Saturday, June 20, 2009

KEBESARAN SOLAT DUA RAKAAT


Allah SWT menciptakan Jibrail AS dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, yang mana panjangnya sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap).

Selesai diciptakan, Jibrail AS memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?". Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidak". Kemudian, Jibrail AS berdiri dan solat dua rakaat tanda syukur kpd Allah SWT,dan tiap2 rakaat itu lamanya adalah selama 20,000 tahun.

Setelah selesai solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu. Akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling Aku cintai, namanya Muhammad".

Allah SWT menyambung lagi firman-Nya yang bermaksud: “Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa. Sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat, solat mereka itu hanya sebentar sahaja. Mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka juga besar. Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai berbanding solatmu itu kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku."

Kemudian Jibrail AS berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal buat mereka itu". Jibrail AS kemudiannya meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.

Setelah mendapat izin dari Allah SWT, maka pergilah Jibrail AS dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, yang mana setiap dia mengembangkan dua sayapnya, dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun. Lalu terbanglah Jibrail AS selama 300 tahun sehingga dia merasa letih dan lemah, dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon, dan sujud kepada Allah SWT yang mana dalam sujudnya itu dia berkata: "Ya Tuhanku, apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah Aku berikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan."


Lihatlah betapa beruntungnya mereka yang dijanjikan syurga Ma’waa oleh Allah SWT, hanya dengan rajin menunaikan solat dua rakaat. Justeru itu, marilah sama2 kita rajin2kan diri menunaikan solat sunat dua rakaat ini. Mudah2an di akhirat kelak kita beroleh tempat tinggal di syurga Ma’waa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails