Friday, December 11, 2009

9 BENTUK PEMBAZIRAN YANG SERING DILAKUKAN MANUSIA


Sepertimana yang kita sedia maklum, Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup membazir dalam semua urusan samada urusan yang berkaitan dengan perbelanjaan harta, pengurusan masa, dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir merupakan satu sifat tercela, buruk lagi keji, sehinggakan Allah mengatakan pembazir itu adalah saudara syaitan.

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu pula adalah makhluq yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Al-Isra’, 17: 27)

Berdasarkan ayat di atas, kita dapat lihat betapa kita dilarang daripada membazir. Kenapa? Kerana tabiat buruk ini hanya akan terjadi apabila manusia tidak mensyukuri segala ni3mat yang telah Allah berikan kepada mereka. Mereka sebaliknya menggunakan rezeki dan ni3mat tersebut secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepatutnya. Mereka seolah-olah terlupa bahawa segalanya adalah milik Allah yg hanya dipinjamkan kepada mereka.

Selain daripada membazir harta, masa dan tenaga, terdapat banyak lagi pembaziran yang sering dilakukan manusia tanpa mereka sedari. Hakikatnya, apa sahaja perbuatan yang mengarah kepada pengurusan atau pekerjaan yang merugikan, maka ianya juga termasuk dalam erti kata melakukan pembaziran.

Dalam hal ini, Ibnu Al-Qayum Al-Jauziah mengatakan, terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia, iaitu pembaziran:


(1) Ilmu pengetahuan – membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.

(2) Amalan – membazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas.

(3) Kekayaan – membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredhai Allah SWT.

(4) Hati – membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah SWT.

(5) Tubuh badan – membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.

(6) Cinta – membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

(7) Masa – membazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.

(8) Aqal – membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

(9) Dzikir – membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Maka kesimpulannya di sini, pembaziran boleh terjadi dalam apa jua bentuk. Tanpa kita sedari, mungkin kita juga tidak terlepas daripada melakukan pembaziran-pembaziran sebagaimana yang dinyatakan di atas. Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing… Semoga perkongsian ini dapat menyedarkan kita sekaligus membuatkan kita lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan kita supaya terhindar daripada melakukan segala pembaziran tersebut.

Thursday, December 10, 2009

AYAH, BAGILAH BALIK TANGAN ITA…


# Kisah ini mungkin ramai dah pernah baca. Namun sengaja saya postkan juga di sini, mudah2an kita dpt mengambil iktibar dan pengajaran supaya tidak bersikap terlalu keduniaan. Sesungguhnya harta dunia hanyalah pinjaman semata-mata, dan sama sekali tidak akan dibawa bersama ke alam kubur dan akhirat kelak…

*************************

Sepasang suami isteri, sama seperti pasangan lain yang menetap di kota-kota besar, meninggalkan anaknya diasuh pembantu rumah semasa mereka keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga setengah tahun, bernama Ita.

Disebabkan terlalu sibuk dengan kerja-kerja yang harus dilakukannya, pembantu rumah tersebut kerap membiarkan Ita bermain sendirian. Ita juga dibenarkan bermain di luar rumah, tetapi pintu pagar rumah tetap dikunci. Bermainlah Ita samada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli ayahnya, ataupun memetik bunga-bunga yang terdapat di laman rumahnya.

Suatu hari, Ita terjumpa sebatang paku karat. Dia pun mencuba bakatnya melakar simen tempat letak kereta ayahnya. Tetapi disebabkan ianya diperbuat daripada marmar, maka lakarannya tidak kelihatan. Ita kecewa.

Matanya terus mencari-cari. Di satu sudut, Ita nampak kereta baru ayahnya. Kebetulan pada hari tersebut, ayah dan ibunya menunggang motosikal ke tempat kerja kerana laluannya agak sesak sempena perayaan Thaipusam. Lalu dicubanya pada kereta tersebut… Dan ternyata hasilnya memuaskan! Kereta itu bewarna gelap, maka lakarannya jelas kelihatan. Apalagi, kanak-kanak itu pun merasa puas, lalu meneruskan lakaran untuk menunjukkan kretivitinya.


Penuh lakaran dibuat di sebelah kanan, dia beredar pula ke sebelah kiri kereta tersebut. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari pembantu rumah.

Pulang dari tempat kerja pada petang itu, terkejut habislah pasangan suami isteri ini tatkala mata terpandang kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, kini kelihatan berbatik-batik. Apalagi, naik beranglah si ayah. Belum pun kaki menjejak masuk ke rumah, si ayah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?!"

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu, segera berlari keluar. Sempat dia beristighfar. Dia yang tidak tahu-menahu hal itu juga kelihatan terkejut melihat lakaran pada kereta tersebut. Mukanya merah padam kerana takut melihat wajah bengis majikannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dan dia terus mengatakan, "Tak tahu".

"Duduk di rumah sepanjang hari pun tak tahu? Apa kau buat?", herdik si isteri pula. Si anak yang terdengar suara ayah dan ibunya, tiba-tiba berlari keluar dari biliknya. Dengan penuh manja dia berkata, "Ita yang buat, ayah... cantik, kan?". Tanpa menunggu reaksi si ayah, Ita segera menerkam ayahnya, ingin bermanja seperti selalu.

Si ayah yang hilang sabar, terus merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, lalu dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tidak mengerti apa-apa, terlolong-lolong kesakitan dan ketakutan. Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya.

Si ibu hanya mendiamkan diri, mungkin setuju dan merasa puas dengan hukuman yang dikenakan ke atas anaknya itu. Pembantu rumah pula melopong, tidak tahu harus buat apa. Si bapa cukup rakus memukul kedua-dua belah tangan anaknya tanpa rasa kasihan.

Lama selepas itu, setelah merasa puas, si ayah akhirnya berhenti memukul, lalu masuk ke dalam rumah, diikuti si ibu. Si anak yang ditinggalkan sendirian, digendong pembantu rumah lalu dibawanya masuk ke dalam bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan Ita calar-balar.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air, dia menangis. Ita pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan Ita bengkak. Pembantu rumah mengadukan hal tersebut kepada majikannya. "Sapukan minyak gamat!", balas tuannya, ayah kepada si anak, dengan nada selamba, langsung tidak menunjukkan rasa risau.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya. Tidak seperti kebiasaannya, sejak peristiwa tersebut, setiap kali pulang dari kerja, dia langsung tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu rumah. Si ayah kononnya mahu mengajar si anak.

Si ibu juga begitu, tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah perkembangan anaknya. Suatu hari, seperti biasa si ibu bertanyakan keadaan anaknya kepada pembantu rumah. "Ita demam .....", jawab pembantunya dengan ringkas. "Bagi minum panadol tu," balas si ibu. Sebelum masuk ke bilik tidur, sempat dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa dia ke klinik. Pukul 5.00 bersiap," pesan majikannya itu.

Sampai waktunya, si anak yang longlai dibawa ke klinik. Setelah diperiksa, doktor mengarahkan supaya Ita dirujuk ke hospital kerana keadaannya terlalu serius.

Setelah seminggu ditahan di wad pediatrik, doktor akhirnya memanggil ibubapa kanak-kanak itu. "Tiada pilihan...", katanya yang mencadangkan agar kedua-dua belah tangan Ita dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk. "Ia sudah bernanah. Demi nyawanya, kedua-dua belah tangannya perlu dipotong dari siku ke bawah", kata doktor.

Si ayah dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata doktor itu. Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak terjaga lalu menangis kesakitan. Dia terpinga-pinga melihat kedua-dua belah tangannya berbalut kain putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Dia masih merasa bingung. Kemudian beralih pandang ke wajah pembantu rumahnya. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis.

Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah akhirnya bersuara dalam linangan air mata... "Ayah... Mama... Ita tak kan buat macam tu lagi. Ita tak nak ayah pukul Ita. Ita sayang ayah, sayang mama...", katanya berulang-kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Ita juga sayang Kak Narti...", katanya sambil memandang wajah pembantu rumahnya, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Ayah... bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil tangan Ita... Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi! Ayah pulangkanlah tangan Ita ye..." katanya bertalu-talu, merayu kepada si ayah agar mengembalikan kedua-dua belah tangannya.

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya itu. Meraung dia sekuat hati, namun taqdir yang sudah terjadi, tiada manusia yang dapat mengubahnya...

