Showing posts with label RAMADHAN KAREEM. Show all posts
Showing posts with label RAMADHAN KAREEM. Show all posts

Thursday, September 17, 2009

TIPS BANGUN SOLAT MALAM


Sepertimana yang dijelaskan dalam entri yang sebelumnya, Qiyamullail merupakan satu amalan yang sangat digalakkan buat kita. Sedangkan semua amalan sunnah Nabi seharusnya kita jadikan contoh dan panduan, maka apatah lagi yang dikira sunat mu’akkad, lebih2la ditekankan supaya kita amalkan.


Ketinggian darjat solat malam ini juga disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Solat yang paling afdhol setelah solat fardhu adalah Qiyamullail” (HR. Bukhari dan Muslim).

Biarpun sudah mengetahui keutamaan serta kelebihan qiyamullail, namun tidak ramai yang melakukannya. Mungkin niat untuk qiyamullail itu ada, tetapi tidak kesampaian ekoran masalah sukar untuk bangun mengerjakannya di malam hari. Di sini saya kongsikan bersama, beberapa tips yang mudah2an boleh membantu memudahkan kita untuk bangun solat malam.


1) Berazzam (berkeinginan kuat) untuk bangun solat malam.

> Mengetahui kelebihan qiyamullail lalu berusaha untuk mendapatkan ganjarannya.
> Kerinduan yang teramat sangat untuk taqarrub kepada Allah di keheningan malam.
> Kuatkan rasa cinta kepada Allah, dan ingin “bercakap-cakap” dengan Allah lebih dekat.
> Mewujudkan perasaan benar2 ingin dicintai Allah lalu berusaha untuk menyendiri (berkhalwat) dengan-Nya.
> Merasa terlalu ingin untuk menghadapkan diri kepada-Nya, berkeluh-kesah, mengadu dan menangis hanya kepada-Nya demi mendapatkan ketenangan jiwa.


2) Menanamkan hasrat untuk meneladani Rasulullah, sebaik-baik teladan yang kita diperintahkan untuk mengikutinya.

> Dari Aisyah RA berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW solat malam sampai pecah-pecah (bengkak) kedua kakinya, lalu aku pun berkata kepada Baginda: Mengapa kamu lakukan ini wahai Rasulullah, sedangkan telah diampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?” Baginda menjawab: “Tidakkah sepatutnya aku menjadi hamba yang bersyukur?” (HR. Bukhari – Muslim)

> Al-Aswas bin Yazid berkata: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang solat malam Rasulullah SAW. Aisyah menjawab: “Biasanya Baginda tidur di awal malam, kemudian tengah malamnya Baginda bangun mengerjakan solat malam. Apabila merasa ada keperluan, Baginda segera menemui isteri. Baginda segera bangkit begitu mendengar azan. Baginda segera mandi apabila dalam keadaan junub. Jika tidak, maka beliau segera berwudhu’ lalu berangkat (ke masjid untuk) solat)” (HR. Al-Bukhari)

3) Berhasrat untuk mencontohi kesungguhan para Salafus Soleh dalam menegakkan qiyamullail.

> Disebutkan dalam sebuah riwayat, bahawa tatkala orang2 sudah terlelap dalam tidurnya, Ibn Mas’ud RA justeru ,mulai bangun untuk solat tahajjud, sehingga terdengar seperti suara dengungan lebah (yakni Al-Qur’an yang beliau baca dalam solat malamnya seperti dengungan lebah, kerana beliau membaca dengan suara perlahan, tetapi boleh terdengar oleh orang yang ada di sekitarnya), sampai menjelang fajar menyinsing.

> Abu Sulaiman berkata: “Malam hari bagi orang yang setia beribadah di dalamnya, itu lebih ni3mat daripada permainan mereka yang suka hidup bersantai-santai. Seandainya tanpa adanya malam, sungguh aku tidak suka tinggal di dunia ini”.

> Al-Imam Ibnu Al-Munkadir menyatakan: “Bagiku, kelazatan dunia ini hanya ada pada 3 perkara, yakni qiyamullail, bersilaturrahmi, dan solat berjamaah”.

4) Berusaha mendapatkan kemuliaan seorang yang beriman yang mana ianya ada pada solat malamnya.

> Ketika Jibril datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Hai Muhammad, kemuliaan orang beriman adalah dengan solat malam. Dan kegagahan orang beriman adalah sikap berdikari dari bantuan orang lain” (HR. Al-Hakim, dihasankan oleh Al-Albani, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah no. 831)

5) Mengetahui di malam itu ada 1/3 malam terkahir di mana Allah SWT akan mengabulkan doa orang yang berdoa, memberi sesuatu bagi yang meminta, dan mengampuni yang memohon ampunan-Nya.

> Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Allah turun ke langit dunia setiap malam pada 1/3 malam terkahir. Allah lalu befirman (maksudnya), “Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku qabulkan, Siapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri, Siapa yang meminta ampun kepada-Ku tentu Aku ampuni.” Demikianlah keadaannya hingga terbit fajar”. (HR. Bukhari no. 145 dan Muslim no. 758)

> “Sesungguhnya, di malam hari ada satu waktu. Tidaklah seorang muslim berdoa kepada Allah memohon kebaikan dunia dan akhirat di malam itu, kecuali Allah pasti mengabulkan permohonannya. Waktu itu ada pada tiap-tiap malam”. (HR. Muslim no. 757)

> “Rabb kalian turun setiap malam ke langit dunia tatkala lewat tengah malam, lalu Dia berfirman: Adakah orang yang berdoa agar Aku mengabulkan doanya?” (HR. Bukhari 3/25-26)

6) Mengusahakan hal-hal yg akan memudahkan kita bangun malam.

> Mengelakkan diri daripada makan dan minum terlalu banyak sebelumnya.
> Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari (dikenali sebagai “qailulah”, iaitu sebelum masuk waktu zuhur atau selepasnya, ala kadar setengah jam).
> Berusaha sedekat mungkin bergaul dengan orang-orang yang soleh (yang akan mengingatkan kita untuk selalu berbuat kebaikan).
> Tidur di awal waktu dan berniat untuk bangun solat malam.
> Berzikir, membaca doa tidur, Ma’thurat dan ayat-ayat pilihan dari Al-Qur’an sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan syaitan dan membantu untuk mudah bangun.

7) Memanfaatkan segala sumber daya yang kita miliki untuk membolehkan kita bangun solat malam.

> Set alarm (handphone ataupun jam biasa), pasang reminder.
> Berpesan kepada teman-teman serumah untuk mengejutkan diri.
> Suami dan isteri saling membantu membangunkan pasangan lalu berjamaah melaksanakan qiyamullail.
> Berpesan kepada keluarga, jiran tetangga ataupun teman-teman supaya menelefon (ataupun sekadar miss call) untuk megejutkannya dari tidur.

