Wednesday, November 25, 2009

FADHILAT MELAKSANAKAN IBADAH QURBAN


Tidak dapat dinafikan lagi, ibadah qurban atau penyembelihan haiwan qurban merupakan satu ibadah yang cukup mulia. Ibadah ini yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, jika dilaksanakan, inshaAllah akan beroleh banyak fadhilatnya. Sesungguhnya fadhilat serta kelebihan ibadah qurban ini, amatlah besar buat mereka yang melaksanakan perintah Allah ini. Antara fadhilatnya yang dapat saya kongsikan bersama di sini termasuklah:


1. Menambah amal kebajikan.

Zaid bin Arqam R.A. meriwayatkan (maksudnya): "Para sahabat Rasulullah bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada qurban itu?’ Rasulullah menjawab: ‘Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim’. Mereka berkata: ‘Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Bagi setiap helai rambut satu kebajikan’. Mereka berkata: ‘Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.’" (Hadith riwayat Ibnu Majah)

* Pengertian kebajikan (hasanah) mempunyai maksud yang berbeza-beza di kalangan para ulama’ ahli tafsir. Hasanah adalah satu perkataan yang mempunyai maksud yang subjektif. Terdapat banyak penjelasan daripada mereka tentang tafsiran kalimah ‘hasanah’, antaranya:

# Ibnu Kathir: Kebajikan atau kebaikan (hasanah) di dunia itu meliputi semua yang bersifat keduniaan seperti sihat, selamat, tempat tinggal yang luas, isteri yang baik, rezeki yang banyak dan sebagainya. Manakala hasanah di akhirat pula, yang paling tinggi ialah masuk syurga dan selanjutnya semua kebahagiaan yang menjadi pelengkap kehidupan dalam syurga itu.

# Al-Qadhi al-‘Iyadh: Hasanah itu ialah ni3mat iaitu sama ada ni3mat dari segi limpahan kurnia di dunia atau limpahan kurnia di akhirat atau ni3mat terpelihara dari siksaan.

# Imam Al-Qurthubi: Hasanah membawa maksud iman. Sebagai contoh, barangsiapa yang mengucapkan syahadah, maka baginya setiap amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia ini akan digandakan dengan sepuluh ganda dari segi pahalanya. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah berfirman: Sesiapa yang datang (melakukan) satu kebajikan, maka baginya sepuluh ganda pahala sepertinya dan Aku (Allah) akan menambahnya lagi.” (Hadith riwayat Muslim)


2. Mendapatkan keampunan bagi menebus dosa yang lalu.

Sabda Rasullah SAW kepada Sayyidatina Fatimah (maksudnya): "Hai Fatimah,berdirilah di sisi qurban mu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadith riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)


3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasullah SAW (maksudnya): "Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadith riwayat Thabrani)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda (maksudnya): "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih haiwan qurban). Sesungguhnya haiwan qurban itu akan datang pada Hari Qiamat nanti lengkap dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu laksanakan qurban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)


4. Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad SAW (maksudnya): “Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada Hari Qiamat”.


INFO TAMBAHAN...

Menyembelih haiwan qurban pada Hari Raya Adha juga adalah bertujuan untuk menghidupsuburkan salah satu sunnah yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim AS yang mendapatkan perintah melalui mimpi untuk menyembelih anaknya yang sangat disayangi dan dicintainya, iaitu Nabi Ismail AS, yang kerana ketundukkannya itu Allah kemudiannya menggantikan diri anaknya itu dengan menyembelih seekor kibas (domba), yang mana amalan ini kemudiannya terus berlanjutan sampai akhir zaman, sebagaimana diungkapkan kisahnya dalam Al-Qur’an (37: 102-111).

Dengan melaksanakan ibadah qurban, secara tidak langsung, kita juga termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mensyukuri ni3mat atas rezeki serta keleluasaan yang diberikan Allah SWT kepada kita, yang mana bentuk kesyukuran tersebut dizahirkan melalui pelaksanaan syariat-Nya (melakukan ibadah qurban). Allah SWT berfirman (mafhumnya):

“(Dan mengorbankan) unta yang Kami jadikan untukmu sebahagian syiar (agama) Allah, untukmu ada kebaikan di dalamnya. Sebab itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya (ketika ia masih berdiri). Apabila ia telah jatuh ke tanah (mati), makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang tidak meminta dan orang yang meminta. Demikianlah Kami tundukkan (serah) haiwan itu kepadamu, mudah-mudahan kamu bersyukur” (QS, 22: 36)

Sebagaimana yang diketahui, ibadah qurban haruslah beserta dengan niat untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Dan dalam usaha untuk bertaqarrub kepada Allah, kegiatan memberi makan (daging qurban) kepada sesama manusia, terutamanya kepada golongan faqir miskin, dapat mewujudkan rasa kasih dan sayang yang seterusnya membawa kepada hubungan persaudaraan yang erat sesama manusia. Dan sesungguhnya menyayangi sesame manusia pada hakikatnya mengundang rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT dan seluruh makhluq-Nya yang ada di langit.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Sayangilah oleh kamu sekalian sesama manusia yang ada di muka bumi ini, maka pasti akan menyayangi kepada kamu makhluq yang ada di langit.”

Akhirul kalam, sebagai umat Rasulullah SAW, kita kaum muslimin diperintahkan untuk mengikuti sunnah Nabi Ibrahim AS, sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali-Imran (mafhumnya):
“Katakanlah: Benar apa yang di firmankan Allah. Maka ikutilah agama Ibrahim yang lurus. Dia tidaklah termasuk orang-orang yang musyrik” (QS, 3: 95).

Rujukan:
1) al-azim.com
2) masjid annahl
3) ezqurban.org


Notakaki: Jika kita perhatikan, kesemua fadhilat yang dinyatakan diberikan kepada pelaksana, yakni orang yang melaksanakan ibadah qurban tersebut, dan bukanlah buat si penerima daging qurban. Oleh itu, peluang melakukan ibadah qurban yang hanya datang beberapa hari dalam setahun di bulan Zulhijjah ini tidak wajar diabaikan dan dilepaskan begitu sahaja. Benar, hukumnya tidaklah sampai tahap wajib, namun demikian, hokum sunat muakkad ini seharusnya dilihat dari perspektif yang berbeza, bahawa “Alangkah ruginya!” bagi sesiapa yang meninggalkannya. Justeru itu juga, andai diri berkemampuan, maka segeralah merebut peluang untuk mendapatkan ganjaran yang cukup besar melalui pelaksanaan ibadah qurban ini…WALLAHU A3LAM.


Memandangkan blog ni x akn diupdate utk beberapa hari mulai esok,
jadi di kesempatan yang ada ni, terlebih dahulu ingin saya ucapkan...


SeLaMaT MeNyAmBuT HaRi RaYa AiDiL AdHA
dAn
SeLaMaT MeNuNaiKaN iBaDaH QuRBaN (^_^)

Monday, November 23, 2009

PERINTAH PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

Sumber foto: SURAU AN-NAMIRA BUKIT RIMAU



APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN QURBAN?

Istilah “qurban” secara harfiyyah berasal dari kata qaruba-yaqrubu-qurbaanan, yang bermaksud dekat atau mendekatkan diri. Dari segi pengertian syara’ pula, ibadah qurban bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing, pada Hari Nahr atau Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Dzulhijjah) dengan niat untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Di sini jelas menunjukkan betapa pentingnya usaha mendekatkan diri (berqurban) ini, sehinggakan Islam menetapkan syari’at qurban dalam bentuk penyembelihan haiwan qurban.

Apabila kita meneliti maksud qurban yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam iaitu “Mendekatkan diri kepada Allah SWT”, maka seharusnya kita sedar dan insaf bahawa ianya merupakan suatu tuntutan untuk diri kita sendiri. Ibadah qurban ini juga merupakan suatu ukuran ketaqwaan seseorang hamba kepada Allah SWT. Tidak boleh sesekali kita berqurban kerana atau untuk seseorang, atau sesuatu yang selain daripada Allah SWT, sebagaimana kita tidak dibenarkan mengerjakan solat untuk seseorang.

Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (qurbanmu)” (Al-Kauthar, 108: 2)

Jelaslah di sini, Allah SWT meletakkan ibadah qurban itu bersebelahan dengan perintah solat, agar difahami dalam makna yang betul. Jadi, tanggapan yang mengatakan ibadah qurban itu bertujuan untuk memberi makanan kepada orang miskin, adalah satu konsep yang salah. Konsep ini menyebabkan hilangnya kesuburan dalam melaksanakan ibadah qurban, khususnya dalam suasana masyarakat yang mewah, kerana keperluan manusia untuk menerima daging qurban itu bukanlah sesuatu yang terdesak.


GALAKAN MELAKUKAN IBADAH QURBAN

Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-37 (mafhumnya): "Daging dan darahnya (binatang qurban) tidak sampai kepada Allah, tetapi taqwa daripadamulah, yang sampai kepada-Nya. Demikianlah Dia (Allah) menyerahkan haiwan untukmu, supaya kamu membesarkan Allah, atas apa yang telah ditunjukkan-Nya kepadamu. Dan berilah khabar gembira orang-orang yang berbuat kebajikan” (Al-Hajj, 22: 37)

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): "Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadith riwayat Tirmidzi)


BAGAIMANA DAN BILAKAH HENDAK MELAKSANAKANNYA?

Pelaksanaan ibadah qurban boleh dilakukan dengan menyembelih sendiri haiwan ternakan atau mewakilkannya kepada pihak lain. Waktu bagi melakukan ibadah ini hanyalah pada hari-hari yang telah dikhususkan oleh syara’ iaitu pada mana-mana hari bertarikh 10, 11, 12, ataupun 13 Dzulhijjah setiap tahun.

Penyembelihan haiwan qurban bermula pada tanggal 10 Dzulhijjah setelah solat Aidil Adha, diikuti dengan tanggal 11, 12 sampailah ke tanggal 13. Ketiga-tiga hari terakhir ini disebut sebagai Hari Tasyriq yang bererti “hari-hari yang berlimpah dengan daging”.

Ini bererti, penyembelihan haiwan qurban tidak boleh dilakukan sebelum pelaksanaan solat Aidil Adha.
Dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang menyembelih haiwan qurban sebelum solat (Aidil Adha) maka harus menyembelih haiwan lain untuk menggantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih, maka sembelihlah (sesudah solat) dan sebutlah nama Allah”.


APAKAH HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH QURBAN?

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini ialah sunat Muakkad, iaitu sunnah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, beraqal, baligh serta berkemampuan melakukannya samada sedang mengerjakan haji ataupun tidak, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam erti kata lain, adalah makruh bagi orang yang berkemampuan untuk meninggalkan ibadah ini.

Akan tetapi, hukum qurban ini bertukar menjadi wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti contohnya seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Maka dalam hal ini, adalah menjadi haram dan berdosa seandainya ibadah qurban itu tidak dilakukan.



Rujukan:
3) ezqurban.org


Notakaki: Semoga dengan perkongsian ini, kita akan lebih memahami maksud serta konsep sebenar pelaksanaan ibadah qurban yang dilakukan, iaitu demi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT…Dan bagi mereka yang memenuhi syarat, laksanakanlah tuntuan ibadah qurban ini kerana terlalu banyak hikmah dan fadhilatnya buat si pelaksana (orang yang melakukan ibadah qurban haiwan).

Saturday, November 21, 2009

HANYA SEKADAR HANTARAN??



Baik di pertengahan tahun mahupun di akhir-akhir tahun sebegini, setiap kali cuti sekolah tiba, pastinya ada sahaja undangan majlis perkahwinan yang kita terima. Dan sudah pastinya kita akan melihat adanya Al-Qur’an sebagai hantaran “wajib”. Seperti sudah menjadi trend zaman sekarang, Al-Qur’an dijadikan salah satu hantaran yang utama buat bakal pengantin. Malah ada juga pengantin perempuan yang tidak mahukan apa-apa hantaran, melainkan hanyalah dengan sebuah kitab suci Al-Qur’an.

Secara zahirnya, amalan sebegini pastinya akan dinilai dengan penilaian positif. Tetapi harus diingat, dengan memberi ataupun menerima hantaran Al-Qur’an, itu sama sekali tidak bermakna pengirim mahupun penerimanya merupakan orang-orang yang sering membaca apatah lagi mengamalkan perintah-perintah yang terkandung di dalam kitab suci tersebut. Mungkin mereka ini menggunakan Al-Qur’an sekadar bertujuan untuk mendapatkan keberkatan. WALLAHU A3LAM...

Sebagai renungan bersama, di sini ingin saya kongsikan bersama pembaca semua sebuah kisah mengenai Kalamullah yang menjadi pilihan barangan hantaran buat bakal pengantin. Semoga ada pengisian bermanfaat yang dapat kita jadikan iktibar melalui kisah ini.
Ikuti kisahnya…




"Sayang, tengok ni. Cantiknya Al-Qur'an ni. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran." pekik Jamilah kepada Nabil..

“Sini pun cantik juga. Warna ungu keemasan. Mana satu kita nak beli ni” balas Nabil.

Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu Al-Qur'an yang bakal dijadikan hantaran.

“Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab” keluh Jamilah.

“Ala, awak bukan reti pun bahasa arab” jawab Nabil. Tergelak Jamilah. Bahagia rasanya dapat calon suami seperti Nabil. Prihatin.

“Apa yang saudara cari tu? Nampak seronok saya lihat” tegur pakcik berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik dalam lingkungan 40-an.

“Oh, kami cari Al-Qur'an. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid” sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ..

“Oh. Baguslah. Adik selalu baca waktu bila?” pakcik menyoal sambil tersenyum.

“Aa.. aa.. lama dah saya tak baca, pakcik” teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain.

“Kalau begitu, tak perlu lah beli Al-Qur'an kalau sekadar hantaran. Kesian Al-Qur'an. Itu bukan kitab hiasan, dik” tegur pakcik dengan hemahnya.

“Alah, pakcik ni. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la” tiba-tiba Jamilah muncul dengan jawapan selambanya.

“Oh, baguslah. Kalau begitu belilah tafsir ArRahman. Ada tafsiran lagi” cadang pakcik. Mukanya nampak seperti orang ahli masjid.

“Ala, yang tu besarlah pakcik. Kami nak pilih yang ni. Cute” senyum Jamilah sambil mengangkat Al-Qur'an warna ungu keemasan yang menjadi pilihannya. Saiznya kecil.

“Jangan lupa baca ya” pesan pakcik dengan selamba sambil meninggalkan pasangan tersebut.

“Sibuk je la pakcik tu” Jamilah mengomel.

Nabil kelihatan serba salah. Mungkin ‘terpukul’ dengan kata-kata seorang pakcik yang muncul secara tiba-tiba.

^^^^^^^^^^^^^

Hari yang dinantikan akhirnya tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah. Terlalu indah buat pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan ucapan indah tersebut. Pak Imam baru sahaja sampai.

“Assalamualaikum semua” ucapan salam Pak Imam bergema.

Nabil bagai hidup semula. Dirinya terkejut. Jantung bagai gugur serta-merta. Mungkin tidak percaya apa yang dipandang di hadapannya. Ahli-ahli keluarga berebut-rebut mahu bersalaman dengan Pak Imam. Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih.

“Inikah pengantin hari ini? Apa Khabar?” tegur Ustaz Saad.

“Err.. Pak.. Ustaz.. khabar baik, pak... usta.. ustazz..” jawab Nabil dengan gagapnya. Nabil menggigil. Jamilah juga terkebil-kebil melihat kelibat orang yang dikenali di kedai buku 2 bulan yang lalu.

“Mm, sebelum tu, saya suka kalau berpeluang mendengar bacaan adik Nabil. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin” cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, Ustaz Saad merupakan antara orang yang cukup dikenali oleh penduduk di kawasan tersebut sebagai penceramah tetap setiap hari Khamis selepas Maghrib.

Nabil menelan air liur. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya. Peluh membasahi baju Melayu satin berwarna putih.

“Ss.. su.. surah apa ustaz?” Nabil cuba menggagahkan diri. Jamilah masih melihat dari tepi tirai. Memegang kepalanya. Seperti mengagak benda yang sebaliknya berlaku.

“Oh, ayat yang mudah sahaja. Baca 3 ayat pertama Surah Ar-Ra’d” kata Ustaz Saad sambil mempamerkan baris giginya yang putih hasil bersugi setiap kali sebelum solat sebagaimana sunnah Nabi.

