Friday, September 18, 2009

UCAPAN AIDILFITRI MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SAW


Menjelang tibanya Syawal tidak lama lagi, pastinya kita sering menerima ucapan selamat dari ahli keluarga, sanak-saudara dan juga teman-teman. Bermacam-macam cara. Ada yang terlalu ringkas ucapannya, ada yang mengarang pantun (baik pantun serius mahupun pantun bernada gurau senda), dan ada juga yang mengucapkannya melalui ungkapan yang sangat puitis.

Hakikatnya, semuanya mahu bermesra dan bergembira di hari kemenangan. Kemenangan setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Justeru itu, sempena hari Lebaran, umat Islam akan memberi ucapan selamat kepada sesama Muslimin.


# TAQABBALALLAHU MINNAA WA MINKUM

Rata-ratanya kesemua ucapan yang diberikan berbentuk doa dan lafaz maaf. Sungguh, tidak dinafikan, bagus sekali amalan sebegini. Tetapi adalah lebih bagus sekiranya ucapan selamat yang kita berikan itu berpandukan sunnah. Persoalannya di sini, bagaimanakah ucapan selamat yang dilakukan Nabi dan para sahabat sempena menyambut Aidilfitri??

Berkata Al-Hafidz Ibnu Hajar [Fathul Bari 2/446]: “Dalam ‘Al-Mahamiliyat’ dengan isnad yang hasan dari Zubair bin Nufair, ia berkata (yang maksudnya): Para sahabat Nabi SAW apabila bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada yang lainnya, “Taqabbalallahu minnaa wa minkum” (Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu semua).”

Ibnu Qudamah dalam “Al-Mughni” (2/259) menyebutkan bahawa Muhammad bin Ziyad berkata: “Aku pernah bersama Abu Umamah Al-Bahili dan selainnya dari kalangan sahabat Nabi SAW. Mereka apabila kembali dari solat eid berkata sebahagiannya kepada sebahagian yang lain, “Taqabbalallahu minnaa wa minka” (Semoga Allah menerima dari kami dan darimu).

Begitulah ungkapan selamat yang diajarkan oleh Nabi kepada para sahabat. “Menerima” dalam ungkapan tersebut bermaksud menerima segala amal dan ibadah yang kita lakukan ketika di bulan Ramadhan.




# MIN AL-3AA’IDIIN WALFAA’IZIIN

Ungkapan “Minal Aidin wal Faizin” sering juga diucapkan pada Hari Raya Aidilfitri. Ianya sama sekali tidak bersumber dari Sunnah Nabi, melainkan 3urf (kebiasaan) yang diamalkan oleh masyarakat tertentu.

Mungkin ada yang salah tafsir akan ucapan tersebut, kerana ia biasanya diungkapkan setelah lafaz Selamat Hari Raya. Begitu juga dengan ungkapan “Maaf Zahir dan Batin”. Jadi seolah-olah Minal Aidin wal Faizin itu bermaksud maaf zahir dan batin. Sedangkan erti yang sebenarnya bukan itu.

Kata Minal Aidin wal Faizin itu sebenarnya merupakan sebuah ungkapan harapan dan doa. Akan tetapi, lafaz ini tidaklah lengkap dari awalnya. Seharusnya lafaz lengkapnya ialah “Ja3alnallahu wa iyyaakum minal 3a’idin wal faa’iziin” (Semoga Allah menjadikan kami dan anda sebagai orang-orang yang kembali dan beruntung [menang] ).


# 3A’IDIIN & FAA’IZIIN

Lafaz “3a’idiin” (Kembali) di sini adalah kembali kepada fitrah, yakni “asal kejadian”, atau “kesucian”, atau “agama yang benar”. Setelah mengasah dan mengasuh jiwa (berpuasa) selama sebulan, diharapkan setiap Muslim dapat kembali ke asal kejadiannya dengan menemukan “jati dirinya”, iaitu kembali suci sebagaimana ketika dia baru sahaja dilahirkan serta kembali mengamalkan ajaran agama yang benar. Ini semua menuntut keserasian hubungan, kerana menurut Rasulullah SAW, keserasian itu adalah dengan sesame manusia, lingkungan, dan alam.

Sementara itu, “al-faa’iziin” diambil dari kata fawz yang bererti “keberuntungan”. Apakah “keberuntungan” yang kita harapkan itu? Di sini kita dapat merujuk pada Al-Quran, kerana 29 kali kata tersebut, dalam berbagai bentuknya, terulang. Menarik juga untuk diketengahkan bahawa Al-Quran hanya sekali menggunakan bentuk afuzu (saya beruntung). Itupun menggambarkan ucapan orang-orang munafik yang memahami “keberuntungan” sebagai keberuntungan yang bersifat material (QS, 4:73).

Apabila kita kaji Al-Quran yang berhubungan dengan konteks dan makna ayat-ayat yang menggunakan kata fawz, ditemukan bahawa seluruhnya (kecuali QS 4:73) mengandung makna “pengampunan dan keredhaan Tuhan serta kebahagiaan syurgawi”. Kalau demikian halnya, wal faa’iziin harus difahami dalam erti harapan dan doa, iaitu semoga kita termasuk dalam orang-orang yang memperoleh ampunan dan redha Allah SWT sehingga kita semua mendapatkan keni3matan syurga-Nya.

Salah satu syarat untuk memperoleh anugerah tersebut ditegaskan oleh Al-Quran dalam surah An-Nur ayat 22, yang menurut sejarah turunnya berkaitan dengan kisah Abu Bakar R.A. dengan salah seorang yang ikut ambil bahagian dalam menyebarkan gosip terhadap putrinya yang juga merupakan isteri Nabi, Aisyah. Begitu marahnya Abu Bakar sehingga dia bersumpah untuk tidak memaafkan dan tidak memberi bantuan apapun kepadanya.

Allah kemudiannya memberi petunjuk dalam ayat tersebut: “Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS 24:22).



KESIMPULANNYA...

Di samping mengikut sunnah mengucapkan “Taqabbalallahu minnaa wa minkum”, marilah juga kita saling berlapang dada, mengulurkan tangan sambil saling mengucapkan “minal 3aa’idiin wal faa’iziin”… Semoga kita dapat kembali mendapatkan jati diri kita, semoga kita bersama memperoleh ampunan,redha, dan keni3matan syurgawi… Aamiiin…

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails