Wednesday, October 14, 2009

APA YANG KITA TAKUT: MAYAT ATAU MATI??


Pengalaman sebenar seorang rakan memandikan jenazah...


Baru-baru ini surau kawasan saya ada menganjurkan kursus pengurusan jenazah untuk penduduk setempat. Saya turut mendaftar dengan niat untuk belajar dan mendapatkan ilmu. Selama ni, tengok orang2 tua je ambil kursus ni, tapi sedar tak sedar, kita pun dah tua... kenalah juga ambil tahu pasal FARDU KIFAYAH ni...

Ingatkan kursus tu dengar ceramah dan buat demo je... masa tu tak rasa apa2 pun... sebab yg kena bungkus tu pun kawan-kawan sendiri... Tapi bila dah tamat kursus tu, tak sangka pula Ustazah mempelawa sesiapa yg berminat untuk menguruskan jenazah sebenar (tanpa waris) di hospital tertentu.

Ramai yg tak sanggup... sbb kita sendiri tak tahu macam mana dan siapa yg akan kita uruskan... semuanya bagi komen negatif... Tengok kawan-kawan yg bagi nama.... Saya berada di persimpangan... nak ke?? Suara2 negatif terus kedengaran... ish, macam2 dia orang dok mengomel...

Sanggup ke?? Ish... seumur hidup saya tak pernah mengadap atau membantu kerja2 kematian. Kalau ada kematian ahli keluarga pun, saya tiba selepas semuanya selesai... maklumlah, kampung kita nun jauh di sana.... jadi macam mana ek... Nak bagi nama ke tak ni.. serba salah dibuatnya...

Akhirnya saya buat keputusan... ah, pedulilah orang nak cakap apa... ikut gerak hati lebih baik... bagi je lah nama... genap seminggu jiran saya terima call, peluang untuk menguruskan jenazah tanpa waris di sebuah hospital. Saya tak mahu fikir yg bukan2, jadi saya terus bagi jawapan YA....

“Ya Allah... kuatkanlah hatiku... aku ini sangat lemah... aku sangat takut...”, tak putus-putus doa ini saya mohon hanya kepada-Nya. Dalam masa yg sama, sempat juga saya minta tip dan pantang-larang dalam menguruskan jenazah dari kawan-kawan senior... alhamdulillah, ada juga kawan-kawan yg berpengalaman bagi sokongan.

Hari yg ditunggu akhirnya tiba. Sebelum keluar meninggalkan rumah, saya kerjakan solat hajat 2 rakaat, memohon semoga Allah berikan kekuatan dan ketenangan pada saya...

Tiba di lokasi, ada 3 orang dari jabatan agama sudah menanti. Pertama kali memasuki bilik persiapan jenazah, fikiran saya kosong... yg saya nampak hanyalah kain kapan yg sudah siap dipotong, surah yaasin, dan juga tempat pemandian jenazah yg masih kosong. Saya minta izin ke bilik air sebentar...

...dan apabila kembali ke tersebut, jenazah sudah pun berada di depan mata! Saya menggigil kerana itulah pertama kali melihat jenazah berbalut kain putih di hadapan mata dan mencium bau mayat buat pertama kalinya... apa lagi mayat yg entah berapa lama disimpan... maklumlah, tiada waris yg menuntut dan kita pun tidak diberitahu macam mana dia meninggal atau dijumpai...

Perasaan takut mula menerpa... serba salah dibuatnya... terfikir-fikir kenapalah saya berada di sini... suasana terasa amat asing... Sebelah kaki melangkah ke depan, sebelah lagi mahu lari jauh-jauh... tapi bila melihat semuanya memulakan tugas dengan senyuman, sedikit demi sedikit perasaan gementar hilang...

Tak dapat saya bayangkan bagaimana rupa jenazah itu apabila kain putih yg membalutinya dibuka nanti... tiada tempat lagi untuk saya melarikan pandangan... “Ya Allah, kuatkanlah hatiku sehingga selesai tugasan ini....”

Apabila kerja memandikan jenazah dimulakan, saya berdiri di belakang sedikit... dan mula melihat ke arah hujung kaki jenazah... dari situ saya mula mengumpul kekuatan untuk membantu... dan kuatkan hati untuk menatap wajah jenazah.... ALHAMDULILLAH, apabila saat mengiring dan membasuh muka jenazah, perasaan gementar saya sudah hilang... saya hanya berselawat dan berdoa semoga dosa-dosa si mati diampunkan... selesai dimandikan, jenazah diwudhu’kan, kemudian dikapankan sebaik mungkin... dan setelah itu selesailah tugas saya...

# PERINGATAN PENTING: SEPANJANG MEMANDIKAN JENAZAH, SELURUH BADANNYA DITUTUP DENGAN KAIN PUTIH (KAIN MANDI JENAZAH)... HANYA SEORANG SAHAJA YANG MENGURUSKAN TEMPAT2 SENSITIF... JADI JANGAN INGAT KITA BOLEH SESUKA HATI NAK TENGOK PRIVATE PARTS! INGAT... MENJAGA AURAT/ AIB SI MATI SAMALAH KETIKA MEREKA HIDUP DI ATAS DUNIA INI...