Surah Ar Ra'd


“Apa benda ni..” detik hati Nabil.

“Bismillahirrahmaani rrahim.. AL.. MAA.. RIII..” berlagu Nabil.

Kelihatan gemuruh satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala. Wajah kedua ibu bapa Jamilah bertukar menjadi merah padam. Jamilah sendiri pula entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.

“Baru ustaz tahu ada kalimah "almari" di dalam Al-Qur'an. Adik Nabil, cara bacanya begini: A3uuzubillaahiminnassyaithonirrajiim.. Bismillaahirrahmaanirrahiim.. ALIF.. LAMM.. MIMMM... RAA..” kedengaran suara gemersik Ustaz Saad. Orang ramai kelihatan ingin sekali mendengar lebih banyak lagi alunan merdu bacaan irama Al-Qur'annya.

Nabil merasa seperti kilat menyambar kepalanya.

“Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu Al-Qur'an. Ianya hendaklah dibaca, bukan sekadar dijadikan hantaran. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina Al-Qur'an. Beli Al-Qur'an, kemudian menaruh di tempat-tempat tinggi seolah-olah ianya sudah cukup bagi seorang Muslim...” tazkirah sudah pun bermula. Orang ramai memang senang dengan cara penyampaian Ustaz Saad.

“Tinggi mana pun kamu belajar, tiada gunanya jika kitab yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti akan kekal begini rupanya, ayatnya tetap sama, kedudukannya juga sama. Malah, ketahuilah bahawa Allah memeliharanya sehingga hari kiamat. Nabil, kamu harus tahu, orang-orang yang mengaku kitab Al-Qur'an sebagai kitab petunjuk namun kemudian mengabaikan kitab tersebut, pastinya akan dilaknat oleh Al-Qur'an itu sendiri. Begitu jugalah sebaliknya, amat beruntunglah orang-orang yang memanfaatkan Al-Qur'an setiap hari, membacanya, menghafalnya, mengamalkan kandungannya, yang mana sekaligus ianya menjadikan hati mereka ini terlalu tenang walapun mereka bukanlah berpelajaran tinggi, hidup kaya-raya dan sebagainya..” kata-kata penutup Ustaz Saad cukup dikagumi orang ramai, terutamanya bagi mereka yang sering mengikuti ceramahnya.


^^^^^^^^^^^^^

Hari semakin cepat berlalu.

Nabil kini melalui hari-hari yang cukup indah. Kitab Al-Qur'an yang dahulunya menjadi hantaran kini sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari.

Pit.. Pit! Jangan lupa datang rumah ustaz malam nih. Kita belajar sama-sama.
Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil.

SMS daripada Ustaz Saad. Jamilah sekadar tersenyum bahagia di sisi suaminya, Nabil.

***********************

Kisah lucu yang menggerunkan…
MemBACAnya membuatkan kita tertawa sendiri…
MengHAYATInya membuatkan kita malu sendiri…
Mungkin tanpa sedar,
Kita juga seangkatan dengan “Jamilah” dan “Nabil”,
Cumanya dalam versi yang berbeza...
Na3uzubillah...

Thursday, November 19, 2009

BERKATALAH YANG BAIK, ATAUPUN DIAM


"Giler ah...bangang betul budak-budak tu...siot la.."

"Woi, ko nak makan tak menatang ni, kalau ko tak nak, aku nak mentekedarah je semuanya..."

"Bodoh betul la ngko ni..aku pun nak pegi jugak, ko yang tak ajak..."

"Eleh, apa nak heran...memang mak bapak dia pun lebih kurang je bahlolnya.."

"Bapak giler laju driver tu bawak.."



TATABAHASA BARU

Saya berbangsa melayu. Bangsa timur yang terkenal dengan sifat santun, lemah lembut, bersopan dan bermacam akhlak mulia yang lain, kecuali terlalu pemalu dan pesimistik. Melayu yang masyhur dengan adab dan tatasusila. Sejarah yang berbicara membuktikan bahawa poses komunikasi masyarakt melayu pada zaman dahulu berlaku dalam keadaan yang cukup santun. Pantun dan seloka indah meniti di bibir masyarakat umum. Ganti nama yang merendah diri dan bersopan santun banyak dicatat, seperti, hamba dan tuan hamba dan sebagainya.