8) Berusaha Meninggalkan maksiat, dosa, dan perbuatan bid’ah.

> Al-Imam Hasan Al-Bashri pernah menegaskan, “Sesunssuhnya orang yang telah melakukan dosa, akan terhalang dari qiyamullail”. Ada seseorang yang bertanya, “Aku tidak dapat bangun untuk qiyamullail, maka beritahukanlah kepadaku apa yang harus aku lakukan?” Beliau menjawab, “Janganlah engkau bermaksiat (berbuat dosa) kepada-Nya di waktu siang, nescaya Dia akan membangunkanmu di waktu malam”. (Tazkiyyatun Nufus, karya Dr. Ahmad Farid)



Notakaki: Dengan sedikit tips yang diberikan ini, semoga selepas daripada ini, kita semua berkeupayaan untuk bertahajud… bukan sahaja di bulan Ramadhan yang kini sudah hampir ke penghujungnya, tetapi juga di hari-hari lain yang mendatang... selamat beramal…

Monday, September 14, 2009

KEUTAMAAN QIYAMULLAIL


Dalam usaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, kita amatlah digalakkan melakukan solat malam, atau juga disebut sebagai Qiyamullail. Di saat orang lain sedang lena dibuai mimpi indah, betapa suasana sunyi dan tenang itu dapat melahirkan penuh rasa cinta kita kepada Sang Pencipta melalui ibadat yang kita lakukan. Kita akan merasakan diri dekat dengan-Nya kerana hanya kita dan Dia sahajalah di waktu itu.

Hakikatnya, kita memang biasa bangun malam ataupun berjaga sepanjang malam. Tapi sayangnya saat itu digunakan untuk menyiapkan assignment, menonton filem, tengok bola, berborak, lepak-lepak, dan sebagainya, dan pastinya bukanlah untuk menunaikan solat.

Sebenarnya untuk qiyamullail tidak semestinya bangun jam tiga atau empat pagi. (Akan tetapi waktu yang paling utama adalah 1/3 malam terakhir). Sekadar 2 rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai. Bahkan boleh juga dikerjakan dengan hanya 1 rakaat (jumlah rakaatnya paling sedikit),
berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Solat malam adalah 2 rakaat, apabila salah seorang di antara kamu khawatir akan datangnya waktu subuh maka hendaklah dia solat 1 rakaat sebagai witir baginya” (HR. Bukhari dan Muslim).

Hukum solat malam ialah sunat mu’akkad (sangat2 ditekankan untuk dilaksanakan), yang mana ianya amatlah digalakkan ke atas kita untuk melakukannya. Dalam Al-Qur’an mahupun Hadith, banyak disebut tentang kelebihan dan keutamaan bangun solat malam. Antaranya:


(1) Solat tahajud merupakan solat yang paling utama (afdhol) setelah solat fardhu.

“Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadhan adalah puasa bulan Muharam, dan sebaik-baik solat setelah solat wajib adalah solat lail” – (Hadith Riwayat Muslim no. 1163)

“Solat yang paling utama sesudah solat fardhu adalah qiyamullail (solat di tengah malam)" – (Muttafaqun 3alaih).

(2) Orang yang solat tahajud akan dibangkitkan Allah di tempat yang terpuji, dan disayangi oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman (maksudnya): “Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan ibadah nafilah) bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Al-Isra: 79)

Dari Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah (maksudnya): “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang. Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.” (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)

(3) Orang yang melakukan qiyamullail adalah orang yang disebut oleh Allah sebagai muhsinin dan berhak mendapatkan kebaikan dari-Nya serta rahmat-Nya.

Allah SWT berfirman (maksudnya): "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan di mata air - mata air, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; (yakni) mereka sedikit sekali tidur di waktu malam; Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)." (Az-Zariyah: 15-18)

(4) Orang yang solat malam dipuji Allah dan dimasukkan ke dalam kelompok hamba-Nya yang baik (3ibad Ar-Rahman).

Allah SWT berfirman (maksudnya): "Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka." (Al-Furqan: 63-64)

(5) Kepada orang yang bangun untuk solat malam, Allah bersaksi atas mereka bahawa mereka adalah orang yang beriman.

Allah SWT berfirman (maksudnya): "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri. Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (untuk melakukan solat malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam ni3mat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (As-Sajdah: 15-17)

(6) Allah membezakan orang yang berqiyamullail dengan yang tidak berqiyamullail secara jelas dan bahawa mereka berbeza dengan yang lainnya.

Allah SWT berfirman (maksudnya): “(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang beraqallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar: 9)

(7) Kepada orang yang melakukan qiyamullail, Rasulullah SAW mengatakan bahawa mereka pasti akan masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makanan, sambunglah tali persaudaraan, dan solatlah ketika manusia terlelap tidur pada waktu malam, nescaya engkau akan masuk syurga dengan selamat.” (HR. Ibnu Majah, disahihkan oleh Al-Albani).

(8) Bagi mereka yang melakukan solat malam, maka Allah akan menaikkan darjat mereka di dalam syurga kelak.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Sungguh di dalam syurga terdapat kamar-kamar yang bahagian dalamnya terlihat dari luar dan bahagian luarnya terlihat dari dalam. Kamar-kamar itu Allah sediakan bagi orang yang memberi makan, melembutkan perkataan, mengiringi puasa Ramadhan (dengan puasa sunat), menyebarkan salam, dan mengerjakan solat malam ketika manusia lain terlelap tidur.” (HR. At-Tirmidzi, dihasankan oleh Al-Albani).

(9) Solat tahajud itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kita, ibadah yang mendekatkan diri kita kepada Allah, penutup kesalahan, dan penghapus dosa.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Hendaklah kalian melaksanakan solat malam, kerana solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dan ibadah yang mendekatkan diri kepada Tuhan kalian, serta penutup kesalahan dan sebagai penghapus dosa.” (HR. At-Tirmidzi no. 3549, Al-Hakim I/380, Baihaqi II/502. Dihasankan oleh Syaikh Al-Albani dalam Irma Al-Ghalil II/199/no. 452).

(10) Solat malam adalah lebih dari dari dunia seisinya, dan doa seorang hamba pada waktu itu adalah waktu mustajabnya doa.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Dua raka’at yang dilakukan oleh seorang hamba di tengah malam itu adalah lebih baik baginya daripada dunia ini serta seluruh isinya.” (HR Adam bin Abu Iyas)

Rasulullah SAW bersabda lagi (maksudnya): “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim)


Demikianlah keutamaan, kemuliaan dan keindahan qiyamullail. Semoga kita semua sentiasa berusaha menjadi hamba-Nya yang beruntung, yang diberi keutamaan menegakkan qiyamullail dengan istiqamah. Di penghujung Ramadhan ini juga, marilah kita berazam dengan mengi3tiqadkan diri sekuat mungkin supaya sentiasa berusaha untuk menghidupkan malam-malam kita dengan melakukan ibadah hanya kepada-Nya.

Saturday, September 12, 2009

TIGA AMALAN NABI DI 10 MALAM TERAKHIR



DALAM satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: "Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:



(1) Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


(2) Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran.
Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barangsiapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.


Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya.
Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud: "Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat."

(3) Memperbanyak doa.

Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”


SUMBER: Rehal Ramadan, Berita Harian



Notakaki: Bukanlah terlalu sukar apa yang diamalkan oleh Nabi sehinggakan mustahil bagi kita untuk melakukan hal yang sama. Berusahalah semampu kita untuk mencontohi segala yang diamalkan oleh Nabi... mudah-mudahan kita mendapat kurniaan Lailatul Qadr yang sering dinanti2kan setiap tahun... Aamiiin...

MALAM PENUH KEBERKATAN


Sedar atau tidak, kita sudah pun memasuki fasa terakhir bulan Ramadhan. Di saat orang ramai terlalu sibuk dengan persiapan akhir sempena menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi, mudah-mudahan kita semua masih giat mempertingkatkan amal ibadat di penghujung bulan mulia penuh berkat ini.

Jika perpisahan kita dengan teman baik merupakan detik sedih buat kita, maka seharusnya begitulah juga keadaannya dengan bulan Ramadhan penuh berkat ini. Bagi mereka yang benar-benar menghidupkan Ramadhan, pastinya mereka merasa sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadhan tidak lama lagi, kerana mereka tidak tahu apakah mereka bisa bertemu dengan Ramadhan tahun berikutnya.

Hakikatnya, di malam-malam akhir Ramadhan ini, adanya satu malam yang dinamakan Lailatul Qadr, yang mana bagi mereka yang melakukan amal ibadat pada malam tersebut, maka bagi mereka, diberikan ganjaran melebihi malam 1000 bulan.


# APA YANG TERJADI PADA MALAM AL-QADR?

Al-Qadr [4]: “Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya);..."

Malaikat yang turun pada malam itu mengucapkan Salam kepada orang Islam kecuali kepada orang Islam yang meminum arak, memakan babi dan memutuskan Silaturrahim. Turunnya malaikat ini adalah bersama-sama dengan 4 panji-panji iaitu 4 bendera yang diletakkan di 4 tempat: (1) Di atas Maqam Nabi, (2) Di Baitul Maqdis, (3) Di Baitullah, dan (4) di Bukit Thur.

# BILAKAH WAKTUNYA?

Nabi SAW menyuruh umatnya mencari Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, terutamanya malam-malam ganjil, kerana Allah suka pada yang ganjil (witir).


"Carilah Malam Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir"
– Hadith riwayat Bukhari dan Muslim –

"Carilah Malam Lailatul Qadar pada malam ganjil
10 hari yang terakhir" – Hadith riwayat Bukhari –



Waktu Lailatul Qadr tidak sama antara satu tempat dengan tempat lain. Imam Ghazali mempunyai formula untuk mengira Lailatul Qadr berdasarkan hari mula puasa mengikut pengalamannya. (mungkin boleh dipakai di Malaysia kerana tempat beliau di Iran atau Iraq tidak jauh dari sini).

Jika Awal Ramadhan (1 Ramadhan) jatuh pada hari :

[1] Ahad/ Rabu - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-29 Ramadhan;

[2] Isnin - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-21 Ramadhan;

[3] Selasa/ Jumaat - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-27 Ramadhan;

[4] Khamis - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-25 Ramadhan;

[5] Sabtu - Lailatul Qadr dijangka akan berlaku pada malam ke-23 Ramadhan.

(please take note: 1 Ramadhan tahun ni jatuh pada hari Sabtu, dan tarikh hari ini ialah 22 Ramadhan 1430H)

# APA YANG PERLU KITA LAKUKAN PADA MALAM ITU?

"Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan iman dan
ketaqwaan, maka Allah akan menghapuskan
semua dosanya yang berlalu." - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim -

Mendirikan malam Al-Qadr di dalam hadith ini bermaksud mengisi malam tersebut dengan melakukan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan.

Memandangkan kita tidak tahu dengan tepat bilakah waktunya, maka berusahalah mencari dan mendapatkan Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir Ramadhan, bangunlah kira-kira pukul 2-3 pagi dan buatlah apa-apa ibadat pun seperti berzikir, solat sunat, dan membaca Al-Qur’an.



# APAKAH TANDA-TANDANYA?

(1) Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
(2) Siangnya matahari naik tidak banyak cahayanya (kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu);
(3) Pada malam itu Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.


# JIKA BERTEMU, APA HARUS KITA LAKUKAN?

Siti Aisyah RA juga bertanya kepada Nabi SAW tentang doa apakah yang perlu diminta jika bertemu Lailatul Qadr. Jawab baginda, bacalah “Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbull ‘afwa , fa’fu ‘anni" (seperti yang selalu dibaca selepas solat sunat tarawih).


Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadr (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Baginda menjawab, “Ucapkanlah: Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)




# BAGAIMANAKAH CARANYA NABI MENDAPATKAN LAILATUL QADR?

Kebiasaannya Nabi Muhammad SAW beriktikaf dengan memasuki masjid pada petang 19 Ramadhan selepas waktu Asar. Iktikaf bererti berhenti di masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amal ibadat seperti membaca Al-Qur’an, bertasbih dan menunaikan solat. Isteri-isteri Baginda pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka kerjakan solat. Hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadhan ialah fardhu kifayah dalam mazhab Hanafi dan sunat muakkad dalam mazhab Syafie.



Notakaki: Dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini, marilah kita beramai-ramai memeriahkan suasana 10 malam terakhir Ramadhan dengan beribadat kepada Allah SWT dengan ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita dipertemukan dengan malam 1000 bulan, Lailatul Qadr.

Friday, September 11, 2009

LAIILATUL QADR KHAS BUAT UMAT NABI MUHAMMAD SAW


Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
"Lailatul Qadr dikurniakan ke atas umatku
dan tidak kepada umat lain" - Hadis riwayat Anas R.A.


Melihat kepada hadith di atas, terbit rasa syukur... alhamdulillah, kita semua umat Nabi Muhammad sungguh bertuah. Kita diberikan banyak keistimewaan yang tidak diberikan kepada umat nabi-nabi yang sebelum ini. Sungguh beruntunglah umat Nabi Muhammad SAW.

Tetapi harus diingat, Allah bersikap Maha Adil. Pastinya ada sebab mengapa hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja yang dianugerahkan-Nya malam Lailatul Qadr, dan tidak kepada umat nabi-nabi sebelumnya. Hakikatnya, kurniaan Lailatul Qadr buat umat Muhammad SAW ada hubungkaitnya dengan usia manusia umat akhir zaman ini (Umat Muhammad SAW).

