Firman Allah SWT bermaksud: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar" (Al-Bayyinah: 5)
Menerusi ayat di atas, Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang mengikhlaskan hidupnya semata-mata kepada Allah. Ia digambarkan melalui dua bentuk ibadat khusus iaitu solat sebagai hubungan antara manusia dengan Allah dan ibadat zakat yang menghubungkan antara manusia dengan manusia.
Ertinya segala aktiviti hidup seorang Muslim hendaklah ikhlas kerana Allah SWT. Dengan demikian, ikhlas dalam konteks sebagai seorang Muslim bermaksud ia mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan semoga segala amal kebaikan yang dilakukannya diterima oleh Allah.
Justeru itu, segala kata-kata, amal perbuatan dan jihad perjuangannya tidak mengambil kira sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran mahupun kedudukan tinggi. Baginya, syarat amalan yang diterima Allah ialah niat yang ikhlas dan bertepatan dengan syariat dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Dalam hal ini, ulama' telah menggariskan TANDA-TANDA IKHLAS itu kepada beberapa perkara sebagai berikut:
Pertama: takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa kepada fitnah sama ada kepada dirinya mahupun agamanya, terutama sekiranya dia seorang yang berkebolehan. Kerana dia yakin bahawa Allah menerima sesuatu amalan itu berdasarkan batin, dan bukanlah zahirnya semata-mata.
Kedua: orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati daripada dimasuki sifat bangga diri, sombong dan kagum dengan diri sendiri.
Ketiga: lebih suka melakukan amalan atau kerja secara sembunyi daripada diiklankan dan mencari populariti. Dalam konteks sebuah organisasi, dia lebih suka menjadi tunjang pokok walaupun tiada yang nampak kerana berada dalam perut bumi, namun dia adalah asas bagi pokok itu hidup, tegak dan kuat.
Keempat: baginya sama sahaja berkerja sebagai pemimpin atau pengikut, selagi kedua-duanya adalah berkhidmat untuk agama. Hatinya tidak dapat dipengaruhi perasaan cinta untuk muncul ke depan atau berada di barisan hadapan.
Kelima: tidak menghiraukan kepuasan hati manusia sekiranya ia membawa kepada kemurkaan Allah SWT.
Keenam: suka atau bencinya, memberi atau menolaknya, rela atau marahnya, semuanya adalah kerana Allah SWT dan agamanya.
Ketujuh: dia tidak bersifat malas, tidak lemah disebabkan perjalanan yang jauh, tidak lambat memetik hasil dan tidak juga lambat mencapai kejayaan.
Kelapan: gembira dengan kemunculan orang yang berkelayakan dalam barisan perjuangan bersamanya.
Dalam Al-Quran, Allah SWT menegaskan bahawa syaitan sama sekali tidak mampu menguasai orang yang bersifat ikhlas, sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka" (Al-Hijr: 39-40)
Al-Fudhail bin Iyadh, seorang ulama' terkenal ketika mendengar firman Allah yang bermaksud: "(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" (Al-Mulk: 2), lalu berkata: "Sebaik-baik amal itu ialah yang paling ikhlas dan yang paling betul."
Kemudian dia ditanya: "Bagaimanakah amal yang paling ikhlas dan betul itu?” Jawabnya: “Sesuatu amal itu sekiranya ia ikhlas tetapi tidak betul, maka ia tidak diterima, dan sekiranya ia betul tetapi tidak ikhlas juga, maka ia tidak diterima. Jadi, ia hendaklah memiliki kedua-dua sekali iaitu ikhlas dan betul. Ikhlas hanyalah semata-mata kerana Allah SWT dan betul pula adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.”
Kemudian beliau membaca firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya" (Al-Kahf: 110).
ikHLaS aDaLaH uMpAmA seMuT yAnG hiTaM
di AtaS bATu HitAm di MaLaM yaNg GeLAp
- SAIDINA ALI R.A.-
Akhir kalam, saya juga ingin mengajak para pembaca sekalian untuk sama-sama kita renungkan, mengapa surah ke-112 daripada 114 surah-surah di dalam Al-Qur’an, dinamakan surah Al-Ikhlas, sedangkan dalam surah tersebut, langsung tiada perkataan ikhlas? Mengapa tidak dinamakan surah Ahad? Mengapa tidak As-Somad?
Siapalah kita untuk mempertikaikannya serta mempersoalkannya. Pasti ada rahsia di sebaliknya. Jika kita teliti tafsiran ayat ini, ianya menerangkan tentang keEsaan Allah SWT semata-mata... lalu apa kaitannya dengan ikhlas? Mungkinkah apa yang di maksudkan di sini, jika kita mahu dapatkan ikhlas dalam segala amalan kita, maka terlebih dahulu kita hendaklah mengenal Allah? WALLAHU A3LAM...
Demikianlah sedikit pengisian tentang amalan ikhlas yang dapat saya kongsikan bersama di sini. Perhatikanlah amalan harian kita... terdapatkah tanda-tanda amalan ikhlas kerana Allah SWT di setiap amalan kita? Tepuk dada, tanyalah iman...
Notakaki: Memang senang nak jadi Muslim, tapi untuk jadi Mu’min yang mukhlis, ianya memerlukan mujahadah yang tinggi…
Notakaki: Memang senang nak jadi Muslim, tapi untuk jadi Mu’min yang mukhlis, ianya memerlukan mujahadah yang tinggi…
Salam dik...
ReplyDeleteSesuatu kebajikan yg sering dibuat tanpa mengharap balasan makhluk, sebaliknya mengharapkan keredhaan ALLAH sebagai tanda syukur...itulah diantara keikhlasan...
**Selamat belajar ^_^ ...kak liza pun bz ngan keje, lambat ziarah "umah" hani...
salam kak~
ReplyDeletebtol3.. sokong pe akak katakan tu..
cuma tula.. nk btol2 wujudkan rasa ikhlas tu, mungkin agak sukar buat seseorang (termasuklah diri ni)..
kadang2 tu mase buat memang x harap blsn, tp bile org x hargai, rase cm nk je ungkit, tp kang jadi x ikhlas lak.. -_-
better late than never =D akakla org yg paling rajin ziarah n kasi komen pd hampir setiap n3 saya... tu sudah cukup untuk buat saya senang sangat2 terima kunjungan akak biarpun lambat ^_^