Masih belum pernah diajar sejak saya menghabiskan silibus pengajian bahasa melayu saya sejak dari darjah 1 sehingga tingkatan lima, tentang bahasa yang tidak sedap didengar seperti yang ada sekarang.

Dialog di atas cukup sedikit jika dibandingkan dengan istilah dan tatabahasa baru yang timbul akhir-akhir ini. Bahasa yang tempang itu melambangkan tempangnya pemikiran dan jatidiri melayu pada hari ini.

Lebih menyedihkan, ada dikalangan mereka yang bertitle ahli agama juga masih tidak mampu untuk berhati-hati dalam perkara ini. Uruf yang tidak akan dilayan kerana ianya bersalahan dengan syariat.

Lupakah Melayu Islam, bahawa ketua kita, Al-Rahiq Al-Makhtum, Muhammad SAW, pernah bersabda...



"sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia mengatakan perkataan yang baik, ataupun diam."


Asasnya, kita disuruh oleh baginda Nabi Muhammad SAW untuk menjaga lisan dari menuturkan perkataan yang buruk. Meninggalkan umpat, keji mengeji, kutuk mengutuk dan sebagainya.

Namun, saya ingin juga menukilkan satu lagi hadith yang lebih 'dalam' bagi menyokong hadith di atas.


"Sesungguhnya aku ini diutuskan
untuk menympurnakan akhlak yang mulia"


Maka, termaklum dan maaruf di kalangan kita (harapnya), bahawa pertuturan yang baik, lemah lembut, bersopan santun adalh sebahagian dari akhlaq yang mulia.

Pesan datuk saya ketika saya masih kecil dan kenakalan saya sedang memuncak:

"Nak buat salah, silakan. Namun, pastikan kamu sempat bertaubat...dan ingat, jangan sampai kesalahan itu kita terlupa bahawa ia adalah kesalahan akibat dari terbiasa melakukannya."

Andai masih ada yang tidak sedar akan kebiasaan yang menyedihkan ini, bahawa bahasa dan tuturmu tidak selunak yang digariskan oleh AL-Quran dan Sunnah, sedarlah, bahawa itulah tanda imanmu makin menipis. Taqwamu semakin tumpul, basirahmu semakin berkarat, dan hatimu makin zhulumat.

Sirnakanlah ianya dengan meninggalkan maksiat, mengerjakan ibadat, dan taatlah kepada tuhan yang juga pandai melaknat. Jangan hanya tenggelam dalam illusi dan strategi yang direka-reka. Kononnya dakwah itu perlu bervariasi, sedangkan asas dakwah itu kita tinggalkannya di belakang.

Akhirnya, pesan murabbi agung abad ini, ayahanda Syeikh Abdullah Nasih Ulwan:

“Anakku, jangan sibuk ingin memenangkan Islam dengan strategi semata-mata sedangkan basirahmu semakin menumpul & Ibadahmu semakin berkurang. Teladanilah Abdullah Bin Mubarak yang menggandingkan semangat jihadnya dengan ketaqwaan yang mutlaq kepada Allah. Bukankah AlBanna itu seorang yang sufi lagi haraki?”

Sesungguhnya berhalus dan berhati-hati dalam menuturkan kata serta beradat, beradab dan berbudaya itu adalah lambang muslimnya muslim, lambang mukminnya mukmin, dan ianya juga adalah lambang Taqwa.

Moga sayalah yang lebih dahulu mengamalkannya.

Kredit to: HasanHusaini.com



Notakaki: Terkejut dan hairan mendengarkan tatabahasa baru masyarakat zaman sekarang, terutamanya di kalangan remaja. Bertambah sedih apabila perkataan2 sedemikian terungkap daripada mulut seorang Muslimah… Semoga dengan perkongsian sebegini dapat menyedarkan mereka yang mungkin masih belum sedar. Jagalah tutur bahasa kita, kerana ia mencerminkan akhlaq serta peribadi kita. Gunalah bahasa yang sopan santun, namun tegas serta berhikmah!


PeRBeTuLkaN aPa yANg TeRBiaSA,
dAn BiaSaKanLaH aPa yAnG BeTuL!