Sepertimana yang kita sedia maklum, umur umat Nabi Muhammad agak pendek jika dibandingkan dengan umur umat nabi-nabi yang lain. Jarang sekali umat Nabi Muhammad dipanjangkan usianya hingga mencecah 100 tahun. Kebisaannya hayat umat Muhammad hanyalah sekitar 60-70 tahun.

Pernahkah kita terfikir, kenapa jangka hayat umat Nabi Muhammad SAW agak pendek berbanding jangka hayat umat nabi-nabi sebelumnya?


Jibril AS berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Muhammad, tahukah engkau kenapa singkat umur umatmu?” Tanpa menunggu jawapan, Jibril AS sendiri menjawab pertanyaan itu “Sebabnya supaya mereka tidak berpanjangan melakukan maksiat...”


Rasulullah SAW sendiri pernah memikirkan hal ini (pendeknya umur umatnya). Para sahabat nabi juga risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat untuk tempoh yang lama seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel yang berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah SWT menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu, yang mana dengan rahmat Allah, dikurniakan-Nya malam Lailatul Qadr yang penuh keberkatan itu terlebih baik daripada 1000 bulan.



Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan


Dalam satu hadith, ada dinyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan, iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm’un al-Ghazi.

Hanya bersenjatakan kulit unta, Syarm’un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.

Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm’un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.

Akhirnya Syarm’un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. “Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!”

Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.

Allah mengilhamkan Syarm’un supaya memohon perlindungan dari-Nya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm’un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.

Dengan kuasa Allah SWT, tubuh Syarm’un yang cedera juga turut pulih serta-merta. Syarm’um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi sebagai tanda berterima kasih atas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya.

Perjuangan Syarm’un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah Al-Qadr:




Demikianlah pengorbanan jihad seorang hamba Allah bernama Syarm’un al-Ghazi... Sedangkan kita? Apakah hayat hidup kita juga dimanfaatkan sepenuhnya dengan berjihad fii sabiilillah?? Umur kita tidak panjang... jangka hayat kita agak pendek... Tetapi kita telah dianugerah malam Lailatul Qadr yang mana barangsiapa menghidupkan malamnya maka diberikan ganjaran melebihi 1,000 bulan, tanpa perlu melakukan jihad sehebat Syarm’un. Justeru itu, carilah, rebutlah dan hidupkanlah malam Lailatul Qadr yang dianugerahkan Allah hanya kepada kita umat Nabi Muhammad SAW.

Sunday, September 6, 2009

UNIKNYA AL-QUR’AN



Bersempena dengan Nuzul Qur’an, di sini ingin saya kongsikan beberapa keistimewaan Al-Qur’an, kitab suci yang menjadi panduan dan bimbingan hidup kita…


(1) Ditulis dalam bahasa Arab yang dipertahan keasliannya.

Di dunia ini tiada bahasa yang dapat bertahan sehingga 2000 tahun, selain bahasa Arab. Bahasa Inggeris yang disanjung-sanjung itu juga, apabila kita membacanya seribu tahun yang lalu, pasti kita tidak mengerti akan maksudnya. Demikian juga dengan bahasa Belanda, Perancis dan Itali. Jika kita baca buku bahasa Belanda, Perancis, dan Itali yang berumur beratus tahun, pastinya kita tidak mengerti apa yang dimaksudkan.

Bahkan bahasa Melayu yang kita gunakan hari ini juga sudah terlalu banyak berganti perkataannya. Tetapi ini sama sekali tidak berlaku dalam bahasa Arab. Sehingga ke hari ini, bahasa Arab tetap kekal hebat dan dapat mempertahankan keasliannya.

Pada tahu 1950, telah datang utusan PBB berkebangsaan Australia yang ditugaskan untuk menyelidiki terjemahan Alkitab di seluruh Indonesia memandangkan ianya sudah diterjemahkan dalam beribu bahasa sehingga sudah banyak perbezaan dan bentuk aslinya. Utusan PBB itu kagum dengan umat Islam yang masih mempunyai kitab suci sesuai bahasa aslinya, tidak seperti Alkitab.


(2) Tiada suatu bacaan pun sejak manusia mengenal tulisan 5000 tahun yang lalu, yang tetap keadaannya seperti aslinya.

Kandungan Al-Quran sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan dibukukan pada zaman khalifah Usman bin Affan RA sehinggalah sekarang tetap sama persis. Tetap sama dari segi ejaan, cara baca, dan tulisannya. Tidak pernah Al-Quran mengalami revisi, perubahan, penambahan dan pengurangan ayatnya.

Lalu bagaimana mungkin manusia yang sangat terbatas ini mampu merevisi, penambah atau mengurangi ayat-ayat Allah, Tuhan yang Maha Pencipta akan segala sesuatu? Sungguh ianya suatu bacaan yang amat sempurna dan mulia! Al-Qur'an merupakan satu-satunya kitab suci yang mampu bertahan sampai 15 abad dalam keasliannya, bahkan dijamin kekal keasliannya sehingga ke Hari Qiamat.

Memetik kata-kata F.F. Arbunthnot, dalam The Contruction of Bible and Kor'an London 1885, halaman 5: "Dapatlah diketahui dengan jelas, teks Al-Quran yang terakhir dan terlengkap dibukukan lagi sekitar dua puluh tahun setelah wafatnya Muhammad, dan ternyata sampai sekarang isinya sama seperti semula di zaman hidupnya Muhammad, tanpa ada perubahan, pengurangan yang dilakukan oleh penganutnya. Patut disesalkan, keaslian seperti Al-Quran tersebut tidak pernah kita jumpai pada semua kitab-kitab baik yang terdapat dalam perjanjian lama mahupun dalam perjanjian baru".

(3) Satu-satunya bacaan yang dibaca oleh ratusan juta manusia, bahkan dihafal kandungannya huruf demi huruf.

Al-Qur’an merupakan Kalamullah yang menjadi pegangan hidup umat Islam di seluruh dunia. Ianya dibaca oleh ratusan juta umat Islam di dunia ini, baik mereka itu mengerti akan maksudnya ataupun tidak. Bahkan dalam menunaikan ibadah solat, kita juga membacakan ayat-ayat dari Al-Qur’an Al-Kareem. Lalu kelihatan aneh dan menakjubkan apabila lahirnya juara bacaan Al-Qur’an dan para tahfiz yang mana bahasa ibunda mereka bukanlah bahasa Arab.

(4) Satu-satunya bacaan yang dihafal huruf demi huruf oleh berjuta-juta orang dalam setiap masa dalam waktu hampir lima belas abad.