*************************

Notakaki: Apalah sangat salah si anak sehinggakan dihukum dengan kehilangan kedua-dua belah tangan? Hakikatnya, kereta tersebut hanyalah harta duniawi, sedangkan anak merupakan tanggungjawab dan amanah buat ibubapa. Jadi didiklah anak-anak sebaiknya dengan cara yang sepatutnya. Janganlah bertindak mengikut emosi dan perasaan, yang seringkali membuatkan kita menyesal kemudiannya. Berhati-hatilah dalam bertindak, kerana “menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya”...

“Harta benda dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia, dan
(amalan-amalan) yang kekal lagi soleh, adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu, serta lebih baik untuk menjadi harapan.”
(Al-Kahfi, 18: 46)

p/s: Ada yang kata, kisah ni benar-benar terjadi, dan pernah disiarkan dalam Mastika bertahun-tahun yang lalu.. Benarkah? Maaf tak dapat nak pastikan sebab saya sendiri dah berkurun tak baca Mastika =D Apapun, semoga perkongsian kisah ini di sini dapat dimanfaatkan bersama..

Saturday, December 5, 2009

PUISI BUAT MUJAHID DI PALESTIN


Mujahid Palestin,
Engkaulah pejuang yang tabah,
Engkaulah pejuang yang tiada goyah,
Engkaulah pejuang yang sentiasa istiqomah.

Mujahid Palestin,
Darahmu menjadi galang ganti,
Perjuangan mempertahankan Al-Aqsa yang penuh erti,
Engkau menjadi wakil seluruh dunia ini,
Engkau adalah pejuang yang cukup berani,
Maut adalah syahid yang dicari.

Mujahid Palestin,
Walaupun Israel bertungkus lumus setiap hari,
Penuh rakus mencabul setiap bumi Palestin suci,
Engkau tetap berada di soff-soff perjuangan ini,
Mempertahankan bumi para Nabi,
Dari kekotoran nafsu serakah Zionis yang membenci,
Walau nyawa menjadi ganti.

Mujahid Palestin,
Engkau telah menolak janji-janji,
Janji palsu dari Zionis dan segala penjanji,
Marilah kita berdamai dan bersatu hati,
Palestin kita bahagi-bahagi,
Muslim ambil yang ini,
Israel ambil yang ini,
Cukup senang bagi mereka membahagi.

Mujahid Palestin,
Telah ramai yang gugur dalam jihad suci,
Telah banyak darah tersimbah ke bumi,
Telah banyak yang terkorban hingga kini,
Telah banyak tangisan air mata yang jatuh ke bumi,
Telah banyak jiwa yang pergi,
Telah banyak doa dipanjat kepad Ilahi.

Ya Allah, selamatkanlah Palestin…
Ya Allah, selamatkanlah Al-Aqsa…
Ya Allah, selamatkanlah Muslimin…
Ya Allah… bantulah mujahid Palestin!


credit to: Muhammad Amin

Thursday, December 3, 2009

KISAH SEORANG ANAK PALESTIN


Jika sebelum ni saya kongsikan gambar2 yg menceritakan cabaran dan halangan yg perlu dihadapi anak2 Palestin demi menuntut ilmu, dalam entri kali ni pula, saya ingin kongsikan di sini sebuah kisah tentang kehidupan seorang anak Palestin. Mungkin ada yg pernah membacanya sebelum ni, mungkin ada juga yg belum pernah baca. Apapun, semoga kisah yg agak panjang ini memberikan keinsafan yg mendalam buat kita semua… Hayatilah kisahnya…



Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid (istilah Arab yang bermaksud ayah) yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.

Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk, walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga, lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik.

Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain- lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar, tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad s.a.w. pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini.

Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid, kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul- betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk, adik rukuk. Walid sujud, adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi.

Tiba-tiba ketenangan itu diragut.

Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata.

Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik.

Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!" Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan.

Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid dihantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi.

Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid, abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.

Adik tanya ummi, mana perginya walid. Ummi diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk."Adik nak ikut walid". Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja.

Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek.

Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid, mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menangis, orang lelaki kena kuat dan tabah.

Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang, cium abang berkali- kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik, usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya", pesan abang. "Abang nak pergi mana?", tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi, ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi. Semuanya adik tidak faham. "Isra.. Israfil. " terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfil kan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangkakala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat.

Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah.

Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi.

Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh. "Ummi, Kenapa kita hidup susah?", adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik. "Kita kena sabar sebab sabar itu cantik", ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ke ummi?", adik tanya lagi.

Ummi senyum. "Nabi Muhammad S.A.W. pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar, nabi tak cepat putus asa", sambung ummi lagi. Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad S.A.W. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad S.A.W.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Qur’an. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang- kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al- Qur’an. "Bismillaahirrahmaanirrahiim..”

Adik baca Al-Qur’an dengan bersungguh- sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Qur’an. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Al-Qur’an dengan rajin kalau hendak khatam Al-Qur’an cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Qur’anlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Qur’an hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Qur’an.

Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid", muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.

"Anakmu, anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak", terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil... Bukan... Israel disebut lagi. Adik benci dengar nama tu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang.

Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu, Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri orang munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik.

Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid, kemudian abang dan akhirnya Jamal.

Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut.

Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tak putus2 menyebut satu kalimah keramat.. Ahad.. Ahad. Mata adik merah. Adik tahan marah. Adik tak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi hadapinya dgn tenang. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi.

Ketika peluru dilepaskan, tiba- tiba... "Muhammad!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik.

Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuh adik untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa.

Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit. "Ummi, adik rasa mengantuk, adik nak tidur. Adik nak jadi mujahid, adik nak ikut walid dan abang", terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk, berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran. Adik pejam mata... Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik...


***************************
Notakaki: Kisah yang cukup menyayat hati. Membacanya serta menghayatinya membuatkan hati merasa sayu dan sedih. Air mata bergenang lalu menitis. Pilu, sebak... semuanya ada. Biarpun berkali-kali membaca kisah ni, tidak akan pernah merasa jemu, bahkan sebaliknya semakin menginsafi diri. Semoga Muslimin & Muslimat di Palestin semuanya sentiasa cekal & tabah menghadapi dugaan dlm mempertahankan negara mereka demi menegakkan agama Islam...



p/s: Kisah di atas ni pernah saya baca 3-4 tahun yang lalu, dikirim seorang teman melalui yahoo messenger. Namun disebabkan terdapat sedikit masalah Internet ketika itu, maka tidak sempat untuk saya save. Tetapi alhamdulillah baru2 ini ketemu semula di laman iluvislam.com, maka dapatlah saya kongsikan bersama di sini kisah yg cukup menyentuh hati & perasaan ini.

Wednesday, December 2, 2009

SCHOOL IN PALESTINE


The journey starts here in Hebron…

The children starting their day
going to school to be faced with a checkpoint


The soldiers prevent them from passing
and give them orders to go home


The children try to challenge the soldiers
and pass the checkpoint…


…even younger ones try but in vain


They end up having their classes in the street by the checkpoint


what an amazing spirit!


The boys try a little bit harder


They got shot at, and some arrested


Yet in their eyes, you see determination…


…and dignity!



p/s: Hope this post will make us realize what Palestinians go through everyday…

Tuesday, December 1, 2009

KENAPA MENGELUH TATKALA HUJAN?


Kebelakangan ni, hujan lebat seringkali melanda bumi Malaysia. Baik di bahagian utara, selatan, timur mahupun centre, hampir semua negeri dan kawasan pastinya mengalami hujan, tidak kira pagi, petang, siang mahupun malam. Bahkan ada juga kawasan2 yang dilanda banjir disebabkan hujan yang tidak berhenti2 sepanjang hari, malah berhari2 lamanya.

Di sana sini, pastinya kita akan terdengar bebelan orang-orang di sekeliling kita (mungkin tanpa sedar kita sendiri juga ada membebel) merungut dan mengeluh, hanya kerana hujan. Seringkali terdengar ungkapan
“cuaca buruk je akhir-akhir ni ye…”. Persoalannya di sini, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk?

Berapa ramaikah di kalangan kita yang merungut dan mengeluh apabila hujan turun?

“Ish, tak keringlah baju yang dibasuh kalau asyik hujan je…”
“Alahai… hujan lagi… hmm…”
“Tiap-tiap hari hujan… susahla macam ni…”
“Payahlah nak buat apa2 kalau hujan…”
“Hmm… hujan tak henti2.. tak boleh balik lagi la jawabnye…”


Saya yakin, pastinya kita (saya akui, termasuklah diri ini) ada melafazkan kata-kata rungutan serta keluhan seperti contoh2 di atas,kan? Itu normal. Kita manusia, insan yang hina, yang seringkali lupa dan alpa dengan segala ni3mat yang dikurniakan Allah kepada kita. Pada kita, hujan merupakan satu masalah buat diri kita.