Sunday, November 15, 2009

MADU LEBAH: KHASIATNYA MENURUT AL-QUR’AN DAN HADITH


Selaras dengan perkembangan dunia yang semakin canggih, dunia perubatan juga semakin maju berbanding dengan cara perubatan dahulu. Oleh itu rawatan-rawatan tertumpu kepada cara moden di hospital-hospital yang cukup dengan segala kemudahan dan kepakaran. Namun begitu, berubat mengikut saranan Al-Qur'an dan hadith masih tetap mengambil tempat di dalam kehidupan masyarakat Islam.

Menurut Nabi SAW, setiap penyakit itu pasti ada ubatnya. Sabda Baginda SAW (maksudnya): "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua" (Hadis riwayat Abu Daud)

Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam Al-Quran sendiri telah menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, mahupun kesihatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.

Firman Allah dalam surah an-Nahl (tafsirnya): "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan." (Surah An-NAhl: 69).

Rasulullah SAW juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan Al-Qur'an. Baginda bersabda (maksudnya): "Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan Al-Qur'an." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Daripada hadith di atas ini, ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi dan vitamin yang kuat. Di samping itu, madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.

Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan setiap hari akan mencegah diri daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup.

Di samping itu, madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan pagi agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian. Madu juga memiliki aroma enak yang meningkatkan selera, sepertimana Rasulullah SAW juga mengamalkannya.

Galakan memakan/ meminum madu di pagi hari ini diperkuatkan lagi dengan satu lagi hadith Nabi SAW. Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar."

Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit. Jika diusapkan madu akan dapat mengurangi rasa sakit yang menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kawasan yang terbakar. Selain itu, memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada bahagian kaki.

Terdapat banyak lagi penyakit yang boleh sembuh melalui madu, termasuklah hidung tersumbat, ulser, anak yang kencing malam, dan sesuai untuk kanak-kanak damit yang baru lahir.


Dalam erti kata kata lain, tidak dapat dinafikan lagi, baik melalui Al-Qur'an, hadith, mahupun amalan perubatan tradisional, sudah jelas terbukti bahawa madu sememangnya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Justeru itu, adalah menjadi suatu amalan yang baik sekiranya kita menjadikan madu sebagai ubat dan penjagaan kesihatan. Amalkanlah pengambilan madu dalam kehidupan seharian kita kerana ia terbukti mujarab, dan pada masa yang sama, kita juga mengamalkan sunnah Nabi SAW. WALLAHU A3LAM...

Saturday, November 14, 2009

10 KEADAAN TIDUR YANG DITEGAH





Islam merupakan agama yang sempurna, yang mengajar umatnya bagaimana seharusnya menguruskan hal kehidupan seharian. Segalanya merangkumi segala aspek kehidupan ada dijelaskan dalam agama Islam. Baik yang wajib/ fardhu, sunnat, harus, makrukh, mahupun haram.

Ini termasuklah dalam hal tidur. Tidak dapat dinafikan, tidur merupakan satu keperluan. Sememangnya kita memerlukan tidur yang cukup bagi membolehkan fizikal dan mental kita kembali cergas dan cerdas setelah mendapatkan rehat yang secukupnya semasa tidur.

Namun demikian, adalah sebaiknya jika tidur kita juga adalah mengikut apa yang diajar di dalam Islam. Posisi untuk tidur, waktu untuk tidur, serta keadaan tidur, semuanya ada disebut dalam Islam. Ini bermakna, kita tidak sepatutnya tidur mengikut kehendak hati kita pada waktu bila-bila sahaja serta dalam keadaan bagaimanapun jua.

Justeru, dalam entri kali ini, ingin saya kongsikan sedikit bersama sahabat-sahabat semua tentang tidur-tidur yang sunnat dikejutkan. Dalam erti kata lain, jika kita melihat seseorang itu tidur dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan di bawah ini, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengejutkannya.



APAKAH 10 KEADAAN TIDUR YANG DIMAKSUDKAN?


(1) Tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba.

Ini berdasarkan hadith Abu Bakrah RA, beliau berkata: “Aku keluar bersama Nabi SAW untuk menunaikan solat subuh. Baginda tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.”