Sekembalinya saya ke rumah, segera saya menunaikan solat sunat tanda bersyukur kepada Allah kerana menguatkan hati sepanjang tugasan tadi. Namun ketika di malam harinya, perasaan takut menerpa lagi... takut diganggu mimpi atau bayangan yg bukan2... tapi syukur selepas beberapa hari, semuanya selamat.

Selepas peristiwa itu, persepsi saya terhadap kematian sudah berubah... saya mula berfikir, kenapa takut sangat dengan mayat?? Sebenarnya kita bukannya takut dengan mayat, tapi kita mula mengasingkan orang yg pernah kita sayangi, sanjungi dan hormati... apabila kematian menjemput! Kita anggap orang yg mati akan bertukar menjadi hantu yg akan menganggu hidup kita, lalu wajah si mati pun kita tak sanggup tengok. Pada kita, wajah orang mati menakutkan dan mengerikan.

Kasihanlah pada orang yg mati tu... hormatilah jenazahnya sebagaimana kita menghormatinya ketika hidupnya. Orang yg mati tidak memberi mudharat kepada kita yg masih hidup. Yg banyak terjadi ialah gangguan syaitan, lebih2 ketika saat kematian dan selepasnya. Bacalah ayat kursi sebagai pendinding dari gangguan syaitan ini.

Janganlah kita menghina cacat cela atau bau yg kurang enak pada si mati. Kita sendiri pun tak pasti bagaimana keadaan kita apabila mati nanti... mati sakit ke?? Mati tua ke?? Mati kemalangan ke?? Mati lemas ke?? WALLAHU A3LAM. Yg pasti, walau bagaimana cara pun kita dimatikan, hanya amalan yg menjadi bekalan... bukan paras rupa dan harta benda yg dibawa... tetapi hanyalah kain putih yg membaluti tubuh ...

Orang yg mati pun punya maruah dan aurat untuk dijaga. Jangan sekali-kali membuka aurat si mati jika tidak diperlukan, apa lagi bercerita tentang cacat cela semasa hidup atau matinya... Sebaliknya sementara masih hidup, hiasilah wajah kita dengan wudhu’ yg sempurna sepanjang masa, basahilah lidah kita dengan zikirullah... ikhlaskan hati ketika membuat perkara2 yg baik... Rajin-rajinlah menunaikan solat malam untuk menerangi alam kubur nanti... Saya berpesan untuk diri saya sendiri dan kawan-kawan yg disayangi..

Yg pasti... APA YANG SEBENARNYA KITA TAKUTKAN IALAH KEMATIAN, DAN BUKANLAH MAYAT! Sebabnya, apabila kita mati nanti, kita pun akan jadi mayat... kita pun perlukan orang yg masih hidup untuk menguruskan kita hingga ke tanah perkuburan... Apa perasaan kita kalau tak ada orang yg mahu uruskan jenazah ahli keluarga kita, kononnya takut terkena badi mayat, atau tak tahu langsung cara-cara menguruskan jenazah?? Fikir-fikirkanlah...



Semoga kisah yg dikongsikan ini dapat memberi keinsafan dan kesedaran buat kita yg masih hidup. Syukur kepada Allah kerana masih memanjangkan umur kita hingga ke hari ini... bertaubatlah... beramallah sebanyak dan sebaik mungkin, untuk bekalan di hari yg tiada lagi jual beli dan tebusan, hari yg merupakan satu kepastian buat semua...

Saturday, October 10, 2009

CINTAKU MILIKMU...



Tengok pada tajuk entri kali ni, jangan pula terus berfikir yang bukan2. Mungkin kita pernah menerima lafaz begini daripada seseorang, tapi apa yang ingin ditekankan di sini ialah tentang cinta haqiqi, iaitu cinta yang sebenar-benarnya.

Dalam entri terdahulu, ada saya tulis berkaitan pandangan Islam terhadap cinta. Sepertimana yang telah dijelaskan, cinta itu ada peringkatnya, dimana cinta yang paling tinggi dan teragung ialah cinta yang menjadi hak Allah SWT semata-mata. Jadi di sini saya kupas pula tentang cinta kepada Allah, beserta cara-cara yang mudah2an dapat membantu kita menggapai cinta tersebut...





# Cinta kepada Allah, itulah Cinta yang Haqiqi

Cinta bagaikan lautan, sungguh luas dan indah. Tersentuh sedikit sahaja airnya yang sejuk, sudah bisa menimbulkan keinginan untuk melangkah lebih jauh ke tengah, sedangkan kawasan tengah lautan itu sudah sedia maklum, penuh dengan rintangan, hempasan dan gelombang bagi sesiapa sahaja yang ingin mengharunginya.

Mungkin ada yang mengatakan, tidak salah untuk mencuba nasib ke ruang tengah lautan tersebut. Namun demikian, biarlah tujuan kita tepat dan diberkati. Carilah cinta yang sejati di lautan cinta berbiduk 'taqwa' berlayarkan 'iman' yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu, inshaAllah kita akan sampai kepada tujuannya yang sebenar, iaitu cinta kepada Allah...

Ya, cinta kepada Allah! Itulah cinta yang haqiqi, yang kekal abadi selamanya. Adapun cinta kepada sesama makhluk-Nya, maka pilihlah cinta yang berlandaskan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Bukan cinta yang disebabkan pujuk rayu syaitan, dan bukan pula kerana desakan nafsu yang menggoda serta melemahkan iman.



# Bagaimana nak Wujudkan Rasa Cinta kepada Allah?


Menurut Ibnu Qayyim, ada 10 perkara yang menyebabkan seseorang itu bisa menggapai cinta kepada Allah SWT:


1) Membaca (qiraat) Al-Qur’an.

Membaca di sini bukanlah bermaksud sekadar membaca dan melafazkan huruf demi hurufnya, tetapi juga dengan merenungi (tadabbur) dan memahami (tafahhum) kandungan makna ayat-ayat Al-Qur’an serta apa yang dikehendakinya, agar lafaz-lafaz yang keluar dari mulut kita adalah lafaz-lafaz yang kita fahami... yang menjadi penyuluh dalam kegelapan, pembebas dari kejahilan.

2) Mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT.

Tujuan utama kita diciptakan adalah untuk menyembah Allah SWT, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku” (Adz-Dzaariyaat, 51:56)

Menyembah kepada Allah bermaksud mentaati segala perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Sedang mentaati segala perintah-Nya itu pula, bukanlah bermaksud hanya dengan melaksanakan segala apa yang diwajibkan ke atas kita. Kita juga dituntut untuk mengerjakan hal-hal yang sunnah (an-nawaafil) setelah mengerjakan hal-hal yang fardhu/ wajib.

Bukhari meriwayatkan sebuah hadits qudsi, Allah berfirman (maksudnya): “Tidaklah hamba-Ku bertaqarrub kepada-Ku yang semisal (nilainya) dengan menjalankan hal-hal yang Aku fardhukan baginya. Dan hamba-Ku sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan (mengerjakan) an-nawaafil sehingga Aku mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya, maka Aku akan menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar. Menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat. Menjadi tangannya yang dia gunakan untuk memegang. Dan menjadi kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia memohon kepada-Ku, Aku pasti akan memberinya. Dan jika dia memohon perlindungan kepada-Ku, Aku pasti akan melindunginya…”

3) Selalu ingat (dzikir) kepada Allah.

Hal ini harus kita lakukan di setiap kesempatan, baik dengan hati, lisan, mahupun perbuatan kita. Dalam erti kata lain, mencintai Allah haruslah sesuai dengan kadar dzikir kita kepada-Nya. Kerap berdzikir kepada Allah akan membuat kita terjaga dan sedar akan setiap tindakan yang kita ambil, lalu membantu fikiran kita untuk fokus hanya kepada-Nya, dan tidak bercabang-cabang.

4) Mendahulukan (itsar) hal-hal yang dicintai Allah.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, hal-hal yang dicintai Allah harus kita dahulukan daripada hal-hal yang kita cintai meskipun ia agak sukar untuk kita lakukan, terutamanya saat kita dikuasai hawa nafsu. Ini adalah kerana, kecintaan yang bersih kepada Allah, akan membuahkan kecintaan kepada hal-hal yang dicintai-Nya.

5) Hati menelaah nama-nama (asma’) dan sifat-sifat Allah.

Menanamkan dalam hati nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya, memahami maknanya serta mempersaksikan dan mengenal-Nya.

Ibn Al-Qayyim berkata (maksudnya), “Barangsiapa mengetahui asma’, sifat dan af3aal Allah, nescaya mencintai Allah adalah sebuah kenescayaan baginya”.

Pepatah mengatakan, “tidak kenal, maka tidak sayang”. Oleh itu, jika seseorang hamba itu benar-benar mengenal Allah, pastilah dia akan mencintai-Nya.

6) Mempersaksikan kebaikan dan ni3mat kurniaan Allah kepada kita.

Jika kita perhatikan alam semesta serta segala isi perutnya, pastinya akan kita temukan bahawa ni3mat dan kurniaan Allah, baik yang zahir mahupun yang batin, tidak terbatas banyaknya. Begitu banyak sekali sehingga tidak mampu untuk kita menghitungnya. Sedang memperhatikan ni3mat-ni3mat Allah ini, akan membimbing kita sebagai seorang hamba untuk mencintai-Nya, Sang Pencipta.

7) Menundukkan hati dan diri secara menyeluruh di hadapan Allah.

Ini adalah hal yang paling menakjubkan jika dibandingkan dengan kaedah-kaedah yang lainnya dalam meraih cinta Allah. Bahkan menurut beliau, tidak ada ungkapan yang dapat mewakilinya. Tidak kata-kata, tidak juga berbentuk ibarat. Sebabnya, cinta yang sebenar akan menghubungkan pecintanya kepada tauhid, iaitu pengESAan kekasih, yang kemudiannya memberikan hartanya yang paling bernilai, iaitu hati!

8) Menyendiri (berkhalwat) dengan Allah.

Saat yang paling sesuai untuk kita menyendiri dengan Allah adalah ketika qiyamullail. Di saat orang lain sedang tidur lena, kita bangun untuk menyendiri bermunajat kepada-Nya, membaca Al-Qur’an yang merupakan kalam-Nya, menghadap kepada-Nya dengan segenap hati, memperhatikan adab-adab beribadah di hadapan-Nya, lalu menutupnya dengan memperbanyakkan istighfar dan taubat.

9) Bergaul dan berkumpul bersama hamba-hamba Allah yang mencintai-Nya dengan tulus.

Dengan mendekatkan diri kita bersama orang-orang yang soleh, sedikit sebanyak kita dapat mengambil hikmah dan ilmu dari mereka. Kita akan dapat memetik sebaik-baik buah pembicaraan, sebab mereka ini tidak akan berbicara kecuali hal-hal yang memberi kebaikan dunia dan akhirat.

10) Menjauhi semua hal yang menghalangi hati dari mendekati Allah.

Perkara-perkara yang menjauhkan kita daripada Allah adalah berupa kesyirikan yang menghalangi tauhid, bid3ah yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW, pelbagai syahwat yang menolak perintah Allah, ghaflah yang melalaikan dzikir kepada-Nya, serta riya’ yang mengotori keikhlasan hati. Oleh itu, kita haruslah berusaha menyelamatkan hati dari semua penghalang ini, agar mendapat hati yang bersih (qalbun salim).


Demikianlah antara cara yang boleh kita lakukan dan usahakan untuk mendapatkan cinta kepada Allah, cinta yang haqiqi. Akhirul qalam, bertanyalah kepada diri kita sendiri:

>> Sudahkah diri ini menemukan cinta haqiqi, cinta yang sejati dalam hidup ini?

>> Sejauh mana diri ini mengenal Allah (nama2-Nya, sifat2-Nya, kehendak2-Nya, dan larangan2-Nya)?

>> Seringkah diri ini mengingatiNya, menyebut namaNya melalui dzikir2 yang panjang?

>> Seringkah diri ini mendekatkan diri kepada-Nya dengan melakukan solat serta ibadah-ibadah lainnya?

>> Seringkah diri ini merintih, mengadu dan mengharap kepada-Nya melalui untaian doa yang keluar dari lubuk hati?

>> Adakah diri ini mengikuti segala kehendak-Nya dan menjauhi larangan2-Nya?


CinTaiLaH ALLAH SWT...
BeRuSaHaLaH uNtuK mEngGapAi ciNTa-Nya...



"Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Cinta terhadap-Mu
dan Cinta kepada mereka yang mencintai-Mu,
dan apa sahaja yang mendekatkan kami kepada Cinta-Mu,
dan jadikanlah Cinta-Mu itu lebih berharga bagi kami
berbanding air yang sejuk bagi orang yang dahaga."


Aamiiin...


Friday, October 9, 2009

ADAKAH ISLAM MEMBENARKAN UMATNYA UNTUK BERCINTA?



# Pandangan Islam terhadap Cinta

Cinta, menurut pandangan Islam, merupakan satu perasaan yang suci. Islam adalah agama fitrah, sedang cinta itu sendiri pula adalah fitrah manusiawi. Allah SWT yang menciptakan manusia, maka Dia jugalah yang mewujudkan perasaan cinta di hati manusia. Islam tidak pula melarang seseorang untuk dicintai dan mencintai, bahkan Rasulullah SAW menganjurkan agar cinta tersebut diutarakan.


"Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu bahawa dia mencintainya."
(HR Abu Daud dan At-Tirmidzi)


Pandangan yang mengatakan bercinta ditegah sama sekali dalam Islam adalah tidak tepat. Hakikatnya, muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai, bahkan dianjurkan agar mendapat keutamaan-keutamaannya. Islam sama sekali tidak membelenggu cinta, kerana itu Islam menyediakan saluran terbaik untuk itu, tidak lain tidak bukan, melalui ikatan pernikahan, yang mana sepasang manusia lelaki dan perempuan diberikan kebebasan untuk bercinta.




Ayat di atas merupakan jaminan bahawa cinta dan kasih sayang akan Allah tumbuhkan dalam hati pasangan yang bersatu kerana Allah (setelah menikah). Janji Allah adalah jelas dan pasti, jadi tidak perlulah diberikan alasan untuk jatuh cinta dahulu barulah berani menikah, atau bercouple dahulu baru menikah, sehingga yang menyatukan pasangan ini adalah si syaitan durjana (na3udzubillaahi min dzaalik). Di sini jelas bahawa Islam membenarkan cinta, tetapi haruslah mengikut batasan yang ditetapkan, supaya nanti tidak timbul fenomena kerosakan pergaulan dalam masyarakat.


# Enam Peringkat Cinta

Cinta itu amatlah luas. Satu perasaan yang boleh diberikan kepada sesiapa/ apa-apa sahaja. Justeru itu, Islam memberikan garis panduan mengenai peringkat-peringkat cinta, kepada siapa/ apa cinta harus didahulukan dan diutamakan, dan kepada siapa/ apa pula cinta itu harus diakhirkan. Tidak wajarlah bagi kita untuk menyetarakan kesemuanya.


"(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)." (Al-Baqarah: 165)


Menurut Syaikh Ibn Al-Qayyim, seorang ulama di abad ke-7, ada enam peringkat cinta (maratibul-mahabah), iaitu:


1) Peringkat 1 (paling tinggi/ agung): tatayyum, yang merupakan hak Allah semata-mata.


"Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam." (Al-An'am: 162)

"…Sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…" (Al-Baqarah: 165)


Jadi, ungkapan-ungkapan seperti "Dikaulah yang sentiasa bertakhta di hatiku, bersemi di dalam qalbuku", "Ku sebut namamu di setiap degup jantungku", "Cintaku hanya untukmu," dan sebagainya seharusnya ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. Ini adalah kerana Dia lah yang memberikan kita segala nikmat serta kebaikan sejak kita dilahirkan, bahkan sejak dari dalam rahim ibu lagi.

Jangan pula dilakukan sesama manusia! Baru sahaja diberi sekelumit cinta dan kenikmatan dari buah hati, terus hanyut lalu membuat keputusan menyerahkan jiwa raga kepadanya, sedangkan itu merupakan hak Allah! Lupa kepada Pemberi Nikmat…


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir."
(Al-Baqarah: 164)


2) Peringkat ke-2: 'isyk, yang hanya merupakan hak Rasulullah SAW. Cinta terhadap Rasulullah SAW bermaksud cinta yang melahirkan rasa hormat, patuh, ingin selalu membelanya, ingin mengikutinya, mencontohinya, dan sebagainya, namun bukanlah untuk menghambakan diri kepadanya.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihimu serta mengampunkan dosamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Aali Imran: 31)


3) Peringkat ke-3: syauq, iaitu cinta antara mukmin dengan mukmin yang lainnya. Ini termasuklah cinta yang wujud antara hubungan suami isteri dan juga hubungan ibubapa dan anak, yang mana ianya akan membuahkan rasa mawaddah wa rahmah.

4) Peringkat ke-4: shababah, iaitu cinta sesama muslim yang melahirkan ukhuwah Islamiah. Cinta yang membuatkan kita ingin selalu mendampingi sahabat seagama kita demi memartabatkan lagi agama Islam melalui perkongsian ilmu serta dakwah.

5) Peringkat ke-5: 'ithf (simpati), yang ditujukan kepada sesama manusia secara keseluruhannya, baik sesama Muslim mahupun dengan yang bukan Muslim. Rasa simpati ini melahirkan kecenderungan untuk menyelamatkan manusia, berdakwah, dan sebagainya.

6) Peringkat ke-6 adalah cinta yang paling rendah dan sederhana, iaitu cinta/ keinginan kepada selain dari manusia (cinta kepada harta benda umpamanya). Namun demikian, keinginan ini sebatas intifa' (pendayagunaan/pemanfaatan).


# Hubungan Cinta dan Keimanan

Dalam Islam, cinta dan keimanan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Cinta yang berlandaskan iman akan membawa seseorang itu kepada kemuliaan; sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan iman akan menjatuhkan seseorang itu ke jurang kehinaan.

Cinta dan keimanan laksana sepasang sayap burung. Imam Hasan Al-Banna mengatakan bahawa "dengan dua sayap inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan." Bagaimana tidak, jikalau iman tanpa cinta akan pincang, dan cinta tanpa iman akan jatuh ke jurang kehinaan. Iman tidak akan terasa lazat tanpa cinta dan begitulah juga sebaliknya cinta pun tidak lazat tanpa iman.


"Barangsiapa ingin memperoleh kelazatan iman, hendaklah dia mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT." (HR Imam Ahmad, dari Abu Hurairah)

Menyingkap kembali kisah para sahabat, tidak hairanlah apabila kita mengetahui 'Uqbah bin Al Harits telah bercerai dengan isteri yang sangat dicintainya Ummu Yahya, atas persetujuan Rasulullah SAW hanya kerana pengakuan seorang wanita tua bahawa dia telah menyusukan pasangan suami isteri itu di saat mereka masih bayi (Allah mengharamkan pernikahan saudara sesusuan).

Demikian pula kecintaan Abdullah bin Abu Bakar kepada isterinya, yang terkenal kecantikannya, keluhuran budinya dan keagungan akhlaknya. Ketika mengamati bahawa kecintaannya anaknya itu telah melalaikan Abdullah dalam berjihad di jalan Allah, Abu Bakar memerintahkannya untuk menceraikan isterinya, lalu Abdullah memandang perintah tersebut dengan kacamata iman, sehingga dia rela menceraikan belahan jiwanya itu demi mempererat kembali cintanya kepada Allah SWT.


Subhanallah, pasangan-pasangan tersebut telah bersatu kerana Allah, saling mencintai kerana Allah, bahkan telah bercinta kerana Allah, namun mereka juga rela berpisah kerana Allah! Bagi mereka, cinta kepada Allah adalah segala-galanya dan harus diutamakan.

Lalu bagaimana pula halnya dengan pasangan yang terlanjur jatuh cinta dan bercouple sedangkan mereka ini belum bernikah? Bagi mereka ini, hanya ada dua jalan penyelesaian: (i) bersegeralah bernikah, ataupun (ii) berpisah kerana Allah, nescaya akan terasa lazat dan manisnya iman. Dan janganlah mencintai 'si dia' lebih daripada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.



Dari Anas RA, Nabi SAW bersabda (maksudnya): "Ada tiga perkara dimana orang yang memilikinya akan merasakan manisnya iman, iaitu mencintai Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya kalau dilempar ke dalam api." (HR Bukhari dan Muslim)





Kesimpulannya di sini, Islam tidak melarang umatnya untuk saling mencintai serta berkasih sayang sesama manusia, namun ianya haruslah berpandukan Shariah dengan mematuhi batasan serta mengikut saluran yang betul. Dan untuk bercinta, Islam mengajar kita supaya melalui peringkat cinta yang sebenarnya dengan sentiasa mengutamakan cinta kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua beroleh nikmat cinta yang sebenar dari-Nya... Aamiiin..

Monday, October 5, 2009

KAWAN YANG BAIK



Bukan senang nak cari kawan yang baik...
Bukan senang juga nak jadi seorang kawan yang baik…

Kawan yang baik tak pernah mengumpat di belakang kawan baiknya.
Kawan yang baik tak pernah cemburu dgn kejayaan kawan baiknya.
Sebaliknya kawan yang baik lah yang paling banyak membantu
kawan baiknya untuk mencapai kejayaan.

Kawan yang baik tak pernah mempengaruhi kawan baiknya
untuk membuat perkara yang buruk dan sia-sia.
Kawan yang baik adalah orang yang selalu
menasihati kawan baiknya untuk berbuat kebaikan.

Kawan yang baik adalah orang pertama yang akan dicari
bila tiba masa sedih atau gembira.
Kawan yang baik menjadi tempat kita meluahkan perasaan
yang tak dapat diluahkan kepada kawan biasa.

Kawan yang baik tak pernah memaksa kawan baiknya
untuk sentiasa berada di sisinya.
Kawan yang baik tak pernah melarang kawan baiknya
untuk berkawan dengan kawan yang baik.

Kawan yang baik tak pernah cemburu jika kawan baiknya
mempunyai ramai kawan baik,
kerana kawan yang baik tahu
apa yang paling baik untuk kawan baiknya.

Kawan yang baik akan sentiasa mendoakan kesejahteraan
dan kebahagiaan kawan baiknya di dunia dan di akhirat.
Di dalam doanya,
kita adalah kawan yang baik kepada kawan baik kita.

Kita adalah kawan yang baik jika kita
faham bahawa kawan baik kita bukanlah seorang yang sempurna.
Kita adalah kawan yang baik jika kita
menjadi kawan yang baik kepada kawan baik kita.

Kita bukanlah kawan yang baik jika kita
tidak menghargai kawan baik kita,
kerana kawan yang baik
akan sentiasa menghargai kawan baiknya.

Kita bukanlah kawan yang baik jika kita
tidak memberitahu perkara yang baik kepada kawan baik kita,
kerana kawan yang baik akan selalu
menyampaikan perkara yang baik kepada kawan baiknya.

Dan ingatlah…
kalau kita nak dapat kawan baik yang baik,
kita mestilah terlebih dahulu menjadi seorang kawan yang baik
kepada kawan baik kita...



…sEMoGa kiTa mEnJaDi sEOraNg kAwaN yAnG bAiK…

BEAUTY OF MATH



1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876
12345 x 8 + 5 = 98765
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432
123456789 x 8 + 9 = 987654321


1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111
123456 x 9 + 7 = 1111111
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 +10= 1111111111



9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654 x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888


Brilliant, isn't it?

And look at this symmetry:



1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321
111111111 x 111111111 = 12345678987654321


Now, take a look at this...

101%From a strictly mathematical viewpoint:

What Equals 100%?

What does it mean to give MORE than 100%?

Ever wonder about those people who say they are giving more than 100%?

We have all been in situations where someone wants you to

GIVE OVER 100%.

How about ACHIEVING 101%?

What equals 100% in life?


Here's a little mathematical formula that might help answer these questions:


If:

A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Is represented as:

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26.



Therefore:


H-A-R-D-W-O-R- K

8+1+18+4+23+15+18+11 = 98%


And:

K-N-O-W-L-E-D-G-E

11+14+15+23+12+5+4+7+5 = 96%


But:

A-T-T-I-T-U-D-E

1+20+20+9+20+21+4+5 = 100%



THEN, look how far the love of God will take you:


L-O-V-E-O-F-G-O-D

12+15+22+5+15+6+7+15+4 = 101%


Therefore, one can conclude with mathematical certainty that:


While Hard Work and Knowledge will get you close,
and Attitude will get you there,
It's the Love of God that will put you over the top!

Saturday, September 26, 2009

PUASA QADHA’ RAMADHAN ATAU PUASA SUNAT ENAM SYAWAL?? (2)



~ ...sambungan dari entri yang sebelumnya ~


Sepertimana yang dinyatakan dalam bahagian pertama tajuk ini, terdapat dua persoalan berkaitan puasa qadha’ Ramadhan dan juga puasa sunat enam Syawal. Persoalan yang pertama sudahpun dibincangkan dengan panjang lebar dalam bahagian pertama. Maka sekarang fokusnya adalah pada persoalan yang kedua, iaitu isu berkaitan penggabungan kedua-dua puasa ini.


(B) FORMULA DUA DALAM SATU??

Di Malaysia, terdapat pandangan yang amat masyhur yang membolehkan ibadah puasa dilakukan dua dalam satu, iaitu berpuasa qadha’ Ramadhan dan berpuasa sunat enam Syawal dalam satu hari. Mereka ini yang terdiri daripada kalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat, ganjaran puasa sunat enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang itu berpuasa qadha’, sekalipun tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.

