puluh tahun setelah wafatnya Muhammad, dan ternyata sampai sekarang isinya sama seperti semula di zaman hidupnya Muhammad, tanpa ada perubahan, pengurangan yang dilakukan oleh penganutnya. Patut disesalkan, keaslian seperti Al-Quran tersebut tidak pernah kita jumpai pada semua kitab-kitab baik yang terdapat dalam perjanjian lama mahupun dalam perjanjian baru".

(3) Satu-satunya bacaan yang dibaca oleh ratusan juta manusia, bahkan dihafal kandungannya huruf demi huruf.

Al-Qur’an merupakan Kalamullah yang menjadi pegangan hidup umat Islam di seluruh dunia. Ianya dibaca oleh ratusan juta umat Islam di dunia ini, baik mereka itu mengerti akan maksudnya ataupun tidak. Bahkan dalam menunaikan ibadah solat, kita juga membacakan ayat-ayat dari Al-Qur’an Al-Kareem. Lalu kelihatan aneh dan menakjubkan apabila lahirnya juara bacaan Al-Qur’an dan para tahfiz yang mana bahasa ibunda mereka bukanlah bahasa Arab.

(4) Satu-satunya bacaan yang dihafal huruf demi huruf oleh berjuta-juta orang dalam setiap masa dalam waktu hampir lima belas abad.

Dalam setiap masa terdapat berjuta-juta penghafal Al-Quran di seluruh dunia. Bahkan banyak sekali anak-anak kecil berumur kurang dari 10 tahun di Mesir, Qatar dan Saudi Arabia yang telah menghafal Al-Quran. Sebagai contoh, Imam Syafi'i yang telah tamat menghafal Al-Quran ketika berumur 6 tahun, atau sekarang yang masih hidup iaitu DR Yusuf Qardawi yang telah menghafal Al-Quran sebelum genap berumur 10 tahun.

(5) Satu-satunya bacaan yang mendapat perhatian begitu serius.

Perhatian serius yang dimaksudkan di sini bukanlah hanya tertuju kepada sejarah secara umum, tetapi sejarah turunnya ayat demi ayat, baik dari masa, musim dan waktu turunnya, sampailah kepada sebab-sebab turunnya. Tidak ada satu pun kitab suci di dunia ini yang tercatat secara terperinci tentang sebab-sebab turunnya ayat demi ayat, melainkan kitab suci Al-Qur’an.

(6) Satu-satunya bacaan yang dipelajari kandungannya secara menyeluruh.

Dalam memahami Al-Qur’an, isi kandungannya bukan hanya dipelajari dari segi penempatan kata demi kata, serta pemilihan kata tersebut, bahkan sampai kesan-kesan yang ditimbulkan oleh jiwa pembacanya, dan kemudian Al-Quran ditulis ratusan ribu jilid tafsirnya generasi demi generasi hingga saat ini.

(7) Satu-satunya bacaan yang diatur tatacara membacanya.

Untuk membaca Al-Qur’an dengan betul, terlebih dahulu kita perlulah mengetahui hukum tajwid. Kita perlu tahu bacaan mana yang harus dipanjangkan, dipendekkan, dipertebal, atau diperhalus suaranya. Kita juga harus tahu di mana tempat yang terlarang, boleh atau harus bermula dan berhenti, bahkan diatur lagu dan iramanya, sampai etika ketika membacanya.

(8) Satu-satunya bacaan yang dipelajari, dibaca dan dipelihara aneka macam cara membacanya.

Sepertimana dinyatakan di atas, membaca Al-Qur’an hendaklah dimulakan dengan mempelajari ilmu tajwid terlebih dahulu. Selain ilmu tajwid, Al-Qur’an juga boleh dibacakan dengan aneka cara bacaan, yang mana ianya disebut sebagai taranum (membaca Al-Qur’an secara berlagu). Antara lagu-lagu Al-Qur’an yang sering dibacakan adalah seperti bacaan lagu bayati, rast, hijaz, sikah, nahwand, jiharkah, dan pelbagai jenis lagu yang lain-lain lagi.