(HR Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)


(2) Tidur di hadapan orang yang solat.

Ini adalah kerana, orang yang tidur dalam keadaan tersebut sedikit sebanyak akan menggangu orang yang solat.


(3) Tidur di atas permukaan bangunan tanpa penghadang.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang tidur di atas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas daripada tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh).”

(HR Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)


(4) Tidur dalam keadaan sebahagian badan terkena cahaya matahari sedangkan sebahagian lagi tidak kena cahaya matahari (kerana ianya adalah TEMPAT JIN SYAITAN).

Nabi SAW bersabda (maksudnya): “Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuhmu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena, hendaklah dia beredar.”

(HR Abu Daud – semua perawinya thiqah)


(5) Tidur pada waktu subuh.

Nabi SAW bersabda (maksudnya): “Tidur subuh menegah rezeki.”

(HR Ahmad - sanad lemah)

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur pada waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata: “Rezeki dibahagi-bahagikan sedangkan engkau tidur.”


(6) Tidur sebelum waktu isya’ (kerana makruh tidur waktu itu).

Ini disebut dalam hadith yang panjang, riwayat daripada Abi Bakrah RA dimana beliau berkata: “Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya’ dan sembang-sembang selepasnya.”

(HR Bukhari - sahih)


(7) Tidur selepas solat asar.

Nabi SAW bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang aqalnya, janganlah dia mencela melainkan dirinya.”

(HR Abu Ya’la - sanad lemah)


(8) Tidur berseorangan di rumah.

Hukum ini disebut oleh Al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.


(9) Perempuan yang tidur menelentang.

Ini kerana ianya makruh sepertimana yang disebut dalam kitab al-minhaj Fi Syu’abil Iman. Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.


(10) Tidur dalam keadaan meniarap.

Nabi SAW melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasul-Nya.”

(HR Tirimizi dan Ahmad - hasan lighairihi)

Abu Umamah RA berkata: Nabi SAW lalu berhampiran seorang lelaki yang tidur meniarap di masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata (maksudnya): Bangunlah kamu daripada tidur, dan duduklah, sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.”

(HR Ibnu Majah)


Rujukan: Tashilul Maqasid li Zuwwarul Masjid oleh Ibnul Ammad, Aunul Ma’bud oleh al-Abadi dan an-Nihayah oleh Ibnul athir.



Notakaki: Hadith yang lemah sanadnya mungkin boleh dipersoalkan. Tapi rasanya tak salah juga kalau kita elakkan tidur dalam keadaan-keadaan tersebut. Sebaik-baiknya, contohilah cara tidur Rasulullah SAW iaitu tidur pada waktu yang sepatutnya, dan dalam keadaan tidur dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi, dan pastikan juga kaki kita tidak menghadap ke arah Qiblat.

Thursday, November 12, 2009

BERITAHU PADA MUSLIMAH ITU…


Beritahu pada muslimah itu
dirinya ibarat kaca;
disentuh terguris,
dihantuk serpih,
dihempap berkecai.

Beritahu pada muslimah itu
jaga tutur kata;
cakap tinggi nanti dibenci,
terlalu rendah dipijak pula,
cakap sombong mengundang lawan,
hati-hati meluah kata,
kerana pulut santan binasa,
kerana mulut badan binasa.

Beritahu pada muslimah itu
jaga tingkah laku;
harga diri letaknya di situ,
jangan meluru ikut telunjuk nafsu,
sesekali tersilap langkah,
akan dihukum selamanya,
keturunan dicerca payah,
menyesal kemudian bukan faedah.

Beritahu pada muslimah itu
jaga pakaian;
ia cermin peribadi,
juga lambang bangsa,
di mana dan dalam keadaan apapun,
biar orang kenal, dia orang ISLAM.

Beritahu pada muslimah itu
simpan secebis malu;
kerana malu itu,
sebahagian daripada iman...


CaNTik WaNitA kERaNa KeJeRNiHaN WaJaH,
MaNiS WaNitA kERaNa sENyuMaN yANg iNdaH,
AyU WaNitA kERaNa keSeDeRHaNaaN LaHiRiaH,
HeBaT WaNitA kERaNa KeiMaNaN kePaDa ALLAH!
Related Posts with Thumbnails