Menurut mereka, memadai dengan niat hanya untuk berpuasa qadha’, tetap juga akan beroleh pahala puasa sunat enam Syawal, namun pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding pahala bagi orang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Mereka mengatakan amalan ini mendapat juga pahala puasa sunat oleh kerana kebetulan puasa qadha’ tersebut dilakukan dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid yang juga diberikan kepada orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid. Wallahu a3lam.

Namun apa pun jua, mereka yang membenarkan amalan begini tidak pula mengemukakan sebarang dalil dari Al-Qur’an mahupun Hadith yang sahih yang membolehkannya. Apabila Nabi, para sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya, maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha’ atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatkannya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadith yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadith tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]


>> HUJJAH – HUJJAH PENOLAKAN FORMULA 2 DALAM 1

(1) Jika seseorang mengatakan boleh menggabungkan puasa qadha’ (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat), maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat fardhu Isyak dengan solat sunat Tarawih. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti mencampurkan solat fardhu Subuh dengan solat sunat Istikharah dan lain-lain.

(2) Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan), amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat yang lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba tersebut dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a3lam.

(3) Tindakan A'isyah R.A. yang melewatkan puasa qadha’ juga boleh dijadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan puasa qadha’ dengan puasa sunat Syawal. Maka inilah yang sepatutnya dijadikan ikutan, iaitu dengan tidak menggabungkan kedua puasa ini.


Aisyah menyebut (maksudnya): "Kewajiban ke atasku untuk puasa (qadha’) dari puasa Ramadhan, maka tidaklah aku menggantikannya sehingga datang Sya3ban" (Hadith Riwayat Muslim, no: 101)


(4) Amalan wajib (qadha’) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan menggabungkannya dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkan kepastiannya. Kerana itulah ulama’ yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha’ sahaja, adapun Syawal itu dipendamkan sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun, ulama’ yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya akan mengurangkan pahala sunat Syawal kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

(5) Menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga disebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat, amalan sunat tidak boleh dilaksanakan sebelum amalan fardhu. Ini adalah merujuk kepada hadith Nabi SAW yang menyebut bahawa puasa sunat Syawal itu dilakukan setelah puasa Ramadhan.


Nabi SAW bersabda (maksudnya): "Barangsiapa telah berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari dari Syawal maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Hadith Riwayat Al-Bukhari, no: 6502)


(6) Kita dapat melihat penggunaan ‘fe3il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadhan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadhannya, maka perlulah melengkapkannya terlebih dahulu, kemudian barulah dibolehkan bagi mereka untuk mendapatkan peruntukan pahala sunat Syawal.


:: KESIMPULANNYA ::

Daripada perbincangan yang terbatas ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa sebaiknya kedua-dua puasa ini hendaklah dilakukan secara berasingan dengan mendahulukan yang wajib (qadha’) daripada yang sunat (Syawal). Menyempurnakan puasa bulan Ramadhan terlebih dahulu dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian barulah dikerjakan puasa sunat Syawal adalah lebih bertepatan dengan maksud hadith saranan berpuasa sunat di bulan Syawal itu sendiri demi mendapatkan keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa sepanjang masa (setahun).

Tidak dinafikan, puasa sunat mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Namun, sebagaimana yang diketahui umum, amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Justeru itu, sempurnakanlah dahulu qadha’ beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah SWT akan tetap memberikan ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.
Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW (maksudnya): “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Akhir kalam, semoga kita semua diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna, dan seterusnya dimasukkan ke dalam golongan mereka yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamiiin...

PUASA QADHA’ RAMADHAN ATAU PUASA SUNAT ENAM SYAWAL?? (1)


Selain daripada persoalan mengenai pelaksanaan puasa sunat enam Syawal (samada dilakukan berturut-turut ataupun rambang), satu lagi isu yang sering menjadi pertanyaan di kalangan masyarakat dalam hal ini ialah berkaitan kedudukan puasa qadha’ (Ramadhan). Terdapat dua persoalan yang harus dibincangkan di sini:

>> Melaksanakan puasa sunat enam Syawal sebelum mengqadha’ puasa Ramadhan.
>> Menggabungkan puasa qadha’ Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal.


Apa yang menjadi persoalan; bolehkah kedua perkara di atas ini dilakukan? Adakah kedua-duanya dibenarkan?

Sebelum diteruskan perbincangan panjang lebar ini, terlebih dahulu saya akui, saya bukanlah seorang yang arif dan bijak dalam soal agama. Masih banyak ilmu agama yang perlu saya pelajari. Namun demikian, berdasarkan pembacaan dan rujukan kepada mereka yang lebih arif, diharapkan perkongsian mengenai dua isu ini dapat membantu mereka yang masih kurang faham, untuk mendapatkan jawapan.

Hasil pembacaan saya dari sumber yang pelbagai, ternyata para ulama’ juga mempunyai pendapat yang berbeza dalam merungkai isu berkaitan dua puasa ini (qadha’ Ramadhan dan juga sunat enam Syawal).


(A) MANA YANG HARUS DIUTAMAKAN?