(9) Satu-satunya bacaan yang dihitung jumlahnya.

Bukan hanya jumlah surah-surahnya yang dihitung, tetapi sampai kepada ayat, kalimat, kata dan hurufnya sekalipun, dan kemudian diketemukan rahsia-rahsia yang amat mengagumkan dari perimbangan jumlah bilangan kata-katanya.

Sebagai contoh, DR Rasyad Khalifah, cendikiawan Mesir yg tinggal di Amerika, telah melakukan kajian terhadap Al-Quran dengan menggunakan komputer yg canggih, untuk menghitung jumlah kata-kata, kalimat bahkan huruf yg terdapat dalam Al-Quran. Hasil kajiannya, beliau kemudiannya menghasilkan Buku "Miracle of The Quran", yg mana antara kandungan buku tersebut menyatakan:


# Surah Ar-Ra'd: Surah ini dibuka dengan huruf "Alif laam miim raa". Kebanyakan ulama’ menyandarkan rangkaian huruf ini kepada Allah (hanya Allah yang tahu akan maksudnya). Tetapi setelah dihitung dengan komputer yang canggih menunjukkan bahawa surah itu mengandungi huruf terbanyak dengan urutan sebagai berikut - Alif 625 huruf, laam 479 huruf, mim 260 huruf, dan raa 137 huruf. Itulah jumlah huruf-huruf terbanyak dalam surah ini.

# Surah Al-Baqarah: Surah ini dimulakan dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya mendapati Alif sebanyak 4592 huruf, Laam sebanyak 3204 huruf, dan miim sebanyak 2195 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah tersebut.

# Surah Ali Imran: Surah ini dibuka dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya menunjukkan Alif sebanyak 2578 huruf, Laam sebanyak 1885 huruf, dan miim sebanyak 1251 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah ini.

# Surah Al-Ankabut: Surat ini dimulakan dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya mendapati Alif sebanyak 784 huruf, Laam sebanyak 554 huruf, dan miim sebanyak 344 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah Al-Ankabut.

# Surah Ar-Ruum: Surah ini dibuka dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya menunjukkan Alif sebanyak 547 huruf, Laam sebanyak 396 huruf, dan miim sebanyak 318 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah Ar-Ruum.

# Pada surah Tha Haa, huruf Thaa dan Haa sebagai huruf terbanyak di antara surah-surah yang turun di Makkah.

# Huruf kaaf haa yaa 'aiin shaad pada awal surah Maryam merupakan hurufhuruf terbanyak dalam surah itu, bahkan lebih banyak daripada yang terkandung dalam surah-surah lainnya yang turun di Makkah.

>> Apakah ini suatu kebetulan? Mungkinkah Muhammad SAW yang mengarang Al-Quran? Mungkinkah Muhammad SAW berfikir bahawa dirinya akan mengarang suatu surah diawali huruf alif laam miim raa dan itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah itu? Tidak dapat dinafikan, hanya Allah sahaja yang mampu berbuat demikian.

Itulah keagungan Al-Qur’an dalam hal perimbangan kata-kata mahupun huruf-hurufnya, yang mana hal itu tidak mungkin dijumpai dalam kitab manapun di dunia ini.
"Allahlah yang menurunkan Kitab (Al-Quran) dengan kebenaran dan timbangan". (QS 42:17).

(10) Satu-satunya bacaan yang mempunyai perimbangan kata-kata yang sangat mengagumkan.

Beberapa contoh keseimbangan antara jumlah bilangan kata dengan antonimnya yang terdapat dalam Al-Qur’an (rujukan: “Miracle of The Qur’an” oleh Rasyad Khalifah):

>> Al-hayah (kehidupan) dan al-maut (kematian), masing-masing sebanyak 145 kali.
>> An-naf (manfaat) & al-fasad (kerosakan), masing-masing 50 kali.
>> Al-har (panas) dan al-bard (dingin), masing-masing 4 kali.
>> As-solihat (kebaikan) dan as-sayyi’at (keburukan), masing-masing 167 kali.
>> Al-kufr (kafir) dan al-iman (iman), masing-masing 17 kali.
>> Ar-rahbah (cemas/takut) dan ar-raghbah (harap/ingin) masing-masing 8 kali.