HUJAN DAN MOOD SESEORANG

Tidak dapat dinafikan lagi, hujan seringkali dikaitkan dengan perasaan (mood) seseorang. Sebagaimana contoh-contoh rungutan dan keluhan yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan ramai orang sering merasa "bad mood" apabila hujan. Kenapa harus begitu? Kenapa orang selalu bad mood tatkala dilanda hujan?

Dan begitulah juga sebaliknya. Apabila dilihat seseorang dalam keadaan mood yang tidak berapa elok, pastinya hujan turut dikaitkan. "Hujan tidak, mendung pun tidak, tiba-tiba je bermuram?" ... Macam biasa je kan dengar contoh ayat ni? Persoalannya, kenapa hujan turut dikaitkan dengan mood seseorang? Seolah-olah sinonim sungguh hujan dengan suasana muram (tidak ceria). Kasihan hujan... tak pasal-pasal dikaitkan sama...


HUJAN PEMBAWA RAHMAT

Cuba kita renungkan kembali... Tidakkah kita terfikir, bahawa hakikatnya hujan itu adalah rahmat? Cuba kita perhatikan firman Allah dalam surah Al-A’raaf, ayat 57, mafhumnya:

"Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)" (Al-A'raaf, 7: 57)

Sahabat-sahabat semua, sedarilah bahawa terdapat banyak manfaat yang dapat kita peroleh melalui ni3mat hujan. Dengan diturunkan hujan, ianya membersihkan udara, menyuburkan tanaman, dan membekalkan air ke empangan. Ini sikit sahaja contoh kebaiikan yg saya nyatakan di sini. Hakikatnya ada banyak lagi kebaikan hujan.


MUSTAJABNYA DOA TATKALA HUJAN

Oleh itu, marilah sama-sama kita perbertulkan keadaan ini... Sedarilah, apabila hujan turun, hakikatnya terlalu banyak rahmat yang Allah limpahkan buat manusia sekalian alam. Justeru itu juga, kita amatlah digalakkan untuk berdoa kepada Allah saat turunnya hujan kerana ianya adalah waktu mustajabnya doa seseorang.

Nabi SAW bersabda (maksudnya): "Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, sewaktu mendirikan solat, dan ketika hujan turun." (HR Abu Dawud)

Sekarang ni, di tempat kita, hampir setiap hari hujan. Bererti, tiap-tiap hari, pastinya ada masa untuk doa kita menjadi mustajab. Jadi kenapa kita lepaskan peluang keemasan ini dengan rungutan dan keluhan sia-sia di saat pintu-pintu langit sedang terbuka?

"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang tertumpah (hujan yang lebat)" (al-Qamar, 54: 11)


HUJAN TURUN MENGIKUT SUKATAN

Harus diingatkan juga, rahmat yang datang bersama turunnya hujan, tidak hadir begitu sahaja. Bahkan ketahuilah sesungguhnya turunnya hujan itu juga adalah mengikut sukatan yang tertentu.

"Dan Kami turunkan air dari langit menurut kadar sukatannya, lalu Kami tempatkan air itu di bumi; dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya." (Al-Mu’minun, 23: 18)

Mungkin sebelum ni kita tidak tahu atau terlupa. Baru hari ini kita tahu, sedar, dan teringat bahawa Allah SWT turunkan hujan lebat kepada kita sekarang ini ada sebabnya, dan ada juga sukatannya. Kemudian, air itu akan disimpan di bumi. Selama mana? Itu semua rahsia Allah. WALLAHU A3LAM…

"Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami beri kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya." (al-Hijr, 15: 22)

"Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi, dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." (Hud, 11: 123)


KESIMPULANNYA…

Jadi kesimpulannya di sini, marilah sama-sama kita perbaiki kesilapan diri kita… hentikanlah tabiat merungut dan mengeluh saat turunnya hujan. Bukankah bebelan-bebelan itu lebih baik digantikan dengan doa? Maka perbanyakkanlah berdoa ketika hujan turun, mudah-mudahan doa kita menjadi mustajab dan diterima Allah ^_^





p/s: Sebenarnya post ni dah lama dikarang, cadang publish pada awal November, tengah musim hujan lebat, tapi atas sebab-sebab tertentu, maka ianya tertangguh sehinggalah terhasilnya entri ni… Tapi sekarang ni pun kadang-kadang hujan juga kan? Cuma taklah kerap dan lebat seperti bulan yang lepas. Apapun, semoga perkongsian ni dapat dimanfaatkan bersama…

Monday, November 30, 2009

CINTA DAN PENGORBANAN SEORANG SUAMI


Sepertimana yang telah dijelaskan dalam entri terdahulu, berqurban hendaklah disertakan dengan niat bertaqarrub kepada Allah. Justeru itu juga, ianya haruslah dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Segala pengorbanan yang kita lakukan, adalah demi mendapatkan keredhaan Allah SWT semata-mata.

Demikianlah juga dalam bab cinta. Cinta dan kasih sayang sesama manusia adalah fitrah, namun ia hendaklah disalurkan pada jalan yang betul dan berlandaskan agama. Andai kita mencintai seseorang (yang halal pastinya!), kita hendaklah mencitainya kerana Allah, kerana dengan itu juga, mudah-mudahan kita akan mudah menerima si dia seadanya, dan sanggup berkorban untuknya kerana Allah SWT.

Bersempena dengan Hari Raya Qurban baru-baru ini, di sini ingin saya kongsikan bersama pembaca sekalian kisah cinta dan pengorbanan seorang suami terhadap isterinya, yang mana ianya disandarkan kepada Allah SWT.
Sama-samalah kita hayati kisah ini...


Dia bukanlah seorang anak muda. Usianya sudah senja, bahkan sudah mendekati malam. Namun begitu, setiap harinya, masa Pak Suyatno, 58 tahun diisi dgn merawat isterinya yang sakit. Isterinya juga sudah tua. Mereka telah berkahwin selama lebih 32 tahun.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan 4 orang anak… Dan di sinilah awal cubaan menerpa. Setelah isterinya melahirkan anak keempat, tiba-tiba kakinya lumpuh dan tidak boleh digerakkan. Hal itu berlanjutan selama dua tahun. Menginjak tahun ketiga, seluruh tubuhnya pula menjadi lemah bahkan terasa tidak bertulang. Lidahnya pun sudah tidak mampu digerakkan lagi.

Sejak itu, setiap hari Pak Suyatno memandikan, membersihkan kotoran, menyuapkan, dan mengangkat isterinya ke atas tempat tidur. Sebelum berangkat ke tempat kerja, dia meletakkan isterinya di hadapan TV supaya isterinya tidak merasa kesunyian.

Walau isterinya tidak dapat bercakap, tapi dia selalu melihat isterinya tersenyum, dan Pak Suyatno masih beruntung kerana tempat kerjanya tidak begitu jauh dari rumahnya, sehinggakan siang harinya dia boleh pulang ke rumah untuk menyuapi isterinya makan. Petangnya pula dia pulang ke rumah memandikan isterinya, menggantikan pakaian, dan selepas Maghrib, dia temankan isterinya menonton TV sambil bercerita apa sahaja yang dialaminya sepanjang hari.

Walaupun isterinya hanya mampu memandang (tidak mampu memberikan respons), Pak Suyatno sudah cukup senang bahkan dia selalu menggoda dan bergurau dengan isterinya setiap kali menjelang tidur.

Rutin ini dilakukan Pak Suyatno selama lebih kurang 25 tahun. Dengan sabar dia merawat isterinya sambil membesarkan keempat-empat buah hati mereka. Sekarang anak-anak mereka sudah dewasa, dan tinggal si bongsu sahaja yg masih kuliah. Yang lainnya semua sudah menikah dan tinggal dgn keluarga masing-masing.

Pada suatu hari, keempat-empat anak Pak Suyatno berkumpul di rumah orang tua mereka sambil menjenguk si ibu. Dan seperti kebiasaannya, kelihatan Pak Suyatno tetap merawat ibu kepada anak-anaknya, dan yang dia inginkan hanyalah satu: semoga semua anaknya berjaya.