Di sini wujudnya perbincangan di kalangan para ulama’; apakah dibolehkan bagi seseorang itu untuk berpuasa sunat enam Syawal seandainya dirinya memiliki hutang puasa Ramadhan yang masih belum diqadha’nya? Terdapat dua pendapat ulama’ dalam hal ini:


# Pendapat Pertama: Boleh melakukannya.

Hujah-hujah yang diberikan:

(i) Aisyah R.A. pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadha’nya hingga ke bulan Sya3ban yang akan datang.

Aisyah R.A. berkata (maksudnya): “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadha’nya kecuali pada bulan Sya3ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah SAW" ialah penjelasan salah seorang perawi hadith yang bernama Yahya bin Sa‘id.]


Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama ini berhujah, sebagai isteri Rasulullah SAW, sudah tentu tidak mungkin Aisyah R.A. tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Mereka ini berkeyakinan, sudah pasti Aisyah R.A. melaksanakannya dan tindakannya yang mengqadha’ puasa Ramadhan pada bulan Sya3ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekalipun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

(ii) Kewajipan mengqadha’ puasa Ramadhan tidak dibatasi oleh waktu-waktu tertentu.


Menurut Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim: Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha’ puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadha’nya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha’ terus apabila boleh melakukannya”.
[Syarah Sahih Muslim 8/22]


Ini adalah berdasarkan firman Allah yang memberi keumuman bagi mengqadha’kan puasa Ramadhan.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berpuasalah pada hari-hari yang lain, Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusasah bagi kamu”. (Al-Baqarah 2: 185)

Menurut Imam Qurtubi rahimahullah: “Ayat ini menunjukkan wajibnya mengqadha’ puasa tanpa ditentukan harinya, kerana lafaz ayat tersebut berlaku sepanjang masa tanpa ditentukan pada masa-masa tertentu”. (Lihat: Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran 2/282. Al-Qurtubi)


# Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya.

Hujah-hujah yang diberikan:

(i) Terdapatnya lafaz “thumma” (kemudian) dalam hadith yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal.


Maksudnya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan (berpuasa) enam hari dari bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa” - [Hadith riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164]


Berdasarkan hadith ini, Rasulullah SAW mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Tidak ada puasa enam di bulan Syawal, melainkan setelah sempurna puasa Ramadhannya. Dalam erti kata lain, jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, maka ia perlu diqadha’ terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

(ii) Menepati ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang masa.

Hadith yang menganjurkan amalan puasa sunat enam Syawal ini menekankan tentang ganjaran yang diperoleh, iaitu seakan-akan berpuasa sepanjang masa (setahun). Mengikut perhitungan, ianya dikira sebagai 300+60 = 360, maka terlebih dahulu hendaklah dipastikan cukup harinya untuk 300 pahala kebaikan itu, kemudian barulah ditambah dengan 60 lagi pahala kebaikan, barulah boleh mendapatkan ganjaran puasa setahun.

(iii) Membayar hutang (wajib) hendaklah didahulukan sebelum memberi sedeqah (sunat).

Merujuk kepada firman Allah dalam ayat 133 surah Aali Imran seperti yang dikemukakan sebelum ini, Allah SWT menganjurkan kita supaya bersegera dalam melakukan amal kebajikan. Dalam hal ini, sudah tentulah amal yang wajib itu lebih perlu untuk disegerakan berbanding amal yang sunat. Penekanan mengutamakan yang wajib ini juga ada disebut dalam satu hadith Qudsi yang sahih (maksudnya):


"..dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/ wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya...”
(Riwayat Al-Bukhari, no 6021)


Hadis di atas adalah sebagai asas keutamaan. Namun demikian, dari sudut praktikal, jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya, jika seseorang itu perlu qadha’ puasanya selama penuh 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadhan sebagai contoh), dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat, maka eloklah dia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu ketika itu, kerana tempoh puasa sunat Syawal adalah singkat berbanding tempoh qadha’ puasa (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus diingat, walaupun tempoh bagi puasa qadha’ adalah panjang, namun kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu, atau barangkali ajal yang datang menjemput kita terlebih dahulu.

Dalam hal ini, seseorang yang mati sebelum sempat menggantikan puasa Ramadhannya, tetapi sudah berpuasa sunat Syawal, pasti akan bermasalah kerana dia dikira masih berhutang dengan Allah SWT. Sementara itu, bagi seseorang yang mati setelah menyelesaikan puasa qadha’nya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin juga diberikan pahala sunat Syawal itu sekali. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW (maksudnya):


" ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah dituliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, maka telah dituliskan oleh Allah di sisinya 10 pahala sehingga 700 kali ganda…" (Riwayat Al-Bukhari, no: 6010)



:: KESIMPULANNYA ::

Di sini kita harus memahami bahawa darjat puasa qadha’ adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar berbanding sunat Syawal kerana puasa qadha’ adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa Syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala (perkara sunat).

Justeru itu, hendaklah kita mengutamakan qadha’ puasa Ramadhan terlebih dahulu sebelum kita melakukan puasa sunat enam Syawal kerana sesungguhnya kita tidak tahu bilakah Izrail akan datang mencabut nyawa kita…




…bersambung…
Related Posts with Thumbnails