Kalau perempuan tak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar…
Tapi kalau lelaki tak boleh jadi imam, kita kata ok saja.
Jangan diperbesarkan, nanti mereka terasa hati.
“Apalah perempuan, tak pandai masak, siapa yang nak kahwin dengan awak!”
Begitulah kata rakan sejawat lelaki kepada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami. Maka jawablah si gadis ayu itu, yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga, sebaliknya disuruh menumpukan perhatian pada pelajaran sahaja. Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.
“Habis sekarang kenapa tidak belajar?” Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.
“Sedang belajarlah ni.. Tetapi selain sibuk dengan kerjaya, saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!” Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-gelengkan kepalanya. Baginya, tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak.
Wanita sepatutnya buat begitu juga. Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam! (walau ada yang kata, jika itu syaratnya, bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup)
Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan “hendak memikat suami, perlu pikat seleranya” sering digunapakai.
Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasakan lebih perlu.
Kalau perempuan tidak tahu memasak, disuruh belajar, dan sesudah belajar, perlu pula jadi handal. Ukuran handal bukanlah setakat masak untuk keluarga sendiri, tapi kalau boleh, perlu juga boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.
Tapi bolehkah kita meletakkan undang-undang begitu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.
“Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?” Dengus teman wanita yang lain.
Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan solat jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.
Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid ataupun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri solat sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.
Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'. Kalau tidak pandai, mulalah belajar dari sekarang =)
Diambil dengan kebenaran, daripada: UMMUL SYABINAR
Jika wanita yang tidak tahu memasak disuruh belajar, jadi apa masalahnya jika lelaki yang tidak boleh menjadi imam dipaksa belajar juga asas-asas penting dalam agama, kerana perkara tersebut adalah jauh lebih utama jika dibandingkan dengan keperluan kepandaian memasak. Apapun, masing-masing seharusnya memikul tanggungjawab dengan sebaiknya. Pilihlah calon pasangan hidup, orang yang beragama, sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
Assalamualaikum wbt
ReplyDeleteDizaman sekarang ni, bukan sahaja lelaki perlu menjadi pemimpin (imam) malah persediaan menguruskan rumahtangga termasuk memasak, membasuh, mengemas rumah, menjaga anak dsb sebagai anjakan paradigma! Ramai dah lelaki mampu buat semua ini kerana hidup bersama perlu bantu membantu keredhaan dgn cara yg paling baik ! Bertolakansur. Surah AlBaqarah:232 اَنۡ يَّنۡكِحۡنَ اَزۡوَاجَهُنَّ اِذَا تَرَاضَوۡا بَيۡنَهُمۡ بِالۡمَعۡرُوۡفِ
...apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak)
Wallahualam