Anak yang sulung akhirnya bersuara. Dengan kalimat yang cukup berhati-hati, dia berkata: “Pak, kami ingin sekali merawat ibu. Semenjak kami kecil, kami melihat bapak merawat ibu dan tidak ada sedikit pun keluhan keluar dari bibir bapak, bahkan bapak tidak mengizinkan kami menjaga ibu…”

Dengan air mata berlinang, anak itu melanjutkan kata-katanya… “Sudah yang kali keempat kami mengizinkan bapak menikah lagi… Kami rasa ibu pun akan mengizinkannya. Bila bapak akan menikmati masa tua bapak kalau masa bapak sering dihabiskan dengan berkorban seperti ini? Kami sudah tidak sampai hati melihat bapak begini. Kami berjanji akan merawat ibu dengan sebaik-baiknya secara bergantian,” tuturnya dengan penuh merayu.

Namun demikian, Pak Suyatno menjawabnya dengan hal yang sama sekali tidak diduga oleh anak-anaknya… “Anak-anakku, jikalau hidup di dunia ini hanya untuk nafsu, mungkin bapak akan berkahwin lagi… tapi ketahuilah, dengan adanya ibu kalian di samping bapak, itu sudah lebih dari cukup. Dialah yang telah melahirkan kalian…”

Sejenak kerongkongnya tersekat. Kemudian disambungnya lagi… “Kalian yang selalu kurindukan hadir di dunia ini dengan penuh cinta yang tidak dapat dinilai dengan apa sekali pun.Cuba kalian tanya ibumu, apakah dia menginginkan keadaannya seperti ini? Kalian menginginkan bapak bahagia. Apakah batin bapak dapat bahagia meninggalkan ibumu dalam keadaannya seperti sekarang? Kalian menginginkan bapak yang masih diberi Allah kesihatan yang baik dirawat oleh orang lain…Bagaimana pula dengan ibumu yang masih sakit?”

Mendengarkan kata-kata yang penuh makna itu, maka meledaklah tangis anak-anak Pak Suyatno. Mereka juga sempat melihat butiran-butiran kecil jatuh di pelupuk mata si ibu. Dengan pilu, si ibu menatap mata suami yang sangat dicintainya itu…

Sampailah suatu ketika, Pak Suyatno diundang oleh salah satu stesen TV swasta untuk menjadi panel jemputan acara Bimbingan Rohani Selepas Subuh. Dalam siaran tersebut, juru acara mengajukan pertanyaan kepada Pak Suyatno… “Bagaimana Pak Suyatno mampu bertahan selama 25 tahun merawat isteri yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa?”

Ketika itu Pak Suyatno pun menangis… Tetamu yang hadir di studio yang kebanyakannya kaum ibu pun tidak mampu menahan kesedihan. Semuanya merasa hiba…

Dan di situlah Pak Suyatno bercerita… “Jika manusia di dunia ini mengagungkan sebuah cinta tapi dia tidak mencintai kerana Allah, maka semuanya akan luntur…

Saya memilih isteri saya menjadi pendamping hidup saya. Sewaktu dia sihat, dia pun dengan sabar merawat saya. Mencintai saya dengan sepenuh hati zahir dan batinnya, bukan dengan mata kepala semata-mata… dan dia juga telah memberikan saya 4 orang anak yang lucu dan baik-baik semuanya…

Sekarang dia sakit berkorban untuk saya kerana Allah SWT. Dan itu merupakan ujian bagi saya. Sihat pun belum tentu saya mencari penggantinya, apalagi saat dia sakit. Setiap malam saya bersujud dan menangis dan saya mengadu kepada Allah di atas sajadah supaya meringankan penderitaan isteri saya…

Dan saya yakin hanya kepada Allah SWT tempat saya mengadukan rahsia dan segala kesukaran saya… kerana DIA Maha Mendengar…”



Diolah sedikit dari catatan asal: Humaimee


Notakaki: Ada yang mengatakan, ini kisah benar. Namun tidak dapat saya pastikan sejauh mana kebenarannya kerana saya tidak tahu dari mana asalnya cerita ini. Tapi apa pun, ambillah iktibar yang boleh kita manfaatkan bersama dari kisah di atas ni. Ianya merupakan satu kisah yang wajar kita teladani. Saya yakin, masih ada lelaki-lelaki (suami-suami) di luar sana yang masih memiliki sifat sedemikian rupa. InshaAllah.

Akhirul kalam, pesan saya kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat semua, hargailah insan-insan yang banyak berkorban untuk diri kita... Perbaiki akhlaq dan kelakuan diri menjadi insan yang baik terlebih dahulu, inshaAllah akan dikurniakan pasangan yang juga baik akhlaqnya... (^_^)
Related Posts with Thumbnails