Dalam setiap masa terdapat berjuta-juta penghafal Al-Quran di seluruh dunia. Bahkan banyak sekali anak-anak kecil berumur kurang dari 10 tahun di Mesir, Qatar dan Saudi Arabia yang telah menghafal Al-Quran. Sebagai contoh, Imam Syafi'i yang telah tamat menghafal Al-Quran ketika berumur 6 tahun, atau sekarang yang masih hidup iaitu DR Yusuf Qardawi yang telah menghafal Al-Quran sebelum genap berumur 10 tahun.

(5) Satu-satunya bacaan yang mendapat perhatian begitu serius.

Perhatian serius yang dimaksudkan di sini bukanlah hanya tertuju kepada sejarah secara umum, tetapi sejarah turunnya ayat demi ayat, baik dari masa, musim dan waktu turunnya, sampailah kepada sebab-sebab turunnya. Tidak ada satu pun kitab suci di dunia ini yang tercatat secara terperinci tentang sebab-sebab turunnya ayat demi ayat, melainkan kitab suci Al-Qur’an.

(6) Satu-satunya bacaan yang dipelajari kandungannya secara menyeluruh.

Dalam memahami Al-Qur’an, isi kandungannya bukan hanya dipelajari dari segi penempatan kata demi kata, serta pemilihan kata tersebut, bahkan sampai kesan-kesan yang ditimbulkan oleh jiwa pembacanya, dan kemudian Al-Quran ditulis ratusan ribu jilid tafsirnya generasi demi generasi hingga saat ini.

(7) Satu-satunya bacaan yang diatur tatacara membacanya.

Untuk membaca Al-Qur’an dengan betul, terlebih dahulu kita perlulah mengetahui hukum tajwid. Kita perlu tahu bacaan mana yang harus dipanjangkan, dipendekkan, dipertebal, atau diperhalus suaranya. Kita juga harus tahu di mana tempat yang terlarang, boleh atau harus bermula dan berhenti, bahkan diatur lagu dan iramanya, sampai etika ketika membacanya.

(8) Satu-satunya bacaan yang dipelajari, dibaca dan dipelihara aneka macam cara membacanya.

Sepertimana dinyatakan di atas, membaca Al-Qur’an hendaklah dimulakan dengan mempelajari ilmu tajwid terlebih dahulu. Selain ilmu tajwid, Al-Qur’an juga boleh dibacakan dengan aneka cara bacaan, yang mana ianya disebut sebagai taranum (membaca Al-Qur’an secara berlagu). Antara lagu-lagu Al-Qur’an yang sering dibacakan adalah seperti bacaan lagu bayati, rast, hijaz, sikah, nahwand, jiharkah, dan pelbagai jenis lagu yang lain-lain lagi.

(9) Satu-satunya bacaan yang dihitung jumlahnya.

Bukan hanya jumlah surah-surahnya yang dihitung, tetapi sampai kepada ayat, kalimat, kata dan hurufnya sekalipun, dan kemudian diketemukan rahsia-rahsia yang amat mengagumkan dari perimbangan jumlah bilangan kata-katanya.

Sebagai contoh, DR Rasyad Khalifah, cendikiawan Mesir yg tinggal di Amerika, telah melakukan kajian terhadap Al-Quran dengan menggunakan komputer yg canggih, untuk menghitung jumlah kata-kata, kalimat bahkan huruf yg terdapat dalam Al-Quran. Hasil kajiannya, beliau kemudiannya menghasilkan Buku "Miracle of The Quran", yg mana antara kandungan buku tersebut menyatakan:


# Surah Ar-Ra'd: Surah ini dibuka dengan huruf "Alif laam miim raa". Kebanyakan ulama’ menyandarkan rangkaian huruf ini kepada Allah (hanya Allah yang tahu akan maksudnya). Tetapi setelah dihitung dengan komputer yang canggih menunjukkan bahawa surah itu mengandungi huruf terbanyak dengan urutan sebagai berikut - Alif 625 huruf, laam 479 huruf, mim 260 huruf, dan raa 137 huruf. Itulah jumlah huruf-huruf terbanyak dalam surah ini.

# Surah Al-Baqarah: Surah ini dimulakan dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya mendapati Alif sebanyak 4592 huruf, Laam sebanyak 3204 huruf, dan miim sebanyak 2195 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah tersebut.

# Surah Ali Imran: Surah ini dibuka dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya menunjukkan Alif sebanyak 2578 huruf, Laam sebanyak 1885 huruf, dan miim sebanyak 1251 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah ini.

# Surah Al-Ankabut: Surat ini dimulakan dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya mendapati Alif sebanyak 784 huruf, Laam sebanyak 554 huruf, dan miim sebanyak 344 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah Al-Ankabut.

# Surah Ar-Ruum: Surah ini dibuka dengan huruf "Alif laam miim". Setelah dihitung dengan computer, hasilnya menunjukkan Alif sebanyak 547 huruf, Laam sebanyak 396 huruf, dan miim sebanyak 318 huruf. Itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah Ar-Ruum.

# Pada surah Tha Haa, huruf Thaa dan Haa sebagai huruf terbanyak di antara surah-surah yang turun di Makkah.

# Huruf kaaf haa yaa 'aiin shaad pada awal surah Maryam merupakan hurufhuruf terbanyak dalam surah itu, bahkan lebih banyak daripada yang terkandung dalam surah-surah lainnya yang turun di Makkah.

>> Apakah ini suatu kebetulan? Mungkinkah Muhammad SAW yang mengarang Al-Quran? Mungkinkah Muhammad SAW berfikir bahawa dirinya akan mengarang suatu surah diawali huruf alif laam miim raa dan itulah huruf-huruf terbanyak dalam surah itu? Tidak dapat dinafikan, hanya Allah sahaja yang mampu berbuat demikian.

Itulah keagungan Al-Qur’an dalam hal perimbangan kata-kata mahupun huruf-hurufnya, yang mana hal itu tidak mungkin dijumpai dalam kitab manapun di dunia ini.
"Allahlah yang menurunkan Kitab (Al-Quran) dengan kebenaran dan timbangan". (QS 42:17).

(10) Satu-satunya bacaan yang mempunyai perimbangan kata-kata yang sangat mengagumkan.

Beberapa contoh keseimbangan antara jumlah bilangan kata dengan antonimnya yang terdapat dalam Al-Qur’an (rujukan: “Miracle of The Qur’an” oleh Rasyad Khalifah):

>> Al-hayah (kehidupan) dan al-maut (kematian), masing-masing sebanyak 145 kali.
>> An-naf (manfaat) & al-fasad (kerosakan), masing-masing 50 kali.
>> Al-har (panas) dan al-bard (dingin), masing-masing 4 kali.
>> As-solihat (kebaikan) dan as-sayyi’at (keburukan), masing-masing 167 kali.
>> Al-kufr (kafir) dan al-iman (iman), masing-masing 17 kali.
>> Ar-rahbah (cemas/takut) dan ar-raghbah (harap/ingin) masing-masing 8 kali.