Inilah serba sedikit keunikan dan keistimewaan Al-Qur’an yang dapat saya kongsikan bersama para pembaca sekalian. Sebenarnya kalau kita kaji dengan lebih mendalam, pasti ada banyak lagi keunikannya yang boleh kita ketemukan. Di sini jelaslah terbukti bahawa Al-Qur’an itu sememangnya tiada tandingannya dengan segala macam kitab yang ada di dunia ini.

10 SEBAB MENGAPA PERLU MAKAN KURMA


“Nak berbuka (puasa) dengan apa ye hari ni?” – pastinya soalan ini seringkali bermain-main di fikiran kita yang berpuasa. Tambahan pula kalau ke bazar Ramadhan, pastinya lebih rambang mata dibuatnya tak tahu nak pilih makanan apa sebagai juadah berbuka… Murtabak ayam? Kebab daging? Ayam percik? Nasi kukus dengan ayam berempah? Atau mungkin sekadar dengan kuih-muih yang pelbagai jenis? Hmm.. mana satu ye nak pilih.. pening juga ya bila terlalu banyak pilihan yang ada…

Segala jenis makanan mulai terlintas di mata dan fikiran, ditambah pula dengan aroma masakan yang semerbak pastinya mencabar keimanan kita yang akhirnya kadangkala membuatkan seseorang itu tewas dengan nafsu makannya sehingga membeli juadah berbuka secara berlebihan.

Tetapi harus diingat, walau apapun juadah berbuka puasa pilihan kita, haruslah dimulakan dengan memakan kurma, walaupun hanya sebiji cuma. Dalam erti kata lainnya, tidak lengkaplah iftar kita walau dengan pelbagai juadah berbuka sekalipun, andai ianya tidak beserta dengan buah kurma walau sebiji cuma, bagi tujuan mendapatkan pahala sunat.

Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud: Daripada Sulaima bin Amir Adh-Dhabiyyi, sesungguhnya Nabi bersabda, “Apabila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu adalah pembersih.”




Kenapa kurma? Mari kita lihat 10 sebab mengapa kita perlu jadikan kurma sebagai juadah utama, sebagaimana dijelaskan oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pensyarah USIM:

(1) Kurma adalah buah dari tumbuhan palma yg kaya dgn zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin.

(2) Dari segi saintifiknya, kurma dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.

(3) Penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain seperti diceritakan dalam 21 ayat al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.

(4) Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.

# Hal ini berasaskan wahyu diturunkan Allah SWT kepada ibu Nabi Isa iaitu Saidatuna Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.” (Surah Maryam, ayat 25)

Sabda Rasulullah SAW mengenai hal yang sama iaitu: “Beri makan buah tamar kepada isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah tamar itu semasa hamilnya, maka anak yang lahir akan menjadi seorang anak penyabar dan bersopan santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa adalah buah tamar.”

(5) Unsur zat besi dan kalsium dalam buah kurma adalah unsur paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekaligus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

(6) Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.

(7) Kajian yg dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma akan segera dibakar dan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

(8) Khasiatnya terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

(9) Mengikut kajian Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dlm buku Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah Dan Perundangan, menunjukkan jus kurma dpt menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan urat rahim pada bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dpt mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.


(10) Ia juga
membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.


Lihatlah betapa banyaknya khasiat buah kurma… Ia bukan sahaja begitu baik untuk tubuh badan, malah juga menjadi sumber tenaga sepanjang hari. Alangkah baiknya jika kurma dijadikan makanan rutin dalam hidangan harian kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja untuk berbuka puasa, tetapi juga bersahur. Dalam hadis diriwayatkan Ibn Hibban dan Baihaqi yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.”


Oleh itu, amalkanlah makan kurma selalu, baik di waktu berbuka, mahupun ketika bersahur. Bukan sahaja beroleh khasiatnya, tetapi juga mendapat pahala mengikut sunnah Nabi junjungan mulia kita. Semoga kita semua beroleh berkat dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini... Aamiiin...

Friday, September 4, 2009

ADAB BERBUKA PUASA (MENURUT SUNNAH RASULULLAH SAW)


Setelah seharian menahan lapar dan dahaga, pastinya saat berbuka puasa seolah-olah nikmat bagi mereka yang berpuasa. Sebaik sahaja kedengaran azan Maghrib berkumandang, maka bersegeralah orang-orang yang kelaparan dan kehausan ini menjamu juadah yang sudah sedia terhidang di depan mata.

Memang benar, kita disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Tetapi berbuka puasa bukan bererti kita perlu “membalas dendam” kerana tidak dpt makan dan minum sepanjang siang harinya, dgn makan sepuas-puasnya hingga kekenyangan, yg akhirnya membuatkan kita lewat dan agak malas untuk menunaikan solat.

Lalu bagaimanakah adab berbuka puasa yang perlu kita amalkan?

Sebagai umat Islam, kita cukup beruntung dan bertuah kerana perjalanan hidup kita ditempuhi dengan berpandukan kepada dua sumber agung sebagai petunjuk jalan kehidupan yang sebenarnya, iaitu melalui Al-Qur’an dan As-Sunnah. Islam merupakan agama yang sempurna. Al-Qur’an sebagai kitab panduan dan bimbingan utama, dan As-Sunnah pula berperanan umpama kamus, yang mana ianya memberi penjelasan dengan lebih spesifik mengenai apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an.

Segala aspek dalam kehidupan ini, semuanya dijelaskan dalam Al-Qur’an mahupun As-Sunnah. Ada yang jelas, ada juga yang perlukan tafsiran para ulama’. Begitu juga dengan soal adab berbuka puasa. Puasa merupakan suatu ibadat, dan ianya juga terkandung dalam Rukun Islam. Maka adab-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam erti kata lain, adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu Al-Qur’an atau As-Sunnah.

Di sini ingin saya kongsikan bersama semua, ilmu yang disampaikan oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berkaitan adab-adab berbuka puasa sepertimana yang dinyatakan di dalam Hadith:

(1) Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu (ta’jil al-Iftar).

Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi SAW, iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala.

Kata at-Tibi (meninggal 743H): “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.” (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

(2) Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air.

Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar.

Daripada Anas katanya: “Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadith ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda – pilihan pertama ialah rutab, jika tiada (rutab, maka dipilih) tamar, dan jika tiada (tamar, maka dipilih) air.

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): “Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah2an yg lain juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi SAW.

(3) Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Hadith yg kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi SAW berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan rutab/ tamar/ air tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yg dinyatakan dalam hadith2 baginda Nabi SAW antaranya:

Daripada Anas bin Malik R.A. : Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Abdullah bin Umar, Baginda SAW bersabda: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar R.A. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata.


Kata an-Nawawi (meninggal 676H): “Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.” (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata.

Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: “Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi SAW, lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi SAW ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat.

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.” (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

(4) Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT maksudnya: “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadith Baginda SAW menyebut: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan).

Hadith ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi SAW menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

(5) Berdoa ketika berbuka.

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa maqbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat.

Justeru itu al-Munawi menyebut: “Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah SAW apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.” (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang maqbul ketika dia berbuka.

(6) Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka.

Kata Anas R.A. : “Baginda SAW pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158).

Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.


Demikianlah senarai adab berbuka puasa yang terkandung di dalam sunnah Nabi SAW. Oleh itu marilah kita sama-sama mengamalkan adab-adab ini, mudah-mudahan ianya menambahkan lagi pahala puasa kita.
Related Posts with Thumbnails