Inilah serba sedikit keunikan dan keistimewaan Al-Qur’an yang dapat saya kongsikan bersama para pembaca sekalian. Sebenarnya kalau kita kaji dengan lebih mendalam, pasti ada banyak lagi keunikannya yang boleh kita ketemukan. Di sini jelaslah terbukti bahawa Al-Qur’an itu sememangnya tiada tandingannya dengan segala macam kitab yang ada di dunia ini.

10 SEBAB MENGAPA PERLU MAKAN KURMA


“Nak berbuka (puasa) dengan apa ye hari ni?” – pastinya soalan ini seringkali bermain-main di fikiran kita yang berpuasa. Tambahan pula kalau ke bazar Ramadhan, pastinya lebih rambang mata dibuatnya tak tahu nak pilih makanan apa sebagai juadah berbuka… Murtabak ayam? Kebab daging? Ayam percik? Nasi kukus dengan ayam berempah? Atau mungkin sekadar dengan kuih-muih yang pelbagai jenis? Hmm.. mana satu ye nak pilih.. pening juga ya bila terlalu banyak pilihan yang ada…

Segala jenis makanan mulai terlintas di mata dan fikiran, ditambah pula dengan aroma masakan yang semerbak pastinya mencabar keimanan kita yang akhirnya kadangkala membuatkan seseorang itu tewas dengan nafsu makannya sehingga membeli juadah berbuka secara berlebihan.

Tetapi harus diingat, walau apapun juadah berbuka puasa pilihan kita, haruslah dimulakan dengan memakan kurma, walaupun hanya sebiji cuma. Dalam erti kata lainnya, tidak lengkaplah iftar kita walau dengan pelbagai juadah berbuka sekalipun, andai ianya tidak beserta dengan buah kurma walau sebiji cuma, bagi tujuan mendapatkan pahala sunat.

Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud: Daripada Sulaima bin Amir Adh-Dhabiyyi, sesungguhnya Nabi bersabda, “Apabila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu adalah pembersih.”




Kenapa kurma? Mari kita lihat 10 sebab mengapa kita perlu jadikan kurma sebagai juadah utama, sebagaimana dijelaskan oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pensyarah USIM:

(1) Kurma adalah buah dari tumbuhan palma yg kaya dgn zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin.

(2) Dari segi saintifiknya, kurma dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.

(3) Penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain seperti diceritakan dalam 21 ayat al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.

(4) Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.

# Hal ini berasaskan wahyu diturunkan Allah SWT kepada ibu Nabi Isa iaitu Saidatuna Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.” (Surah Maryam, ayat 25)

Sabda Rasulullah SAW mengenai hal yang sama iaitu: “Beri makan buah tamar kepada isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah tamar itu semasa hamilnya, maka anak yang lahir akan menjadi seorang anak penyabar dan bersopan santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa adalah buah tamar.”

(5) Unsur zat besi dan kalsium dalam buah kurma adalah unsur paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekaligus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

(6) Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.

(7) Kajian yg dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma akan segera dibakar dan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

(8) Khasiatnya terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

(9) Mengikut kajian Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dlm buku Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah Dan Perundangan, menunjukkan jus kurma dpt menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan urat rahim pada bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dpt mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.


(10) Ia juga
membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.


Lihatlah betapa banyaknya khasiat buah kurma… Ia bukan sahaja begitu baik untuk tubuh badan, malah juga menjadi sumber tenaga sepanjang hari. Alangkah baiknya jika kurma dijadikan makanan rutin dalam hidangan harian kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja untuk berbuka puasa, tetapi juga bersahur. Dalam hadis diriwayatkan Ibn Hibban dan Baihaqi yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.”


Oleh itu, amalkanlah makan kurma selalu, baik di waktu berbuka, mahupun ketika bersahur. Bukan sahaja beroleh khasiatnya, tetapi juga mendapat pahala mengikut sunnah Nabi junjungan mulia kita. Semoga kita semua beroleh berkat dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini... Aamiiin...

Friday, September 4, 2009

ADAB BERBUKA PUASA (MENURUT SUNNAH RASULULLAH SAW)


Setelah seharian menahan lapar dan dahaga, pastinya saat berbuka puasa seolah-olah nikmat bagi mereka yang berpuasa. Sebaik sahaja kedengaran azan Maghrib berkumandang, maka bersegeralah orang-orang yang kelaparan dan kehausan ini menjamu juadah yang sudah sedia terhidang di depan mata.

Memang benar, kita disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Tetapi berbuka puasa bukan bererti kita perlu “membalas dendam” kerana tidak dpt makan dan minum sepanjang siang harinya, dgn makan sepuas-puasnya hingga kekenyangan, yg akhirnya membuatkan kita lewat dan agak malas untuk menunaikan solat.

Lalu bagaimanakah adab berbuka puasa yang perlu kita amalkan?

Sebagai umat Islam, kita cukup beruntung dan bertuah kerana perjalanan hidup kita ditempuhi dengan berpandukan kepada dua sumber agung sebagai petunjuk jalan kehidupan yang sebenarnya, iaitu melalui Al-Qur’an dan As-Sunnah. Islam merupakan agama yang sempurna. Al-Qur’an sebagai kitab panduan dan bimbingan utama, dan As-Sunnah pula berperanan umpama kamus, yang mana ianya memberi penjelasan dengan lebih spesifik mengenai apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an.

Segala aspek dalam kehidupan ini, semuanya dijelaskan dalam Al-Qur’an mahupun As-Sunnah. Ada yang jelas, ada juga yang perlukan tafsiran para ulama’. Begitu juga dengan soal adab berbuka puasa. Puasa merupakan suatu ibadat, dan ianya juga terkandung dalam Rukun Islam. Maka adab-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam erti kata lain, adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu Al-Qur’an atau As-Sunnah.

Di sini ingin saya kongsikan bersama semua, ilmu yang disampaikan oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berkaitan adab-adab berbuka puasa sepertimana yang dinyatakan di dalam Hadith:

(1) Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu (ta’jil al-Iftar).

Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi SAW, iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala.

Kata at-Tibi (meninggal 743H): “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.” (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

(2) Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air.

Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar.

Daripada Anas katanya: “Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadith ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda – pilihan pertama ialah rutab, jika tiada (rutab, maka dipilih) tamar, dan jika tiada (tamar, maka dipilih) air.

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): “Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah2an yg lain juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi SAW.

(3) Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Hadith yg kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi SAW berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan rutab/ tamar/ air tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yg dinyatakan dalam hadith2 baginda Nabi SAW antaranya:

Daripada Anas bin Malik R.A. : Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Abdullah bin Umar, Baginda SAW bersabda: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar R.A. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata.


Kata an-Nawawi (meninggal 676H): “Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.” (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata.

Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: “Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi SAW, lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi SAW ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat.

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.” (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

(4) Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT maksudnya: “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadith Baginda SAW menyebut: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan).

Hadith ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi SAW menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

(5) Berdoa ketika berbuka.

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa maqbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat.

Justeru itu al-Munawi menyebut: “Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah SAW apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.” (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang maqbul ketika dia berbuka.

(6) Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka.

Kata Anas R.A. : “Baginda SAW pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158).

Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.


Demikianlah senarai adab berbuka puasa yang terkandung di dalam sunnah Nabi SAW. Oleh itu marilah kita sama-sama mengamalkan adab-adab ini, mudah-mudahan ianya menambahkan lagi pahala puasa kita.

Sunday, August 30, 2009

MASJID DI HATIKU…



Di bulan Ramadhan Kareem ini, pastinya ramai yg pergi ke masjid terutamanya di malam harinya bagi menunaikan solat fardhu isya’, solat sunat tarawih dan solat sunat witir secara berjemaah. Selain mengimarahkan masjid dan mendapatkan pahala solat berjemaah, kita juga dapat berkenalan dengan saudara seIslam yg lainnya.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW ada menyatakan tentang kisah tujuh golongan lelaki yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah SWT sahaja. Di antara golongan yang mendapat naungan Arsy Allah di Hari Kebangkitan ini nanti ialah “lelaki yang hatinya terikat kepada masjid-masjid”.

Justeru itu, sebagai seorang Muslim, marilah kita sama2 menghidupkan rumah2 Allah dengan mengimarahkannya semaksima mungkin…Rajin2kanlah diri pergi menunaikan solat berjemaah di masjid selagi ada kelapangan waktu… Dekatkanlah hati kita dengan masjid-masjid, mudah2an di akhirat kelak kita mendapat naungan Arsy Allah SWT.



>>> THE 3 HOLY MOSQUES <<<





Masjid Al-Haram, Makkah Al-Mukarramah
Masjid tertua di muka bumi ini,
yang juga merupakan Qiblat ummat Islam sekarang…






Masjid An-Nabawi, Madinah Al-Munawwarah
Di sinilah terletaknya makam Rasulullah SAW…





Masjid Al-Aqsa, Bayt Al-Maqdis
Qiblat pertama bagi ummat Islam sebelum dipindahkan
ke Ka’abah di dalam Majidil Haram.




Notakaki: Mudah-mudahan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk jejakkan kaki berkunjung serta beribadah di masjid-masjid ini suatu hari nanti... Aamiiin...


Saturday, August 29, 2009

KENAPA KITA PERLU BERSAHUR?



Tengok pada tajuk entri ini, pasti boleh je nak jawab sendiri, kan? Kalau ikut logiknya, dengan bersahur, ia akan memberi kita tenaga untuk melakukan aktiviti harian sepanjang kita berpuasa siang hari esoknya. Benar, jawapan ini memang rasional dan boleh diterima dek aqal waras kita.

Tapi pernahkah kita terfikir, apakah “sebab sebenar” kenapa kita perlu bersahur? Ada apa dengan bersahur? Ada kaitan dengan agama ke? Kalau tak bangun sahur, tak pe ke?

Kalau dilihat dari sudut agama, orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab) juga berpuasa. Tetapi cara mereka berpuasa sedikit berbeza dengan ibadah puasa yang dikerjakan oleh kita ummat Islam. Apa perbezaannya?

Tak lain tak bukan, perbezaanya adalah dengan adanya makan sahur. Puasa mereka tanpa disertakan dengan makan sahur, manakala dalam Islam, kita hendaklah bangun bersahur. Sesungguhnya amalan bangun sahur inilah yang membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud:
“Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

# GALAKAN UNTUK BERSAHUR

Sahur maerupakan satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas ummat Islam. Anjuran bersahur ini dapat dilihat dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Hadis ini menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa, walaupun hanya dengan seteguk air.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga ada menyebut tentang kelebihan buat orang yang bersahur, (maksudnya): “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).

# SUNAT MELEWATKAN SAHUR

Kita bukan sahaja disunatkan untuk bangun makan sahur, tapi kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur, kerana itulah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.”

Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh). Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama Nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh). Zaid ditanya: “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadith yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir. Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi.

# KEPENTINGAN SARAPAN PAGI

Kajian menunjukkan makanan paling utama dlm masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yg tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian sama juga menunjukkan, mereka yg sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yg jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting kpd kanak-kanak yg berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yg kecil. Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dlm darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan pd pelajaran. Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yg tidak bersarapan pagi menanggung risiko 2x ganda mengalami kekurangan zat besi dlm darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.


Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudharatan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur juga dikira sebagai suatu ibadah kerana ia merupakan sunnah, dan waktu bersahur juga merupakan masa yang dipenuhi keberkatan.

“Katakanlah, mahukah Aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertaqwa, ada syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai2. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri2 yang suci serta mendapat keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba2-Nya. (Iaitu)orang yg berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah)orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun pada waktu sahur.” (Ali Imran: 15 - 17)





Notakaki: Rajin2kanlah diri untuk bangun sahur, dan lewat2kanlah bersahur. Janganlah amalkan bersahur di malam hari dengan alasan susah bangun awal pagi untuk bersahur, kerana ianya tidak akan memberi kebaikan sarapan pagi sepertimana dinyatakan dalam kajian di atas, dan juga tidak mengikut sunnah. Dan jangan pula segera menyudahkan sahur terlalu awal sehingga jaraknya dengan waktu Subuh juga agak jauh jaraknya…

Friday, August 28, 2009

KESILAPAN KERAP MUSLIM DI BULAN RAMADHAN


Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama, iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah.

Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan:


1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya: "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin (ertinya): " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat: 18)

Dalam hadith juga ada menyebut (ertinya): "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah, waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT); jawab Nabi: Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494, Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan; Lihat Al-Muntaqa, 1/477)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan Rasul-Nya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan (maksud hadith): “menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.” (Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut (maksudnya): "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" (Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir: Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith (ertinya): "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" (Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sohih)


Sekian.


Notakaki: Perhatikan… adakah kita juga melakukan kesilapan2 ini? Andai ada, maka perbaikilah kepada yg sepatutnya… (peringatan dan teguran buat diri dan teman-teman yang lain).

Tuesday, August 25, 2009

HAMPIR SAMA, TAPI HAKIKATNYA TETAP BERBEZA



-Kesinambungan dr n3 “AWAS: STATUS “HADITH” INI DIRAGUI!”-


Setelah menerima SMS dari seorang teman yg mengforwardkan mesej tentang “doa malaikat Jibril menjelang Ramadhan…” yg akhirnya membawa saya kepada entri bertajuk “AWAS: STATUS “HADITH” INI DIRAGUI!”, semalam teman sebilik pula bertanyakan tentang “hadith” yg sama, diterimanya dari teman melalui email.

Hmm… Nampaknya “hadith” ini masih lagi tersebar di kalangan mereka yg mungkin leka dan alpa kerana tidak menyiasat status “hadith” ini terlebih dahulu. Bagi mereka yg sudah terlanjur menyebarkannya ekoran ketidaktahuan, seeloknya mohon maafla kepada semua penerima forward mesej kalian. Ketepikanlah ego dan rasa malu demi menyampaikan kebenaran…

Persoalannya di sini, bagaimana “hadith” ini boleh timbul? Ini terjadi ekoran salah fahaman manusia dalam mentafsir hadith. Mereka tidak mengkaji asal-usul hadith dengan teliti, baik dari sudut sanad (perawi2 hadith) mahupun matan (isi kandungan) hadith tersebut.

Dipercayai, “hadith” ini ada kaitannya dengan satu lagi hadith yg mana matan hadith tersebut seolah2 hampir sama dengan yg disebar-sebarkan ini. Kedua-duanya menyebut bahawa Rasulullah mengaminkan doa malaikat Jibril. Tetapi, kalau dikaji matan kedua-duanya, pasti akan ketemu perbezaannya yg begitu ketara.

Matan yg hampir serupa adalah begini:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu Rasulullah SAW menaiki anak tangga mimbar seraya berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, Rasulullah SAW berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, berkata lagi: Amin. Ketika Rasulullah SAW turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulallah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu Baginda Rasulullah SAW menjawab:

"Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya." - Hadits Riwayat Bazzar dlm Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya & disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dlm Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah).





Lihatlah betapa besarnya perbezaan antara kepalsuan yg disebarkan dengan apa yg sebenarnya dimaksudkan di dalam hadith. Menyebut tentang isu Ramadhan, hadith sebenar mengatakan celakalah orang yg mendapati Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya (iaitu orang yg tetap membuat dosa di bulan Ramadhan), manakala yg dimaksudkan dalam doa Jibrail itu pula menyebut tentang hal bermaaf-maafan sebelum tibanya kedatangan Ramadhan.

Justeru itu, berhati-hatilah dalam menyebarkan hadith kerana ancaman menyebar hadith palsu sangatlah berat. Mungkin anda tidak tahu, namun anda perlu sentiasa berhati-hati tentang sumber dan kesahihannya sebelum mengforwardkannya kepada orang lain…Sentiasalah ingat akan hadith Nabi yg bermaksud:
"Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka." - Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi SAW). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah SAW).



Notakaki: Hadith ini dikategorikan sebagai Mutawatir, yg mana ianya sangatlah tinggi martabatnya. Maka berhati-hatilah supaya kita tidak disiapkan Allah dengan api neraka dengan sebab kelalaian kita. Na3uzubillahi min dzaaliik… WALLAHU A3LAM…


Sunday, August 23, 2009

KHUTBAH RASULULLAH S.A.W. (DALAM MENYAMBUT BULAN RAMADHAN)



Wahai manusia,
Sungguh telah datang pada kalian bulan Allah
dengan membawa berkah, rahmat dan maghfirah.
Bulan yang paling mulia di sisi Allah.
Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama.
Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama.
Jam demi jamnya adalah jam-jam paling utama.
Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi
tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih,
tidurmu ibadah,
amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah.
Bermohonlah kepada Allah Rabb-mu
dengan niat yang tulus dan hati yang suci
agar Allah membimbingmu untuk
melakukan sawm dan membaca Kitab-Nya.
Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah
di bulan yang agung ini.

Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu,
kelaparan dan kehausan di hari kiamat.
Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin.
Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda,
sambungkanlah tali persaudaraanmu,
jaga lidahmu, tahan pandanganmu
dari apa yang tidak halal kamu memandangnya
dan pendengaranmu
dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya.

Kasihilah anak yatim,
nescaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu.
Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu.
Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa
pada waktu-waktu solatmu
kerana itulah saat-saat yang paling utama
ketika Allah 'Azza wa Jallaa memandang
hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih.
Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya,
menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya
dan mengabulkan mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia!
Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu
maka bebaskanlah dengan istighfar.
Punggung-punggungmu berat
kerana beban (dosa)mu
maka ringankanlah
dengan memperpanjang sujudmu.

Ketahuilah,
Allah Ta'ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya
bahwa Dia tidak akan mengazab
orang-orang yang solat dan sujud,
dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka
pada hari manusia berdiri di hadapan Rabb al 'alamin.

Wahai manusia!
Barangsiapa di antaramu memberi buka
kepada orang-orang mu`minin yang berpuasa di bulan ini
maka di sisi Allah nilainya sama dengan
membebaskan seorang budak
dan ia diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu.

(Sahabat-sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, tidaklah kami
semua mampu berbuat demikian").

Rasulullah meneruskan:
Jagalah dirimu dari api neraka
walaupun hanya dengan sebiji kurma.
Jagalah dirimu dari api neraka
walaupun hanya dengan seteguk air.

Wahai manusia,
Siapa yang membaguskan akhlaqnya di bulan ini
ia akan berhasil melewati sirat
pada hari ketika kaki-kaki tergelincir.
siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang
yang dimiliki tangan kanannya
(pegawai atau pembantu) di bulan ini,
Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat.

Barangsiapa menahan kejelekannya di bulan ini,
Allah akan menahan murka-Nya
pada hari ia berjumpa dengan- Nya.

Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini,
Allah akan memuliakannya
pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan
(silaturrahim) di bulan ini,
Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya
pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini,
Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka.

Barangsiapa melakukan solat fardlu
baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardhu
di bulan yang lain.

Barangsiapa memperbanyak selawat kepadaku di bulan ini,
Allah akan memberatkan timbangannya
pada hari ketika timbangan meringan.

Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Qur’an,
ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Qur’an
pada bulan- bulan yang lain.

Wahai manusia!
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu
maka mintalah kepada Tuhanmu
agar tidak pernah menutupkannya bagimu.
Pintu-pintu neraka tertutup
maka mohonlah kepada Rabbmu
untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu.
Syaitan-syaitan terbelenggu
maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu.

Amirul Mukminin karamallahu wajha berkata,
"Aku berdiri dan berkata, ya Rasulullah!
Apa amal yang paling utama di bulan ini ?"
Jawab Nabi, "Ya Abal Hasan!
Amal yang paling utama di bulan ini
adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah..

Alhamdulillaahi rabbal 3aalamiiin.
Related Posts with Thumbnails